Sejak tahun 1988 hingga 2002, seramai 235,495 orang penagih dadah telah dikesan di Malaysia. Angka ini merupakan satu peratus daripada jumlah penduduk di negara ini. Dianggarkan 65 peratus penagih mengambil dadah secara suntikan. Ini membawa kepada satu masalah sosial yang lain iaitu penyebaran virus HIV/AIDS. Ia merebak di kalangan penagih melalui perkongsian jarum. Apa yang memburukkan lagi keadaan ialah kadar perkongsian jarum yang amat tinggi di kalangan penagih di Malaysia.
Penyebaran HIV/AIDS ini tidak berhenti di kalangan penagih sahaja. Ia akan merebak kepada pasangan seks mereka yang terdiri daripada kawan-kawan, pelacur, mahupun isteri mereka yang tidak berdosa yang mungkin pula akan menjangkiti anak-anak yang di dalam kandungan.
Berdasarkan fakta-fakta ini, sehingga bulan Disember 2003, didapati bahawa lebih 80 peratus daripada mereka yang dijangkiti HIV terdiri daripada penagih dadah. Manakala kadar jangkitan di kalangan kaum wanita meningkat secara mendadak – 1.2 peratus pada tahun 1990 kepada 9 peratus pada tahun 2003.
Penyalahgunaan dadah dan HIV/AIDS adalah dua masalah besar negara. Dalam kedua-dua kes, orang Melayu (Islam) adalah yang paling ramai terlibat (65 peratus penagih dan 72 peratus penghidap HIV). Oleh itu, kedua-dua masalah ini adalah masalah ummah yang tidak boleh dipandang ringan.
Menyedari hakikat ini, Kumpulan Kerja Harm Reduction (Pengurangan Risiko) (KKHR) yang terdiri dari profesional Islam dan bukan Islam, mahu memperkenalkan satu pendekatan baru dalam menangani kedua-dua masalah ini di Malaysia.
Rasional mereka mudah sahaja. Jika suntikan dan perkongsian jarum di kalangan penagih adalah penyebab utama penyebaran HIV/AIDS di negara kita, maka kedua-dua tingkah laku berisiko ini hendaklah dihentikan. Pengambilan dadah secara suntikan digantikan dengan pengambilan ubat (yang juga merupakan dadah yakni methadone dan bupenorphine) secara oral. Manakala perkongsian jarum diminimumkan dengan pemberian atau pertukaran jarum suntikan yang bersih.
Program ini tidak memberhentikan secara serta-merta tingkah laku penagihan itu. Sebaliknya, dadah yang lebih selamat diberikan kepada penagih secara terkawal dalam dos yang semakin berkurangan, yang akhirnya membebaskan penagih daripada ketagihan mereka itu. Pendekatan ini merupakan satu proses pemulihan yang beransur-ansur tetapi berkesan. Tujuan utamanya ialah untuk mengelakkan penyebaran HIV/AIDS melalui suntikan dadah seperti yang berlaku kini. Namun, dari segi jangka panjangnya, pendekatan yang sama dapat menghentikan pergantungan penagih terhadap dadah.
Pendekatan ini ternyata berkesan di Australia dan United Kingdom. Di Australia, program ini berjaya menyekat kadar jangkitan HIV di kalangan penagih kepada kurang daripada dua peratus berbanding 27 peratus di Malaysia. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pula melaporkan program ini berjaya mengurangkan kadar jangkitan sebanyak 30 peratus di sesetengah tempat. Program yang sama sedang berjalan di Pakistan dan Iran.
Melihat kejayaan program ini di negara-negara lain, maka KKHR berhasrat untuk melaksanakannya di Malaysia. Namun, satu halangannya ialah pandangan Islam tentang pendekatan tersebut. Kerana pendekatan ini tidak terus memberhentikan ketagihan penagih, sebaliknya ia hanya menggantikan penagihan seseorang terhadap heroin atau morphin dengan dadah yang lain. Ini tentunya bertentangan dengan maksud satu hadis Rasulullah s.a.w. yang menegah kita daripada mengambil benda yang haram sebagai ubat.
Dalam Islam, menjauhi yang dilarang adalah prinsip asas bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini. Dalam kes ini, tidak menagih adalah prinsip asas yang perlu dilaksanakan. Tetapi, apakah prinsip asas yang perlu diamalkan dalam merawat pesakit?
Para penagih adalah pesakit. Mereka sudah jauh tersasar. Rawatan yang dilakukan selama ini, dalam banyak kes tidak berkesan untuk menghentikan penagihan tersebut. Itulah sebabnya begitu ramai yang kembali menagih. Pengurangan risiko menawarkan pendekatan baru yang menghapuskan pergantungan terhadap dadah secara perlahan tetapi berkesan. Apakah pendekatan ini haram?
Norhashimah Mohd. Yasin dalam tulisannya bertajuk Methadone Treatment As A Harm Reduction Method For Reducing the Incidence of HIV Transmission in Malaysia: A Comparative Paradigm berpendapat bahawa Islam membenarkan pendekatan ini berdasarkan kepada prinsip bertoleransi dengan darar yang kecil bagi mengelakkan darar yang lebih besar. Dalam hal ini, merawat penagih dengan dadah secara oral adalah darar kecil berbanding risiko mereka menyebarkan kuman HIV melalui suntikan (darar besar).
Beliau juga berpendapat, dalam hal ini, kepentingan masyarakat (daripada dijangkiti) adalah lebih penting untuk dipelihara. Beliau juga memetik kisah di zaman Rasulullah s.a.w. bagaimana kegilaan masyarakat di waktu itu terhadap arak, dihentikan secara beransur-ansur dan bukannya dengan serta-merta.
Masalah dadah dan HIV/AIDS adalah masalah masyarakat Islam. Golongan ulama perlu bersama-sama menangani masalah ini. Golongan perubatan telah pun menemukan sebahagian jawapannya. Kini, mereka sedang menunggu maklum balas golongan agama terhadap hukum menggunakan pendekatan ini.
KKHR Malaysia telah memohon bantuan Institut Kefahaman Islam Malaysia untuk mengadakan bengkel bagi mendapatkan pandangan ulama tentang perkara ini. Malangnya, tidak ramai ulama yang hadir di bengkel tersebut yang telah diadakan pada 11 Disember 2004. Namun, salah satu resolusi bengkel ini adalah untuk meminta pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan tentang hal ini. Diharapkan perkara ini akan segera dibincangkan kerana pada realitinya, di negara ini terdapat seramai 47 orang penagih baru dan 19 orang yang dijangkiti HIV/ AIDS pada setiap hari. Kita tidak boleh berlengah lagi.