SEBELUM negara ini mencapai kemerdekaan pada 1957, kepelbagaian kaum memang sudah wujud. Kepelbagaian kaum ini terbentuk daripada hasil penghijrahan kaum ke negara ini atas dasar perdagangan.
Kaum Cina dari Tanah Besar China dan kaum India dari India di Asia Tengah dibawa penjajah untuk bekerja sebagai buruh.
Kemasukan dan penghijrahan kaum yang datang bersama penjajah menyebabkan polarisasi kaum dan pekerjaan di mana kaum Cina tinggal di bandar, kaum India di estet, manakala orang Melayu di persisiran laut dan sungai.
Kebolehan dan kepandaian perniagaan dimiliki kaum Cina yang tinggal di bandar lebih terkehadapan berbanding kaum India dan Melayu. Selepas negara mencapai kemerdekaan, masyarakat berbilang bangsa di negara ini terpaksa berdepan dilema ketidakadilan dari segi pengagihan kekayaan dan pembangunan.
Kerajaan Perikatan ketika itu terpaksa mengambil pendekatan mengimbangi perbezaan jurang kemiskinan di antara kaum terbabit untuk membentuk satu masyarakat berbilang kaum yang dapat hidup aman damai dan harmoni.
Hasilnya boleh dilihat pada hari ini apabila semua kaum dan juga agama dapat dipraktikkan dalam suasana aman serta harmoni, walaupun senario pergolakan konflik antarabangsa tidak begitu berpihak kepada usaha murni seperti yang wujud di negara ini.
Fungsi agama penting dalam pembangunan dan kesejahteraan sesebuah keluarga, masyarakat, negara dan komuniti global. Ini terbukti menerusi pengajaran yang diambil daripada kemusnahan atau kejatuhan sesebuah tamadun yang pernah wujud sebelum ini.
Antara faktor kemusnahan sesuatu tamadun itu adalah pemesongan nilai murni yang ada pada agama hingga menyebabkan rakyat hilang pedoman yang diturunkan oleh Tuhan Yang Maha Pencipta.
Tidak ada satu pun agama yang menganjurkan permusuhan, keganasan, dan kebinasaan. Permusuhan dan pergaduhan yang berorientasikan agama hingga mencetuskan keganasan serta kebinasaan bukanlah tuntutan agama. Kepelbagaian kaum dan agama adalah rahmat serta anugerah Tuhan.
Tuhan menjadikan manusia di dunia ini berbangsa-bangsa dan berpuak-puak bukan untuk bersengketa, tetapi kenal mengenali antara satu sama lain. Tidak mungkin terbayang kepada kita bagaimana agaknya dunia ini jika manusia hanya dijadikan atau dicipta dalam satu bentuk dan pemikiran yang sama. Yang pasti, kemungkinan dunia ini akan berkeadaan statik dan terbantut.
Semua agama mengajar penganut supaya berbaik-baik dan memelihara keamanan. Agama Islam menghendaki penganutnya supaya bekerjasama dalam semua urusan dan perkara kebaikan seperti firman Allah yang bermaksud: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.” (Surah al- Maidah, ayat 2).
Penganut agama yang berbeza mesti menghormati satu sama lain. Buddha dalam amanat akhirnya menyatakan sendiri `elakkan perbalahan dan persengketaan. Jangan ikut lumrah air dan minyak yang tidak akan bercampur dan sebati, tetapi ikutlah lumrah air dan susu yang bersifat bercampur dan sebati.” (Petikan The Last Teachings of Buddha).
Justeru, agama adalah perantara terpenting membentuk sistem nilai seseorang yang akan memberi kesan kepada sebuah masyarakat kecil atau pun besar dan tempatan atau antarabangsa.
Yang pasti, tindakan individu atau kumpulan akan mempunyai kesan kepada masyarakat sekeliling. Agama seharusnya menjadi pemangkin kepada pembangunan dan kesejahteraan berasaskan semangat toleransi, berbaik sangka, harmoni, adil, bertimbang rasa, hormat menghormati, bekerjasama dan juga memahami antara satu dengan lain.
Sifat itu hendaklah dilakukan untuk mengekalkan perpaduan, kerukunan, keamanan, kestabilan dan kemerdekaan yang menjadi elemen penting dalam pembangunan dan kesejahteraan sesebuah keluarga, masyarakat, negara serta komuniti antarabangsa. Maka, dengan sebab itulah dalam konteks negara ini, perkara yang terkandung dalam Rukun Negara menekankan aspek yang disebutkan tadi.
Begitu juga dengan Wawasan 2020 yang mementingkan kepentingan agama di mana nilai sejagat dimasukkan seiring dengan usaha negara mengejar kemajuan serta kemodenan dan Islam Hadhari sebagai satu pendekatan menyeluruh kepada usaha pembangunan dalam semua aspek yang berteraskan Islam.
Untuk itu, fungsi pemimpin agama amat penting bagi menyampaikan mesej ini kepada penganut-penganutnya bukan saja menggunakan kaedah tradisi, malah menerima hakikat atau kenyataan perubahan semasa serta teknologi terkini.
Dunia tanpa sempadan dan globalisasi adalah antara cabaran kepada pemimpin agama dalam menangani isu sejagat yang perlu ditangani dengan bijaksana dan teliti. Antara isu utama itu adalah:
* Mencegah pelampau agama daripada menguasai pemikiran masyarakat
* Mencegah dan menentang sebarang bentuk keganasan dan pencabulan hak asasi manusia.
* Mencegah `Religious Deviationist’ – penyimpangan agama, supaya ajaran agama yang sebenar terpelihara daripada kumpulan oportunis.
* Menangani gejala keruntuhan moral, HIV/Aids dan kemiskinan yang berleluasa dalam masyarakat.
* Meningkatkan interaksi dan kefahaman yang harmoni dengan agama lain menerusi kerangka `interfaith dialogue’ (dialog antara agama) dan peningkatan kerjasama secara kreatif serta berterusan dalam menghadapi isu yang disebutkan.
Malaysia adalah negara berbilang bangsa dan agama yang mendokong dan menghormati kebebasan beragama. Dunia mengiktiraf bahawa negara ini adalah model terbaik negara Islam yang boleh hidup dalam keadaan harmoni dan aman damai, walaupun penduduknya berbilang kaum.
Islam memberikan hak sewajarnya kepada orang bukan Islam, manakala ajaran Islam tidak menyuruh umatnya tidak adil dan kejam kepada penganut agama lain. Ajaran Islam menegaskan bahawa agar umatnya tidak sesekali membenci sesuatu kaum dan bersikap tidak adil.
Kerajaan melihat fungsi agama amat penting dalam dasar pembangunan masyarakat aman damai dan harmoni. Negara ini walaupun didiami majoriti penganut beragama Islam, namun nilai sejagat diambil kira dalam membuat dasar negara ke arah masa depan yang maju.
Ia juga tidak meminggirkan kepentingan agama lain yang wujud di negara ini. Hakikat ini akan terus didokongi dan dilaksanakan jika kita mahu melihat negara ini terus maju tanpa sebarang konflik perkauman dan agama.
Ini adalah formula terbaik yang harus difahami bukan saja pemimpin agama, malah generasi muda yang menjadi pelapis dan akan menerajui kepimpinan negara.