Hari kemerdekaan, iaitu hari yang begitu bermakna bagi mereka yang memahami betapa sukarnya untuk mencapai kemerdekaan. Namun, terdapat amanah yang lebih berat untuk sebuah negara Malaysia yang telah mencapai kemerdekaan selama 64 tahun adalah untuk mengisi sebuah kemerdekaan.
Setiap kali menyambut hari kemerdekaan kita akan disajikan dengan tema kemerdekaan tersebut. Satu persoalan yang harus ditanya sejauh manakah tema kemerdekaan ini dapat difahami dan dihadamkan oleh rakyat Malaysia? Tema kemerdekaan ini sebenarnya amat berkait rapat dengan mengisi sebuah kemerdekaan.
Jika kita lihat mulai tahun 1970-an pelbagai tema kemerdekaan telah diperkenalkan kepada rakyat. Pada tahun 1970 misalnya, tema kemerdekaan ialah berkaitan dengan “Muhibah dan Perpaduan”, manakala pada tahun 1974 tema kemerdekaan ialah “Sains dan Teknologi Alat Perpaduan”. Sepanjang tahun 1974 hingga tahun 2021 hanya sekali sahaja tema yang menyentuh berkenaan dengan sains dan teknologi. Pada tahun 1979 hingga tahun 1982 tema kemerdekaan pula menekankan pentingnya disiplin. Selama empat tahun berturut-turut tema disiplin tersebut digunapakai seperti “Bersatu Berdisiplin” (1979), “Berdisiplin Berbakti” (1980), “Berdisiplin Berharmoni” (1981) “Berdisiplin Giat Maju” (1982) dan pada tahun 2020 dan 2021 tema kemerdekaan ialah “Malaysia Prihatin”.
Tema kemerdekaan ini bukanlah hanya satu slogan yang berbentuk retorik semata-mata untuk menghiasi hari kemerdekaan dan akan berakhir selepas 31 Ogos akan tetapi, tema tersebut merupakan satu gagasan yang mengisi sebuah kemerdekaan dan dapat diterjemahkan di dalam sanubari pemimpin dan rakyat Malaysia.
Begitu juga dengan pandemik COVID-19 yang melanda dunia ini memberikan impak yang besar terhadap pengisian sebuah kemerdekaan. Kita kini berdepan dengan pelbagai krisis yang perlu ditangani segera bukan hanya di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Oleh itu, amatlah penting untuk kita merangka pengisian kemerdekaan ini agar rakyat dapat terus menikmati kehidupan mereka dengan lebih bermakna.
Untuk memahami dengan lebih jelas bagaimana mengisi sebuah kemerdekaan ini kita memerlukan contoh dengan melihat kepada sejarah negara Jepun. Jepun sekitar tahun 1870-an dipimpin oleh kerajaan tentera Shogun yang korup menyebabkan rakyatnya mundur dan berada dalam keadaan kemiskinan. Pelbagai kekerasan dan kekejaman yang dilakukan oleh kerajaan Shogun kepada rakyatnya. Mereka dihalang kebebasan bersuara, ditindas dan tidak dibenarkan rakyat bergerak sesuka hati. Akhirnya rakyat bangkit dan melawan kerajaan Shogun. Setelah kerajaan Shogun jatuh, rakyat mengangkat Maharaja Meiji sebagai pemimpin mereka. Maharaja Meiji pula memilih pemimpin dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada golongan cerdik pandai dan mempunyai kepakaran untuk menerajui negara. Akhirnya Jepun menjadi negara moden dan maju seperti yang dapat dilihat pada hari ini.
Yang paling penting dalam mengisi kemerdekaan ini ialah “jiwa yang merdeka”. Jiwa yang merdeka bukanlah bermaksud bebas melakukan apa-apa sahaja tanpa batas sempadan. Sebuah negara yang merdeka belum tentu mampu melahirkan rakyat yang berjiwa merdeka. Memahami jiwa merdeka ini bukanlah secara berteori tetapi lebih kepada praktikal.
Cuba lihat kepada dua contoh rakyat yang berjiwa merdeka ini. Pertama, siapakah watak di sebalik vaksin Astra Zeneca? Ketika dunia dilanda pandemik COVID-19, ada insan yang sedang sibuk bekerja di makmal siang dan malam untuk menghasilkan vaksin bagi menyelamatkan umat manusia di dunia ini dan beliau adalah Profesor Dr. Sarah Catherine Gilbert. Beliau yang berusia 59 tahun merupakan orang yang bertanggungjawab dalam menemukan vaksin Astra Zeneca. Sejak awal pandemik COVID-19 melanda dunia, syarikat Astra Zeneca telah membuat kerjasama dengan Oxford University dan Prof. Dr. Sarah ditugaskan untuk mengetuai penyelidikan ini. Sehingga hari ini kajian mendapati Vaksin Astra Zeneca memberi keberkesanan sehingga 92% termasuk berkesan terhadap varian baru Delta.
Apa yang menariknya dari seorang rakyat yang mempunyai jiwa merdeka ialah beliau telah menyarankan agar pembuatan vaksin Astra Zeneca tidak dipatenkan sepenuhnya supaya mana-mana syarikat yang mampu mengeluarkan vaksin boleh mengeluarkannya untuk mencapai komuniti global. Prof. Dr Sarah telah menolak untuk menjadi jutawan dengan mengkomersialkan penemuan beliau. Menurut Prof. Dr. Sarah, yang lebih utama ialah nyawa manusia bukan wang dan ringgit. Prof. Dr. Sarah juga telah memperkenalkan kumpulan penyelidikan beliau kepada umum sebagai satu penghargaan.
Ketika ada dalam kalangan kita yang bergaduh hanya kerana ingin mendapatkan nama tetapi Prof. Dr. Sarah terus fokus pada penyelidikan tanpa memikirkan apakah habuan yang beliau akan dapat dan tidak memperdulikan sama ada orang mengenalinya ataupun tidak “Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia langit dan bumi dan Allah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan” (Al-Hujuraat: 18)
Contoh kedua yang ingin dibawakan di sini, dalam memperkatakan mengenai jiwa merdeka ialah seorang atlet wanita Filipina angkat berat kategori 55kg di Sukan Olimpik, Jepun baru-baru ini. Beliau merupakan warga Filipina bernama Hidilyn Diaz yang terkandas di Malaysia kerana wabak COVID-19. Dengan hanya berlatih di belakang rumah kawasan tempat letak kereta di sebuah kampung di Jasin, Melaka yang dikelilingi oleh pokok pisang dan rambutan, Diaz mampu mencipta sejarah untuk negara Filipina apabila menyumbangkan pingat emas Olimpik untuk negaranya.
Dalam mengisi sebuah kemerdekaan elemen asas yang terpenting bagi seseorang pemimpin ialah meritokasi, pragmatik dan kejujuran. Meritokasi ialah kita memilih pemimpin yang paling terbaik dalam kalangan rakyat melalui kejayaan yang telah dicapai dalam hidup mereka dan bukan berdasarkan kepada populariti. Manakala kejujuran atau amanah ialah elemen yang terpenting dalam kepimpinan. “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya dan apabila kamu menjalankan hukuman di antara manusia (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar lagi sentiasa Melihat” (An-Nisaa’: 58). Pragmatik pula lebih kepada perlaksanaan berbanding dengan berteori dan berfalsafah atau dalam bahasa Inggeris berbunyi “to be concerned with result rather than theory” .