Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-64 kepada warganegara Malaysia tercinta. Sambutan pada tahun 2021 ini bertemakan “Malaysia Prihatin” dan tema ini amat bersesuaian dengan pengertian kemerdekaan menurut konteks pandemik yang sedang melanda negara pada ketika ini. Namun pada asasnya, rasional sambutan kemerdekaan negara yang dilakukan pada setiap tahun bukan satu retorik semata-mata. Ia merupakan satu sambutan patriotik. Patriotiknya, kemerdekaan itu pula perlu difahami dan dihayati serta mampu diterjemahkan ke dalam jiwa akan semangat dan amalan kehidupan harian seluruh warganegara sepanjang hayat mereka.
Dari segi bahasa, sebagaimana menurut Kamus Dewan, kemerdekaan itu difahami sebagai satu kebebasan daripada belenggu penjajahan yang menjadikan perhambaan sebagai asasnya sehingga ada rasa terjajah, terbelenggu atau terikat seperti hamba dan tiada kebebasan. Kehidupan yang dibelenggu penjajahan dan perhambaan itu dipenuhi oleh keterpaksaan dan dilingkungi dengan pelbagai kesengsaraan.
Manakala tema “Malaysia Prihatin” pula secara umumnya merupakan gambaran kepada satu sikap kepekaan dan kepedulian yang terdapat dalam diri setiap individu daripada pelbagai peringkat masyarakat untuk memelihara keharmonian dan perpaduan agar kemerdekaan negara terus dapat dikekalkan sepanjang masa. Lebih-lebih lagi, dalam situasi pandemik ketika ini iaitu sikap keprihatinan dan kepedulian yang tinggi sesama individu, khususnya dalam kalangan para pemimpin dan rakyat, amatlah dituntut.
Ini kerana, jatuh dan bangun sesuatu pemerintahan atau kerajaan itu bergantung kepada sejauh mana tahap perpaduan sesama mereka. Manakala perpaduan itu pula penting kerana ia menentukan sejauh mana nikmat kemerdekaan dapat bertahan. Ujian ketahanan itu menjadi begitu ketara khususnya pada musim pandemik yang sedang melanda kini.
Ulama Islam tersohor, Malek Bennabi ada menyatakan sesungguhnya perjuangan menuntut kebebasan negara daripada penjajahan dan perhambaan perlu dilengkapi dengan perjuangan membebaskan pemikiran dan minda daripada saki-baki elemen penjajahan asing yang sudah pastinya bertentangan dengan kesucian agama Islam. Ini menunjukkan bahawa ada lagi bentuk penjajahan yang perlu diperjuangkan demi kebebasan selain daripada pembebasan tanah air iaitu kemerdekaan fikrah dan minda agar acuannya menepati seperti yang dituntut oleh Syarak. Ini bermakna, tiada kemerdekaan bagi sesiapa yang fikrah, pemikiran dan mindanya terpesong daripada tuntutan syariat Islam.
Kemerdekaan yang sebenarnya hanyalah dengan menghambakan diri kepada Allah SWT iaitu dengan mentauhidkan-Nya dan tidak menyengutukan-Nya dengan apa pun. Allah SWT ialah Tuhan yang mencipta dunia dan memiliki segalanya, yang berhak untuk disembah dan tiada yang lain daripada-Nya, serta menolak untuk menjadi hamba kepada sebarang persembahan dan kemungkaran. Allah berfirman dalam al-Quran, surah Ta Ha ayat 14, bermaksud: “Sesungguhnya Aku ini ialah Allah, tidak ada Tuhan (yang hak) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingat Aku.”
Kebebasan yang diperolehi daripada kemerdekaan tersebut adalah kebebasan untuk beribadat hanya kepada Allah SWT tanpa sebarang sekatan dan halangan, mahupun diskriminasi. Hanya Allah jua yang akan memelihara kita semua kelak sebagai hamba-Nya. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 96, bermaksud: “Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang telah mereka usahakan.”
Jika dilihat kepada konteks pandemik ini, kemerdekaan itu boleh disandarkan kepada sejauh mana tahap kemampuan kita untuk menang peperangan melawan virus dan penyakit Covid-19 yang sedang menyerang ketika ini. Berdasarkan kepada jumlah jangkitan kes baharu yang dilaporkan saban hari menunjukkan bahawa kita belum menang dan bebas, malah kedudukan kita masih jauh di belakang dalam perjuangan melawan serangan virus ini.
Sebagai contoh, pada minggu ketiga bulan Ogos 2021, kes harian jangkitan baharu telah hampir mencecah kepada sebanyak 23,000 kes, dan merupakan rekod tertinggi negara buat masa ini. Hakikatnya, ramai dalam kalangan kita yang tewas dalam perjuangan ini. Ramai lagi di antara kita yang berasa terbelenggu dan tiada kebebasan, tidak sama lagi suasana seperti ketika sebelum serangan pandemik ini. Kita masih belum lagi berjaya mencapai kemenangan dan kebebasan. Justeru, dalam konteks pandemik ini, perjuangan menuju kemerdekaan masih lagi perlu diteruskan dengan penuh kesungguhan.
Di samping itu, peperangan menghadapi pandemik yang mengganas ini menuntut tahap keprihatinan dan kerjasama yang tinggi semua golongan masyarakat, bersesuaian dengan tema sambutan hari kebangsaan. Keprihatinan untuk bersatu hati mengurangkan penularan jangkitan kepada diri sendiri dan orang lain dengan sentiasa mengamalkan SOP ditetapkan serta membantu sesama individu yang berdepan masalah akibat penyakit ini. Ia merupakan satu sikap yang amat patriotik kerana dilakukan dengan penuh kecintaan demi melindungi diri dan semua orang daripada jangkitan.
Keprihatinan Malaysia dalam membendung pandemik ini dengan melaksanakan program vaksinasi di seluruh negara wajar menjadi keutamaan dan perlu diterima baik oleh semua. Namun vaksin semasa adalah dimiliki oleh pengeluar dari luar negara. Justeru, negara wajar menggunakan nikmat kemerdekaan dan kebebasan ini untuk mencipta vaksin keluaran sendiri yang lebih sesuai dengan sosio budaya dan kehendak tempatan. Produk tempatan adalah lebih diyakini dengan kualiti keselamatan dan kebersihan yang lebih terjamin. Contohilah kebebasan dalam berkarya dan berujikaji yang dilakukan oleh negara Asia lain seperti Indonesia dan Vietnam yang telah pun berjaya menghasilkan vaksin Covid-19 keluaran tempatan mereka sendiri. Ia juga adalah contoh kepada fikrah kemerdekaan dan keprihatinan negara dan rakyat dalam era pandemik ini yang bebas dalam menentukan hala tuju masa depan negara demi kesejahteraan semua tanpa dipengaruhi oleh sebarang anasir penjajahan.