Rata-rata, semua bersetuju bahawa hukuman bagi pesalah sumbang mahram perlu ditingkatkan. Ini memandangkan ia dilakukan oleh pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga dan melindungi mangsa seperti bapa, datuk dan abang yang juga merupakan wali bagi mangsa itu. Ternyata, perintah Allah dalam Surah At-Tahrim, ayat 6 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka” telah tidak diendahkan. Sebaliknya, bukan sahaja para wali ini yang memasukkan diri mereka ke dalam neraka, tetapi juga menjadikan kehidupan ini seperti neraka bagi mangsa-mangsa mereka.
Sehingga kini, kita masih lagi sedang memikirkan apakah langkah terbaik untuk menangani jenayah sumbang mahram ini. Walaupun langkah pencegahan adalah terbaik, agak terlalu optimis untuk memikirkan kita akan berjaya membanteras jenayah ini. Apa yang dapat kita harapkan ialah untuk mencegah kes seumpama ini dari berleluasa di dalam masyarakat. Setakat ini, antara langkah yang dicadangkan ialah untuk mengenakan hukuman minima yang lebih berat serta mewujudkan satu sistem yang dapat melindungi dan memulihkan mangsa yang melaporkan.
Namun, satu perkara yang tidak dapat dinafikan ialah hakikat bahawa kedua-dua langkah ini tidak akan mendatangkan kesan sekiranya jenayah ini tidak dilaporkan. Jadi, untuk memastikan kedua-dua langkah ini berkesan, mangsa perlu melaporkan kejadian tersebut.
Kajian menunjukkan bahawa ada beberapa sebab mengapa mangsa tidak melaporkan kejadian ini. Pertamanya, kerana mereka diancam oleh penceroboh. Keduanya, mereka rasa malu kerana masyarakat memandang hina terhadap hubungan jantina di luar nikah walaupun mereka sebenarnya telah dirogol atau menjadi mangsa sumbang mahram. Akhirnya, mereka tidak tahu bagaimana untuk melaporkan kejadian itu dan kepada siapa harus dilaporkan kejadian itu.
Untuk menggalakkan mangsa melaporkan kejadian ini, halangan-halangan seumpama ini hendaklah diatasi. Jadi, jika ancaman penceroboh yang menjadi halangan maka mangsa perlu diyakinkan tentang keselamatan mereka sekiranya mereka tampil ke hadapan untuk melapor. Di sinilah perlunya satu sistem sokongan yang dapat melindungi mangsa dan memulihkannya dari segi fizikal dan psikologinya. Sistem ini juga perlu mampu membantu keluarga yang terlibat kerana dalam kebanyakan kes, apabila si bapa diasingkan dari keluarga tersebut, keluarga itu kehilangan punca pendapatan yang utama.
Untuk mengatasi rasa malu yang dialami oleh mangsa, mereka perlu disedarkan bahawa tiada apa yang perlu dimalukan kerana mereka tidak meminta kejadian itu untuk berlaku. Oleh kerana paksaan, mereka bukan di pihak yang salah. Sebaliknya, mereka merupakan mangsa dan sebagai mangsa mereka berhak untuk menuntut keadilan. Di masa yang sama, masyarakat perlu disedarkan untuk membezakan antara hubungan jantina luar nikah secara suka sama suka dengan hubungan luar nikah yang dipaksakan. Jika mereka gagal membezakannya, ini bererti mereka telah berlaku tidak adil kepada mangsa.
Dari segi bagaimana dan kepada siapa kejadian itu perlu dilaporkan, kita perlu mendidik masyarakat amnya, dan mangsa khususnya, cara-cara membuat laporan secara terperinci. Melalui media massa, boleh dihebahkan tempat-tempat yang perlu dituju dan prosedur-prosedur yang perlu diambil untuk melaporkan kejadian tersebut. Mangsa juga perlu dinasihatkan untuk terus melapor sehinggalah tindakan diambil dan bukannya berputus asa bila usaha pertama untuk melaporkan tidak diambil serius. Ini bererti jika aduan yang dibuat kepada ibu tidak memberi kesan, adukan kepada guru atau guru besar atau sesiapa sahaja sehinggalah tindakan diambil. Mangsa juga perlu tahu bahawa mereka perlu mencatatkan butir-butir kejadian seperti tarikh, masa dan tempat, juga apa yang telah dilakukan kepada mereka untuk memudahkan mereka membuat laporan.
Menurut kajian juga, bagi mangsa yang melaporkan kejadian seumpama ini, mereka didorong oleh beberapa faktor. Pertama, kehamilan atau bimbang akan hamil. Kedua, mereka merasakan perbuatan itu salah dan dilarang agama. Ketiga, mereka bimbang perbuatan itu diulang. Akhirnya, mereka ingin melindungi adik perempuan mereka.
Jadi, faktor-faktor di atas perlu digunakan sebaik-baik untuk menggalakkan mangsa melaporkan kejadian sumbang mahram ini. Hakikat bahawa mangsa bimbang akan hamil dapat diperbesarkan implikasinya dengan menyatakan bahawa masa depan mereka mungkin terjejas kerana terpaksa berhenti sekolah atau menangguhkan persekolahan akibat kehamilan itu.
Masyarakat juga perlu disedarkan bahawa perbuatan sumbang mahram ini adalah satu kesalahan dan dilarang agama dan jika ia berlaku, ia hendaklah dihentikan dengan segera dengan melaporkannya.
Kajian juga menunjukkan bahawa kebanyakan kes sumbang mahram diulang. Jadi, masyarakat perlu disedarkan tentang ini dan bagi mangsa jika tidak mahu kejadian itu berulang, mereka hendaklah melaporkan kejadian tersebut sejak kali pertama ia berlaku.
Akhirnya, hakikat bahawa mangsa bimbang adik mereka menjadi mangsa perlu digunakan dengan sebaik-baiknya kerana kejadian seperti ini pernah berlaku dan menjadi tanggungjawab mereka untuk melindungi adik-adik mereka dari menjadi mangsa yang seterusnya.
Sudah pasti cara-cara di atas tidak akan membantu mangsa-mangsa yang lebih muda, semuda lima tahun, yang tidak tahu apa yang sedang dilakukan terhadap mereka. Maka, untuk melindungi anak-anak kecil ini, kewaspadaan dan pemerhatian ibu dan orang sekeliling adalah penting. Dikatakan bahawa mangsa akan menunjukkan tanda-tanda fizikal seperti kegatalan di kemaluan, kesakitan atau luka di kemaluan atau mulut, jangkitan di saluran kencing atau menghadapi masalah untuk buang air kecil dan seumpamanya. Maka, jika anak kita menunjukkan tanda-tanda ini, bawalah mereka kepada doktor untuk diperiksa.
Kadangkala kanak-kanak itu tidak menunjukkan tanda-tanda fizikal tetapi berlaku perubahan pada tingkahlaku mereka seperti tidak mahu atau takut kepada seseorang atau sesuatu tempat seperti bilik air atau sikap yang lebih suka memerap atau ketakutan atau suka menyendiri dan tidak mahu bercakap. Ini juga tanda-tanda yang perlu kita beri perhatian dan bertindak terhadapnya.
Namun, ada kanak-kanak yang tidak menunjukkan tanda-tanda fizikal dan tidak menunjukkan perubahan tingkahlaku yang ketara setelah menjadi mangsa. Dalam hal ini, ia bergantung kepada usaha si ibu atau orang yang hampir dengannya untuk mengambiltahu apakah ia menjadi mangsa atau tidak. Oleh yang demikian, sebagai ibu, mungkin kita perlu banyak mengambiltahu tentang mereka, bertanya tentang apa yang dibuatnya, juga tentang apa yang telah dibuat ke atas dirinya. Kajian menunjukkan dalam kes seumpama ini, kejadian sumbang mahram hanya diketahui bila kanak-kanak itu melaporkannya kepada orang-orang yang �mengambilberat� terhadap diri mereka. Mungkin ini menjadi senjata utama para ibu untuk melindungi anak-anak mereka.
Kita tahu, agak sukar untuk menyedarkan penceroboh mahupun bakal penceroboh untuk tidak melakukan perkara ini. Namun, kita masih mampu untuk menyedarkan mangsa tentang kepentingan membuat laporan. Sebagai mangsa, mereka berhak menuntut keadilan walaupun ianya mengaibkan penceroboh. Tambah pula dalam hal ini, penceroboh merupakan orang yang diberi amanah oleh agama dan masyarakat untuk menjaga kebajikan mangsa. Jika mangsa merahsiakannya, bukan sahaja penceroboh akan terlepas tetapi mereka mungkin akan diceroboh lagi atau adik-adik mereka pula yang menjadi mangsa. Mangsa ada tanggungjawab untuk menuntut keadilan untuk dirinya dan memelihara adik-adiknya yang lain dari kerakusan penceroboh. Hanya dengan laporan mangsa, hukuman yang lebih berat dan sistem sokongan yang lengkap dapat memenuhi fungsi-fungsinya.
Ibu atau sesiapa sahaja yang bakal menjadi orang tengah membantu mangsa melaporkan kejadian ini perlulah mengambil tanggungjawab tersebut. Ingatlah firman Allah dalam Surah An-Nisa�, ayat 13 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibubapa dan kaum kerabat kamu”