Pada dasarnya isteri wajib mentaati suami, selagi ketaatan tersebut dalam lingkungan perkara yang diharuskan syarak. Sehinggakan perkara atau ibadah sunat yang hendak dikerjakan oleh isteri pun harus mendapat keizinan suami terlebih dahulu. Begitulah besarnya kuasa atau autoriti suami yang diberikan oleh Allah SWT disebabkan berat dan besar tanggungjawab suami sebagai pemimpin keluarga. Selama mana satu-satu perkara itu dibenarkan oleh agama Islam, suami dibenarkan untuk mengeluarkan sebarang dasar, perintah atau polisi dalam unit keluarga yang ditadbirnya. Ini kerana, tujuan asal peranan seorang suami adalah untuk melindungi isteri dan juga setiap ahli keluarga yang berada di bawah jagaannya. Tanggungjawab berat yang perlu dilaksanakan itu nanti akan dibicarakan di akhirat kelak sama ada suami benar-benar telah melaksanakannya dengan sempurna dan mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh syarak, ataupun sebaliknya.
Antara tanggungjawab suami adalah memastikan hak isteri ditunaikan dengan sempurna. Iaitu, menjaga setiap kebajikan dan nafkah zahir dan batin isteri yang merangkumi penyediaan tempat perlindungan, makan minum, menjaga aurat, kesihatan, ibadah dan juga akhlak isteri. Walaupun keperluan batin merupakan keperluan bersama antara suami isteri, tetapi sekiranya isteri mempunyai kehendak supaya keperluan batinnya dipenuhi, maka menjadi tanggungjawab suami untuk memenuhinya. Begitulah sebaliknya. Dan tugas memberi nafkah batin oleh suami sebenarnya bukan sekadar memberi kepuasan dalam persetubuhan semata-mata malahan juga kesejahteraan kepada emosi dan ketenangan fikiran bagi isteri.
Dalam Surah al-Baqarah ayat 223, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Isteri-isteri kamu umpama kebun tanaman kamu, oleh itu, datangilah kebun kamu itu dengan cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu; dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemui-Nya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira wahai Muhammad kepada orang-orang yang beriman”.
Tentunya akan menjadi dilema yang berat di pihak isteri sekiranya suami berkeinginan untuk menyetubuhinya dengan cara yang bertentangan dengan fitrah. Menolak hasrat suami tentulah akan mengakibatkan konflik suami isteri. Hubungan sedemikian tidak akan memberikan suasana kehidupan yang menenangkan jiwa.
Dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh an-Nasa’i, Baginda Rasulullah SAW telah memberi panduan kepada pasangan suami isteri supaya hanya berjimak melalui laluan hadapan dan tidak membenarkan persetubuhan dilakukan secara luar tabii ataupun berjimak semasa isteri didatangi haid. Begitu juga dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “Tidak kiralah dia berjimak dalam keadaan berdiri, duduk atau meniarap (suami menindih perempuan yang meniarap di atas lantai) selagi tempat masuk zakar adalah di faraj”.
Walaupun pihak isteri rata-ratanya memaklumi bahawa hasrat luar tabii daripada pihak suami mesti ditolak, tetapi ia bukan mudah untuk dilakukan. Sesetengah isteri membenarkannya kerana rasa sayang, tidak sampai hati menolak dan ada juga kerana takut dengan ugutan suami. Mereka membiarkan perlakuan melampau pihak suami walaupun dalam keadaan terpaksa dan menanggung rasa sakit dan berdosa. Malah rata-ratanya tidak mengetahui bagaimana undang-undang melindungi hak mereka.
Memaksa isteri melakukan perkara yang bertentangan dengan hukum syarak dalam keadaan isteri tidak bersetuju dengan tindakan suami akan menyebabkan isteri merasa terdera. Sekiranya keadaan ini terus berlaku dan suami tetap berdegil walaupun telah diberi nasihat, isteri boleh membawa hal ini ke muka pengadilan untuk memohon perceraian. Walau bagaimanapun, perceraian bukanlah hukuman kepada pihak suami kerana ia setakat membebaskan isteri daripada terus menjadi mangsa suami.
Ulama Mazhab Maliki berpendirian bahawa perbuatan ini adalah dilarang dan suami yang melakukannya hendaklah dikenakan hukuman apabila sabit kesalahan. Manakala ulama Mazhab Shafii pula mengatakan hukuman perlu dijatuhkan hanya apabila suami mengulang perbuatan tersebut selepas ia diberi tegahan untuk tidak mengulanginya. Walau bagaimanapun sebahagian ulama yang lain mengatakan hukuman boleh terus dikenakan terhadap suami tanpa sebarang nasihat atau syarat terlebih dahulu. Saya berpandangan, pandangan ini lebih praktikal untuk dilaksanakan kerana setiap orang Islam seharusnya memaklumi bahawa perbuatan ini amat dimurkai dan dilaknat oleh Allah, dan hukumnya berdosa.
Dalam sebuah Hadis Baginda Rasulullah bersabda yang mafhumnya adalah, “Allah Yang Maha Agung tidak akan memandang lelaki yang mengadakan persetubuhan sesama lelaki atau wanita melalui duburnya”.
Oleh yang demikian, walaupun perlakuan ini tidak termasuk dalam kesalahan hudud, ataupun termasuk dalam tafsiran “liwat”, tetapi pihak pemerintah boleh mewujudkan sebarang peruntukan bagi menguruskan perkara ini menurut undang-undang.
Sehubungan ini, “liwat” ditafsirkan oleh Undang-undang Islam di Malaysia contohnya menurut Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 1993, Seksyen 16 sebagai, “suatu kesalahan yang merupakan persetubuhan di antara seorang lelaki dengan seorang lelaki lain atau di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan lain selain daripada isterinya yang dilakukan di luar tabii, iaitu melalui dubur”. Sebagai perbandingan, Seksyen 377A Kanun Keseksaan memberi definisi “liwat” sebagai, “suatu perbuatan oleh tertuduh yang memasukkan zakarnya ke dalam mulut atau dubur seseorang lain dan tindakan tertuduh itu dikatakan sebagai di luar tabii semula jadi”.
Manakala Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor memperuntukkan Seksyen 28 bagi kesalahan persetubuhan yang bertentangan dengan hukum tabii yang menyebut bahawa, “Mana-mana orang yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii dengan mana-mana lelaki, perempuan atau binatang adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu”.
Walaupun peruntukan ini bersifat agak umum, ia masih boleh dijadikan sebagai medium penyelesaian undang-undang bagi mana-mana isteri yang mengharapkan pembelaan akibat perlakuan buruk suami mereka.
Jelas bahawa, hukuman menurut Kanun Keseksaan lebih berat berbanding yang diperuntukkan di bawah enakmen jenayah syariah negeri dengan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun dan sebatan. Ini memberikan ruang yang lebih luas kepada kaum Hawa kerana Kanun Keseksaan tidak mengecualikan isteri sebagai mangsa pelaku. Malahan mungkin peruntukan yang terkandung dalam Kanun Keseksaan ini lebih selaras dengan maqasid al-syariah iaitu menegakkan keadilan kepada mereka yang dizalimi dengan lebih berkesan.
Mudah-mudahan dengan perkongsian maklumat sebegini akan menghindarkan perlakuan yang boleh diibaratkan seperti “harapkan pagar, pagar makan padi” kerana peranan suami sebagai ketua keluarga adalah untuk melindungi dan menjaga kemaslahatan isteri dari semua aspek termasuklah dari sudut emosi dan jasmani.