Maksud sebuah Hadith menjelaskan bahawa faktor penentu sama ada baik, atau sebaliknya buruk sesebuah masyarakat bergantung pada dua golongan, iaitu umara’ dan `ulama’. Apa yang diungkap dalam Hadith ini kelihatan amat bertepatan dengan apa telah berlaku sepanjang sejarah dan juga dapat disaksikan berlaku pada hari ini. Hubungan yang bersifat timbal-balik antara kedua-dua golongan ini ternyata mempunyai kesan terhadap pelaksanaan urusan pemerintahan, khususnya keadaan hidup rakyat. Jika hubungan tersebut diasaskan pada ketaqwaan dan kebaikan maka hasilnya sudah tentu baik, namun jika sebaliknya ia didasarkan pada keburukan atau kepentingan tertentu, maka buruklah akibatnya.
Pemerintah yang baik menyedari bahawa urusan kepemimpinan merupakan amanah besar yang kelak akan dipersoal di hadapan Allah s.w.t.; daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah yang sebesar-besarnya. Kekuasaan yang berada di tangannya tidak dianggap sebagai nikmat bahkan suatu ujian terhadap dirinya dan ia sentiasa berasa bimbang seandainya gagal melaksanakannya dengan sempurna. Ia juga menyedari bahawa kekuasaan yang dimiliki tidak sama sekali memberikan ruang kepadanya untuk melakukan atau juga meninggalkan apa sahaja yang dikehendaki sesuka hatinya. Keimanan dalam dirinya akan sentiasa membuat ia sedar akan kedudukan dirinya, iaitu hanyalah sebagai salah seorang daripada rakyatnya sendiri yang dipilih untuk memimpin mereka. Kepercayaan yang diberikan oleh mereka disertai amanah agar ia melindungi kemaslahatan dan memastikan kesejahteraan hidup mereka dan pada masa yang sama, melenyapkan segala bentuk kemudaratan atau kesulitan yang menekan hidup mereka. Kekuasaan yang ada pada pemerintah berkenaan juga bersyarat, iaitu selagi ia melaksanakan segala kewajipan dan menunaikan hak rakyatnya. Demikianlah juga ketaatan kepadanya yang terbatas, sebagaimana ditekankan dalam maksud sebuah Hadith Nabi s.a.w., iaitu selagi ia tidak memerintahkan sesuatu yang bertentangan dengan perintah Allah s.w.t.
Sedemikian besar amanah yang dipikul dan kegusaran terhadap kemampuan melaksanakannya pasti mendorong pemimpin yang baik ini untuk memilih penasihat yang juga baik. Penasihat-penasihatnya pastilah terdiri daripada kumpulan ilmuwan atau `ulama’ yang mampu memberikan nasihat, tunjuk ajar serta teguran jujur yang dapat mengelakkan dirinya daripada hanyut dalam nikmat kekuasaan yang membinasakan. Pemerintah seperti ini meyakini bahawa golongan ilmuwan inilah yang akan membantunya menemukan hikmah kerana sebagaimana dijanjikan Allah s.w.t., melalui hikmahlah ia akan memperoleh kebaikan yang banyak (Surah al-Baqarah 2 : 269), yang amat bermanfaat bagi urusan pemerintahannya. `Ulama’ yang didampingi pemerintah ini pula akan memainkan peranan mereka dengan berkesan. Tiada yang menjadi matlamat mereka dalam menunaikan tanggungjawab sebagai penasihat selain kebaikan untuk pemimpin dan kemaslahatan, kemakmuran serta kesejahteraan hidup pula kepada rakyat.
Hal ini pastinya didorong oleh perasaan takut kepada Allah s.w.t. seandainya melanggar perintah-Nya, sebagaimana digambarkan oleh Allah sw.t. dalam firman-Nya (Surah Fatir 35 : 28). Dalam mentafsirkan ayat ini, Ibn Kathir memetik pendapat Ibn `Abbas r.a. bahawa ketakutan golongan `ulama’ terhadap Allah bertambah besar apabila mereka mengenal Allah s.w.t. dengan sempurna. Mereka tidak sekali-kali akan mensyirikkan-Nya dengan sesuatu apa pun, (termasuk dengan memilih manusia untuk ditaati dan ditakuti lebih daripada Allah s.w.t.), menghalalkan apa yang dihalalkan-Nya serta mengharamkan apa yang diharamkan-Nya, memelihara segala peringatan-Nya, dan meyakini bahawa mereka akan menemui-Nya dan akan dihisab segala amalan mereka ketika hidup di dunia. Kewujudan penasihat dan `ulama’ yang berakhlak mulia serta berkeperibadian tinggi seumpama ini akhirnya mewujudkan suasana sejahtera lagi aman dalam kehidupan rakyat. Rakyat akan terdorong untuk mencontohi tindakan pemerintah mencintai ilmu dan menggalakkan kegiatan keilmuan selain mengasihi serta memuliakan `ulama’. Dengan yang demikianlah terbinalah akhlak dan terbentuklah adab mereka yang tinggi. Hal ini sebagaimana yang dapat dilihat berlaku dalam pemerintahan khalifah-khalifah dan sultan-sultan agung dalam sejarah pemerintahan Islam. Antaranya termasuklah Khalifah Harun al-Rasyid (766-809M.) dan kumpulan ilmuwannya, termasuklah Imam Abu Yusuf yang menghasilkan kitab al-Kharaj yang mengandungi nasihat serta garis panduan dalam segala urusan berkaitan dengan pemerintahan seperti percukaian dan kewangan, persoalan jenayah dan hukuman termasuklah isu murtad dan cara menanganinya serta pengurusan dan perlindungan hak banduan; Khalifah al-Ma’mun (813-833M.) dan ilmuwannya seperti al-Khawarizmi yang menghasilkan kitab Al-Jabr wa al-Muqabalah untuk digunakan dalam urusan perdagangan, penghakiman, dan penggalian terusan; serta Sultan al-Zahir Barquq (1382-1399M.) dan ilmuwannya, Ibn Khaldun yang menghasilkan kitab al-Ibar. Sebahagian besar pemerintah Islam yang lain pula menggunakan khidmat ilmuwan untuk tujuan pentadbiran negara dan pada waktu-waktu kritikal seperti peperangan. Antara mereka termasuklah Sultan Muzaffar Saifuddin Qutuz (1259-1260M.) dan penasihatnya, Sultan al-`Ulama’ `al-`Izz ibn `Abdis Salam, iaitu dalam menghadapi tentera Mongol dalam peperangan di `Ayn Jalut.
Kemelut ekonomi dan politik yang membelenggu Mesir, mendorong Sultan Qutuz membuat keputusan memungut cukai yang besar daripada rakyat untuk digunakan oleh tentera. Dengan penuh jujur dan tegas, Sultan al-`Ulama’ al-`Izz mengutarakan pandangannya bahawa jika musuh menyerang negara Islam, setiap individu wajib mempertahankannya. Apa juga bentuk cukai yang diperlukan bagi membiayai peperangan dan pertahanan negara diharuskan untuk dipungut. Namun ia bersyarat, iaitu tiada satu pun barang-barang bernilai seperti pelana bersepuh emas dan pedang berhias batu permata yang masih berada di dalam Baitulmal. Selain itu, sultan perlu menjual barang-barang berharga milik baginda. Begitu juga dengan kaum kerabat, gabenor, pembesar-pembesar yang lain dan tentera, harta mereka perlu dibelanjakan bagi tujuan yang sama. Nasihat Sultan al-`Ulama’ al-Izz bukan sahaja berjaya menyelamatkan rakyat tetapi membakar semangat sultan, panglima tentera, anggota tentera dan seluruh rakyat. Tentera Islam yang bertembung dengan tentera musuh di Palestin akhirnya berjaya mencapai kemenangan besar.
Selain Sultan Qutuz, Sultan Muhammad al-Fatih (1451-1481) juga menjadikan gurunya, Syeikh Syamsuddin al-Wali sebagai penasihat ketika mengadakan persiapan untuk menghadapi peperangan. Syeikh Syamsuddin yang mendidiknya sejak kecil sehingga menjadi pemerintah yang memiliki tahap keilmuan, keperibadian serta kewibawaan yang amat tinggi. Baginda memiliki kepakaran dalam bidang ketenteraan, sains, matematik di samping menguasai enam buah bahasa. Sifat-sifat baginda dan tenteranya sebagai penakluk Konstantinopal disebut oleh Nabi s.a.w. dalam Hadith Baginda sebagai sebaik-baik raja dan tentera. Di alam Melayu, kita dapat melihat bagaimana Sultan Zainal Abidin III (1725-1734) melantik Tok Ku Paloh atau Syed `Abdul Rahman sebagai penasihatnya dalam urusan pentadbiran negeri Terengganu, khususnya dalam menghadapi ancaman British. Begitu juga dengan beberapa orang pemerintah Kesultanan Melayu yang lain seperti sultan-sultan negeri Kedah. Antaranya termasuklah Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah (1853-1879M.) yang berguru dengan Syeikh Muhammad Taib yang dilantik sebagai penasihat serta mufti di samping sering dibawa berunding dengan kerajaan Siam.
Malang sebaliknya bagi pemerintah yang buruk atau rosak akhlaknya. Kekuasaan yang dimiliki menjadi musibah besar bagi dirinya. Amanah yang diberikan kepadanya disalahgunakan dengan sewenang-wenangnya. Sumber pendapatan negara dan segala bentuk kemewahan diraih untuk dinikmati hanya oleh diri, kaum-kerabat, dan sahabat-handainya sedangkan rakyat tertindas dan dihimpit kemiskinan serta kemelaratan hidup. Malah pelbagai bentuk salah laku dan kemungkaran berlaku dalam kalangan rakyat disebabkan mereka tidak memperoleh teladan yang baik untuk dituruti. Dalam hubungan ini, tiada pihak lain yang mampu menegur dan membetulkan kelalaian dan kesilapan pemerintah kecuali `ulama’. Namun jika `ulama’ pula gagal memainkan peranan tersebut, maka ia memberi isyarat bahawa golongan yang memegang amanah keilmuan itu juga telah rosak jiwa serta buruk akhlak mereka. Qatadah berkata, “`Ulama’ seumpama garam. Jika sesuatu rosak, garamlah yang digunakan untuk membaikinya, namun jika garam itu sendiri yang rosak, tiada apa pun yang boleh digunakan untuk membaikinya. Barangkali kisah legenda Hang Nadim yang disebut dalam Sulalatus Salatin yang menyelamatkan Singapura daripada dilanggar todak merupakan penjelasan terbaik tentang akibat buruk apabila penasihat yang sewajarnya memberikan nasihat yang baik bertindak sebaliknya, hanya disebabkan dorongan nafsu melulu. Kebijaksanaan Hang Nadim yang masih kecil untuk menyelamatkan Singapura dalam musibah itu menakjubkan raja sehingga mendorong baginda untuk mengurniai Hang Nadim suatu anugerah. Namun pembesar-pembesar istana yang berasa hasad terhadapnya telah mempengaruhi raja dengan fitnah mereka bahawa Hang Nadim berkemungkinan kelak merampas kuasa baginda dan memerintah Singapura. Raja Singapura yang mudah mempercayai dakwaan palsu tersebut telah mengarahkan pembesar-pembesar supaya membatalkan istiadat penganugerahan, sebaliknya menggantikannya dengan pelaksanaan hukuman bunuh. Begitu malang Hang Nadim yang berjasa besar kepada negeri namun akhirnya menjadi mangsa kejahilan si raja dan kejahatan serta kekejaman penasihat-penasihatnya.
Bersempena dengan tahun baharu hijrah yang baru sahaja disambut wajarlah kita bermuhasabah diri. Bagaimanakah keadaan kita pada hari ini? Adakah kita sebagaimana yang digambarkan dalam catatan sejarah kegemilangan pemerintahan Islam, iaitu pemerintahnya terdiri daripada individu yang benar-benar jujur, berkelayakan, serta berkewibawaan tinggi dan memiliki kecenderungan pula untuk memilih penasihat yang juga memiliki keperibadian yang mulia dan benar-benar berkelayakan? Ataukah pula kita hanya mengulangi sejarah yang berlaku kepada Raja Singapura dan penasihat-penasihatnya serta Hang Nadim yang malang itu? Kekuasaan yang dimiliki tidak diurus dengan beramanah lagi bijaksana lantaran kejahilan, kelemahan, dan ketiadaan wibawa sebagai pemerintah. Penasihat-penasihat pula hanya memikirkan kepentingan peribadi dan terbiasa dengan sifat jatuh-menjatuhkan dan tindas-menindas serta menzalimi orang lain. Individu yang berilmu lagi bijaksana, jujur, dan berkelayakan diketepikan begitu sahaja atau juga dianayai serta menjadi mangsa kezaliman mereka. Alangkah malangnya jika itulah hakikat keadaan kita kerana ia membuktikan tiada suatu apa pun yang dipelajari kita daripada peristiwa sejarah. Hilang lenyaplah sifat Mu’min sejati pada diri kita kerana sebagaimana diingatkan oleh Nabi s.a.w. dalam maksud sebuah Hadith Baginda bahawa Mu’min sekali-kali tidak akan mengulangi kesilapan yang pernah dilakukannya. Tidaklah mustahil pula bahawa kita akan menjadi golongan yang diungkap oleh Ibn Khaldun sebagai bangsa yang akan dihukum oleh sejarah sendiri sebagai akibat kecuaian kita untuk menghargai serta mengambil pengajaran daripadanya.