Kehadiran bulan Syawal yang dinanti amat dihargai namun kehilangan Ramadhan yang berlalu pergi pasti dirasai. Menyambut Syawal harus disertai dengan rasa syukur, gembira dan tenang setelah melalui latihan pendidikan selama sebulan di bulan Ramadhan. Aidilfitri tidak wajar hanya disinonimkan dengan kegembiraan namun harus bermuhasabah dalam diri, apakah makna keseronokan dan kegirangan hari keraian tersebut?
Allah menganugerahkan Ramadhan sebagai medan tarbiyyah untuk mencari sebuah kemerdekaan. Memerdekakan diri daripada belenggu penjajahan syaitan dan hawa nafsu merupakan makna sebenar di sebalik Ramadhan. Kini, Aidilfitri diraikan sebagai satu tanda kemenangan. Kemenangan dan kemerdekaan diraikan dengan kegembiraan. Namun, bermuhasabah dan bertanyalah kepada diri sendiri apakah kita telah terlepas daripada bentuk penjajahan tersebut atau masih membutakan hati menjauhi kebenaran? Apakah layak untuk kita menyambut kegembiraan sedangkan diri belum lagi merdeka apatah lagi dengan sambutan yang berlebih-lebihan? Di kala masih ada umat Islam lain yang menderita, dizalimi, ditindas dan diselubungi kesedihan dengan pelbagai bentuk ujian Allah, apakah kita masih tega diulit keseronokan menyambut Syawal?
Seiring dengan mendalamnya maksud Aidilfitri iaitu kembali kepada fitrah sebenar, wajarlah ia menjadi kayu ukur untuk memulakan langkah baru dan mengekalkan momentum yang sedia terjana dalam diri semasa berpuasa. Umat Islam perlu istiqamah untuk bebas daripada pengaruh syaitan dan hawa nafsu agar terus hidup sesuci fitrah manusia. Iltizam juga perlu ditanam untuk memenuhi syarat kehidupan sebagai mukmin sejati yang menjadi khalifah di muka bumi. Tidak lain hanyalah bertujuan untuk mengabdikan diri kepadaNya dan mengakhiri kehidupan dengan husnul khatimah (pengakhiran yang baik).
Selari dengan firmanNya dalam surah as-Syams ayat 9 yang bermaksud :“Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwanya (dari belenggu nafsu).”
Kini, seharusnya kita mengambil ibrah daripada berlalunya Ramadhan. Allah datangkan Ramadhan untuk mendidik kita. Kita mempunyai banyak juadah makanan dan hidangan, namun kita masih memilih untuk berpuasa sehingga terbenam matahari. Banyak pula jenis minuman, namun kita tetap terus memilih untuk berpuasa di saat diri kehausan. Puasa banyak melatih kita untuk mengawal diri dan mengatakan ‘tidak’ kepada sesetengah kehendak yang didambakan. Kita bermujahadah dengan apa yang tidak mampu dibuat sebelum Ramadhan. Justeru, apakah ia benar-benar mengajar kita mempunyai daya kawalan yang baik untuk terus tidak melakukan perkara-perkara terlarang biarpun selepas bulan Ramadhan? Apakah mampu untuk kita mengemudi nafsu dalam melorongkan perkara baik dan buruk mengikut neraca Islam? Di bulan Syawal inilah, wajar untuk bermuhasabah meletakkan diri kita sama ada terus istiqamah atau tersungkur dalam perjuangan melawan hawa nafsu dan ajakan syaitan.
Ramadhan menuntut kita berusaha menjaga pahala puasa agar tidak berkurangan. Rasullullah S.A.W yang bermaksud:“Berapa banyak orang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa manfaat daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga”.Demikian juga dengan bulan-bulan seterusnya sepanjang hidup, kita patut berusaha untuk mengelakkan dan mengekang diri daripada segala bentuk kehilangan pahala yang menyumbang kepada dosa. Inilah semangat yang kita harapkan daripada Ramadhan. Bermulanya Syawal menjadi titik tolak agar dosa-dosa itu tidak diperolehi tanpa sedar atau sebaliknya. Kunjung-mengunjungi sesama Islam adalah untuk mengeratkan tali persaudaraan dan menyuburkan kasih sayang. Namun, tidak sepatutnya pertemuan itu juga menjadi medan untuk menghilangkan pahala dengan menjadikan lidah sebagai puncanya. Menjadi suatu kejayaan yang besar sekiranya puasa dapat mendidik lidah kita daripada mengumpat, mengeji, berdusta dan menuduh orang lain. Lebih baik lagi sekiranya ia terus istiqamah dalam bulan Syawal dan sepanjang hayat. Cukuplah sabda Nabi SAW ini menjadi peringatan buat kita:
“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda SAW: “Orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah sesiapa yang datang pada hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki, menuduh memakan harta, menumpah darah dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).
Pada bulan Ramadhan, rintihan dan pengaduan banyak dihubungkan terus dengan Allah. Allah menjadi sebaik-baik tempat utama untuk kita mengadu dan bergantung di saat bermunajat dan qiyamullail pada malam-malam Ramadhan. Ia merupakan latihan untuk kita bergantung hanyalah kepada Allah apabila pelbagai ujian dan mehnah berlaku dalam hidup. Itulah fitrah manusia yang memerlukan Allah sebagai tempat pergantungan. Tragedi MH370 dan MH17 serta peperangan di Gaza terus mendidik hati sanubari setiap umat Islam, bahawa Allah sebagai tempat pergantungan yang utama walau di mana kita berada. Dan kita tidak mampu menjangkakan apakah yang akan berlaku pada hari esok biarpun begitu rapi dan teliti setiap perancangan kita. Maka, dengan itu, eloklah kiranya perayaan Aidilfitri yang kita raikan ini perlu bersederhana serta tidak melampaui batas keseronokan dan merajakan budaya hiburan yang tiada jati diri muslim. Kita perlu turut berlaku adil dengan perasaan umat Islam yang lain diselubungi dengan kesedihan, kegusaran dan kesusahan. Ia juga merupakan fitrah manusia yang menuntut kepada penyatuan hati dan jiwa, bukan hanya bersifat fizikal sahaja.
Oleh itu, Ramadhan yang telah dilalui wajar dijadikan pengajaran dan Syawal yang sedang dirai dilihat sebagai permulaan untuk mengekalkan momentum pelaksanaan amalan-amalan yang baik. Jika kita boleh meraih dan memelihara pahala di bulan Ramadhan, maka begitulah juga di luar Ramadhan. Kebajikan yang telah dilakukan tidak hanya bermusim tetapi perlu ditambah nilai agar pahalanya berterusan berganda. Nilai-nilai kasih sayang perlu terus dipupuk agar bercambah sebuah masyarakat yang prihatin dan tidak mementingkan diri. Menghayati erti kemanusiaan perlu dijadikan agenda Syawal kita agar terbit rasa belas ehsan dan kebersamaan sesama insan. Kemeriahan lebaran ini perlu diisi dengan cara Islam yang diredhai Allah dan bukannya terikut-ikut dengan cara yang merosakkan nilai, agama dan sensitiviti. Itulah nilai kemerdekaan di sebalik Aidilfitri yang kita rayakan agar Ramadhan itu tidak berlalu dengan sia-sia. Semoga Aidifitri ini dapat mencipta dan mengekalkan momentum muhasabah serta menggarap ibrah daripada bulan imtihan yang telah kita lalui!