Sahur itu barakah. Sahur mendatangkan manfaat kepada jasmani dan rohani. Namun, berapa ramaikah antara kita mengamalkan sahur sepertimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW? Cukup ramai orang yang berpuasa tetapi tidak bersahur kerana malas untuk bangun, akhirnya waktu sahur berlalu begitu sahaja. Paling tidak pun, sekadar memenuhi syarat makan sahur, makanan berat diambil lewat malam sebelum tidur.
Ramadhan merupakan bulan yang perlu direbut keistimewaannya. Apatah lagi disediakan oleh Allah SWT kelebihan waktu bersahur yang tidak ada pada waktu-waktu lain. Barangkali, pada fasa-fasa terawal di bulan Ramadhan, masih ramai yang menjuarai untuk bangun bersahur namun berkurangan apabila memasuki penghujung fasa Ramadhan. Mungkin disebabkan momentum sudah berkurangan, terasa liat pula untuk meninggalkan bantal dan tilam yang empuk bagi menyempurnakan sunnah bersahur. Anas bin Malik RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda “Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”.
Keberkatan pada waktu sahur itulah hadiah yang ditawarkan oleh Allah SWT dalam bulan tarbiyah ini selain daripada tawaran-tawaran mega lain yang perlu direbut. Namun, kadangkala sesetengah daripada kita memandang enteng
kebaikan yang mendasari waktu bersahur tersebut. Waktu bersahur didatangkan dengan keberkatan kerana padanya merupakan waktu yang mustajab untuk berdoa, saat terbaik untuk beribadah dan juga diberikan keampunan bagi mereka yang memohon ampun kepada Allah SWT. Sekiranya istiqamah untuk bangun pada waktu bersahur, tidak mustahil ia juga mampu mendisiplinkan diri sebagai latihan awal untuk qiyamullail pada bulan-bulan seterusnya.
Allah akan memberikan ganjaran yang cukup besar bagi mereka yang memohon keampunan pada saat yang cukup berharga tersebut. Sepertimana firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 15-17 yang bermaksud: “Katakanlah, mahukah aku sampaikan kepadamu apa yang lebih baik daripada yang demikian itu? Bagi orang yang bertakwa, disediakan syurga di sisi Tuhan mereka yang mengalir dibawahnya sungai-sungai. Mereka kekal didalamnya dan disediakan juga isteri-isteri yang suci serta mendapat keredhaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya. (Iaitu) orang yang berdoa, Ya Tuhan kami sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah dosa kami dan peliharalah kami daripada seksa neraka. Mereka juga orang yang sabar dalam menjunjung perintah Allah, orang yang benar dalam keimanan, orang yang sentiasa taat akan perintah Allah, orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah dan orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.
Justeru, waktu bersahur adalah ruang dan waktu yang paling istimewa untuk kita mengadu dan meletakkan pengharapan kepada Yang Maha Pencipta. Ia merupakan masa yang paling penting untuk kita berbicara dengan Allah. Inilah keberkatan maknawi yang diperolehi apabila bangun bersahur . Ia jarang sekali disambut dan direbut bagi mereka yang berpuasa. Kadangkala tidak sedikit pun terdetik untuk beruzlah dan bermunajat kepada Allah pada waktu tersebut dalam strategi kita mencapai keredhaan Allah SWT.
Namun, tidak juga disangkal bahawa aspek keberkatan bersahur itu adalah manfaat secara jasmani. Rutin yang diamalkan untuk bangun bersahur akan memberi isyarat kepada pusingan biologi tubuh untuk mencaturkan pola kehidupan. Ia akan merangsang pengeluaran hormon kortisol yang memuncak pada awal pagi untuk berfungsi sebagai hormon kecergasan. Bentuk keberkatan bersahur dari sudut jasmani adalah memberi tenaga dan mengurangkan beban bagi mereka yang berpuasa serta memberi semangat dan meningkatkan kecergasan untuk memulakan hari.
Zaid bin Tsabit RA berkata: Kami bersahur bersama Nabi SAW, kemudian baginda bangun mendirikan solat. Aku bertanya: Berapa lamakah tempoh masa antara azan dan sahur? Beliau menjawab: Pada kadar lima puluh ayat al-Quran. [Sahih al-Bukhari]. Melewatkan sahur adalah amalan yang disarankan oleh Rasulullah SAW. Ramai orang mengalami aturan diet tidak betul sepanjang berpuasa disebabkan enggan untuk melunaskan sunnah bersahur sepertimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Kesannya bukan sahaja kepada rasa lapar tetapi juga boleh menjejaskan kecergasan dan tahap kesihatan seseorang jika hal sedemikian berlaku secara berterusan. Penekanan yang amat baik diberikan oleh Rasullullah agar sahur dilewatkan dan tidak diabaikan. Menurut pendekatan sains, ia menepati waktu bersarapan pagi. Ini kerana makanan yang paling utama dalam tempoh seharian adalah sarapan pagi. Justeru, makan sahur dapat menjadi ‘booster'(perangsang) kepada kecergasan dan kesihatan sepanjang kita
berpuasa selama lebih kurang 14 jam. Apakah dengan melihat ganjaran kesihatan ini, masih membuatkan kita terus bersikap sambil lewa dengan sunnah bersahur?
Dalam rangka kita mencari keberkatan menuruti sunnah, bersahur juga akan dapat membuang sikap malas dan tidak bersemangat. Orang yang bangun untuk bersahur, sudah tentu bermujahadah melawan nafsu tidur dan rehat. Mereka akan meminggirkan rasa malas untuk sama-sama menikmati masa bersahur. Usah kerana menuruti hawa nafsu, waktu sahur dilepaskan atau pun terikut-ikut amalan sesetengah orang mengambil makan lewat malam sebelum tidur sebagai bersahur. Ini kerana memanfaatkan waktu bersahur dengan ibadah dan melaziminya akan membentuk ketaqwaan dalam diri seseorang.
Bersahur adalah sunat bagi orang yang berpuasa, namun lebih banyak lagi bentuk barakah dan keistimewaan yang hanya diketahui oleh Allah SWT. Justeru itu, bersahurlah biar pun hanya dengan seteguk air dan sebiji kurma serta dilazimi dengan doa mohon keampunan. Dengan bersahur, kita telah menyahut sunnah yang dianjurkan malah menepati ciri-ciri orang yang berpuasa kerana mengharapkan keredhaan Allah untuk mencapai ketaqwaan.
Ramadhan datang dan pergi. Belum pasti lagi apakah perjalanan hidup kita terus dinaungi dengan keberkatannya atau pun berlalu pergi begitu sahaja. Maka, apakah tawaran mudah yang Allah anugerahkan ini tidak mahu direbut dan digarap sebagai waktu penting untuk mencari kekuatan mengabdikan diri pada Pencipta? Moga dengan keberkatan waktu sahur tersebut menjadi penjana untuk istiqamah beribadah pada 11 bulan yang mendatang.