Silih berganti tahun, persoalan yang sama berlegar dalam fikiran: sejauh manakah kita benar-benar berubah?
Setiap hari adalah peluang untuk memperbaiki diri dan kehidupan. Pastinya setiap orang mengimpikan sebuah kehidupan yang bahagia, bermakna dan berjaya. Maka lebih-lebih lagi umat Islam yang mengaku beriman dengan Hari Akhirat. Beriman dengan hari akhirat bermakna seseorang sedar bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara dan apa jua tindakan yang dilakukan akan ada balasannya di akhirat kelak.
Tahun baharu sering menjadi titik mula perubahan dan pembaikan dalam kehidupan. Begitu juga dalam membentuk diri seseorang. Buktinya, soalan yang lazim ditanya atau akan sering dibincangkan adalah “apakah azam tahun baharu ini?” Bunyinya seperti klise, tetapi itulah yang berlaku sebenarnya.
Pertukaran tahun lazimnya hadir bersama pelbagai emosi dan harapan. Ada yang berasa teruja dan optimis, mengharapkan kejayaan demi kejayaan pada tahun mendatang. Dalam masa yang sama, tidak kurang juga yang berasa kecewa apabila sasaran atau azam tahun sebelumnya tidak tercapai. Contohnya, azam untuk mencapai berat badan ideal, menabung bagi tujuan tertentu, atau mencapai matlamat kerjaya dan pendidikan.
Apabila matlamat tersebut tidak tercapai, azam yang sama lazimnya akan diteruskan, malah ditambah dengan azam baharu. Hal ini menunjukkan bahawa tahun baharu sebenarnya hadir bersama motivasi yang mendorong seseorang untuk meningkatkan kehidupan mereka sama ada untuk kehidupan di dunia mahupun di akhirat.
Perkara ini selari dengan doa Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, yang bermaksud: “Ya Allah, perbaikilah bagiku agamaku yang menjadi benteng pelindung urusanku, perbaikilah bagiku duniaku yang menjadi tempat kehidupanku, perbaikilah bagiku akhiratku yang menjadi tempat kembaliku. Jadikanlah baki kehidupan ini sebagai tambahan (peluang) bagiku dalam segala kebaikan dan jadikanlah kematian sebagai kebebasanku daripada segala kejahatan.” (Hadis riwayat Muslim)
Hadis tersebut menggambarkan Islam sebagai benteng yang melindungi umat Islam agar tidak tergelincir dalam kemaksiatan atau kemungkaran. Doa Rasulullah SAW tersebut juga menunjukkan betapa pentingnya memohon perlindungan serta pertolongan Allah SWT dalam urusan kehidupan di dunia dan di akhirat. Manakala, usia dan masa berbaki merupakan peluang untuk kita bertaubat dan terus memperbaiki diri.
Kedatangan tahun baharu 2026, ditambah pula dengan keberkatan bulan Rejab, pastinya suatu peluang yang amat perlu dimanfaatkan untuk kebaikan. Seperti kata Abu Bakar al-Warraq: “bulan Rejab adalah bulan untuk bercucuk tanam, bulan Syaaban pula adalah bulan untuk menyiran tanaman dan bulan Ramadan pula adalah bulan untuk memungut hasil.”
Dalam konteks keluarga, ibu bapa berhadapan cabaran dalam mendidik anak-anak, khususnya dengan perkembangan teknologi dan pelbagai bentuk hiburan masa kini.. Namun, itu bukanlah alasan untuk ibu bapa mengabaikan tanggungjawab membentuk akhlak dan kefahaman agama anak-anak. Pertama sekali yang harus dilakukan oleh para ibu bapa Muslim adalah menambahkan kefahaman agama mereka sendiri agar mudah menerapkannya kepada anak-anak di rumah.
Anak-anak pula akan terus melalui fasa perkembangan hidup, sama ada daripada kanak-kanak kepada remaja atau daripada remaja kepada dewasa. Tahun baharu mungkin menandakan permulaan persekolahan, pengajian tinggi atau alam pekerjaan bagi mereka.
Lambat laun anak-anak akan membesar menjadi seorang yang berdikari dan berfungsi dalam masyarakat. Oleh itu, pendidikan agama yang bermula di rumah sejak anak-anak masih kecil sangat penting untuk melahirkan generasi beriman dan beramal soleh pada masa depan.
Komunikasi dan perhubungan yang sihat antara ibu bapa dan anak-anak sangat mempengaruhi kejayaan dan kebahagiaan sesebuah keluarga, justeru, selain meletakkan azam yang bersifat peribadi, molek juga diletakkan matlamat untuk memperbaiki hubungan antara keluarga terutamanya keluarga nuklear kita sendiri.
Hal ini kerana, membangunkan sesebuah negara yang maju dan bertamadun bermula dengan pembangunan keluarga yang bahagia dan bertamadun juga. Daripada individu serta keluarga yang berfungsi, akan terbentuklah masyarakat yang berfungsi juga.
Masyarakat yang berfungsi merujuk kepada kelompok manusia yang bekerjasama, berinteraksi dan mempunyai nilai-nilai bersama untuk mencapai kestabilan, berusaha memenuhi kemaslahatan anggota masyarakat (seperti pendidikan, kesihatan, dan kebajikan), mempertahankan agama, budaya dan tradisi serta kelestarian alam untuk kehidupan yang harmoni dan sejahtera.
Dalam konteks ini, Islam mengajarkan umatnya tentang konsep amar makruf nahi mungkar dan bahawa Islam adalah agama rahmah untuk semua, tanpa mengira seseorang itu Muslim atau bukan Muslim.
Pelbagai isu sosial yang berlaku dalam masyarakat hari ini diburukkan lagi dengan keadaan akhir zaman yang penuh fitnah, maka tidak hairanlah jika tahun-tahun mendatang akan menjadi lebih mencabar dan sukar untuk dihadapi terutamanya bagi umat Islam sendiri.
Pada saat ini, kita menyaksikan berlakunya krisis perubahan iklim, kejadian bencana alam, banyaknya berlaku peperangan dan pembunuhan, ketidakstabilan ekonomi dan politik, isu rasuah dan kefasadan lain yang berleluasa. Cabaran global ini menuntut pembaikan diri, akhlak dan sahsiah dan bukannya sekadar perubahan luaran.
Langkah terbaik mendepani cabaran hidup era ini adalah dengan melengkapkan diri dengan ilmu agama kerana salah satu kelebihan bagi orang yang menuntut ilmu adalah Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke syurga.
Tuntasnya, tahun baharu adalah peluang untuk kita meraih kebaikan dengan melakukan anjakan paradigma dengan cara menuntut ilmu dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Sebagaimana kata Imam Al-Ghazali rahimahullah: “Berilmu tanpa amal itu ibarat orang yang tidak waras dan beramal tanpa ilmu pula tidak menjadi.”
Maka, janganlah kita membiarkan tahun baharu ini berlalu tanpa sebarang perubahan bermakna dalam diri kita, keluarga dan masyarakat. Memetik kata-kata Khairul Aming, iaitu pempengaruh dan penerima Anugerah Maulidur Rasul 2025 kategori usahawan, iaitu: “zon selesa memang cantik, tetapi tiada apa yang tumbuh di sana (comfort zone is a beautiful place, but nothing grows there),” dapat penulis rumuskan bahawa usaha keras perlu dilakukan sekalipun terpaksa keluar dari zon selesa demi sebuah perubahan dan peningkatan kehidupan yang bermakna.

