Tahun 2015 adalah tahun yang penting untuk pengurusan sampah di Malaysia. Ini kerana, bermula September 2015, semua pemilik premis (kecuali di Selangor dan Pulau Pinang) diwajibkan mengasingkan sampah masing-masing. Hal ini tertakluk di bawa Akta 672 atau Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, yang telah mula digunapakai sejak 2011. Oleh itu, rakyat Malaysia harus bersedia dengan ketetapan baharu ini.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, sampah adalah sesuatu yang tidak digunakan, tidak dipakai, tidak disenangi atau sesuatu yang dibuang dan sampah berasal daripada kegiatan manusia dan tidak terjadi dengan sendirinya.
Untuk pengetahuan pembaca semua, rakyat Malaysia membuang 33,000 tan metrik sampah setiap hari. Separuh daripada jumlah ini atau 15,000 tan metrik merupakan sisa makanan. Daripada 15,000 tan metrik ini pula, 8000 tan metrik atau lapan juta kilogram adalah sisa makanan yang dibazirkan setiap hari. Dikatakan bahawa, jumlah sisa makanan yang dibazirkan itu boleh menjadi makanan untuk enam juta orang.
Data ini secara langsung menunjukkan sikap pembaziran dalam masyarakat. Sikap suka membazir ini bukanlah sikap yang baik. Seorang Muslim tahu bahawa sikap membazir adalah sia-sia dan amat dibenci Allah SWT.
Dalam banyak keadaan, apa sahaja yang dibazirkan akan menjadi sampah akhirnya. Manakala apa yang kita namakan sampah pasti akan segera dibuang. Kesannya, bertimbunlah sampah-sampah tersebut di tong-tong sampah serta tapak pelupusan. Malah lebih meloyakan apabila ada sampah yang tidak diuruskan dengan baik dan dikumpulkan di tepi-tepi jalan, menyumbat longkang-longkang serta menyekat saliran air.
Ketidakprihatinan masyarakat terhadap sampah – bermula daripada penghasilan sehinggalah ketika sampah dibuang – ada kaitannya dengan sikap masyarakat terhadap sampah. Sikap ini pula bersangkut paut dengan tanggapan mereka terhadap sampah. bagi tujuan penulisan ini, lima bentuk tanggapan dinyatakan di bawah.
Pertama, sampah selalu dilihat sebagai kotor, menjijikkan, tidak berguna, menyusahkan dan perlu dijauhi. Ini sememangnya satu yang lumrah. Hakikatnya, jarang atau mungkin sukar untuk bertemu orang yang melihat sampah sebagai cantik atau diperlukan dalam hidup.
Keduanya, sampah selalunya dianggap sebagai tiada nilai. Akibatnya, sampah akan segera dibuang kerana tidak berguna kepada ahli masyarakat. Ini bermula apabila manusia memiliki barang yang sudah buruk, kotor dan rosak. Barang seperti ini sememangnya tidak diperlukan lagi dan akan dibuang. Malah, ada juga keadaan di mana barang yang masih elok tetapi dibuang kerana sudah ketinggalan zaman. Sebagai contoh barangan elektronik. Apabila ada sahaja keluaran terbaharu maka yang lama akan berakhir di tong sampah.
Persepsi ketiga berkaitan dengan anggapan ahli masyarakat bahawa dirinya tiada kena-mengena dengan sampah. Bagi kebanyakan daripada mereka, apa yang sudah dibuang adalah satu sejarah. Barang yang dibuang tiada lagi hubungan dengan pemiliknya. Dalam banyak keadaan, kita tidak mahu lagi melihat atau mengambil tahu barang atau sampah yang telah dibuang. Malah, ia perlu segera dijauhkan daripada kediaman manusia.
Seterusnya, tanggapan keempat ada kaitan dengan anggapan bahawa sampah yang telah dibuang akan atau patut diuruskan oleh orang lain. Ramai di antara kita hanya pandai membuang sampah dan orang lainlah yang harus menguruskannya. Apatah lagi, jika kita telah membayar untuk perkhidmatan pengurusan sampah itu. Satu perkara yang kerap kita fikirkan ialah, kalau kita yang menguruskan sampah itu, maka nanti orang lain tiada kerja pula.
Akhir sekali, wujudnya satu tanggapan lain bahawa apabila sampah telah dibuang, sampah itu tidak akan memberi kesan kepada manusia. Kita gemar memikirkan bahawa sampah yang telah dibuang, akan berada jauh daripada kita. Dengan hati yang tenang, kita berasa lebih selamat, lebih bersih dan berasa tiada kesan buruk yang akan kembali kepada kita.
Semua tanggapan di atas adalah salah sama sekali. Sampah sememangnya kotor tetapi tidak semestinya tiada nilai. Sampah-sampah seperti botol, kertas, barangan elektronik, dan kaca masih mempunyai nilai-nilai tertentu. Sampah seperti itu boleh dikitar semula dan memberi pulangan kecil tetapi amat berfaedah kepada kesejahteraan alam yang kita huni.
Dalam pada itu, sampah yang telah dibuang, jika tidak diurus dengan betul akan memberi kesan kepada manusia terutamanya dari segi kesihatan. Penyakit kulit, penyakit kencing tikus serta masalah lebih besar yang berpunca daripada rembesan cairan sampah semuanya boleh memudaratkan kesihatan manusia.
Selain itu, masalah banjir yang sering dihadapi oleh rakyat negara ini juga ada kaitannya dengan sampah. Keadaan ini terjadi apabila sampah menyekat aliran air seperti longkang dan sungai. Oleh itu, kesan pengurusan sampah yang lemah amat besar kepada kita. Jadi, bagaimana kita boleh beranggapan bahawa sampah yang dibuang tidak akan memberi kesan kepada kehidupan manusia?
Akhir sekali, adalah tidak wajar untuk kita merasakan bahawa sampah yang kita hasilkan harus diuruskan semata-mata oleh orang lain. Kita yang menghasilkan sampah tersebut maka kita juga harus memainkan peranan untuk menguruskan sampah tersebut.
Peranan itu boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk. Misalnya, bijak memilih barangan ketika membeli iaitu memilih barangan yang tahan lama dan boleh dikitar semula. Selain itu, kita juga boleh mengasingkan sampah di rumah serta memastikan amalan 3R menjadi keutamaan ahli keluarga.
Oleh itu, tanggapan salah masyarakat terhadap sampah seharusnya diperbetulkan dan dari situ barulah sikap yang betul terhadap sampah dapat dibentuk. Melalui sikap yang betul diharapkan masyarakat dapat memainkan peranan yang lebih baik dalam pengurusan sampah keseluruhannya.
Dalam pada itu, ahli masyarakat seharusnya melihat bahawa menguruskan sampah dengan baik adalah satu amalan yang memudahkan dan mensejahterakan kehidupan diri serta orang lain dan kedua-dua perkara tersebut merupakan nilai-nilai yaang terpuji.