Gender adalah satu perkataan yang digunakan masyarakat moden bagi menggambarkan kecenderungan pemikiran dan tingkahlaku, personaliti dan orientasi serta peranan dan identiti berkaitan kewanitaan atau kelelakian seseorang individu. Gender ini unik kerana penggunaannya berbeza dengan penampilan jantina seseorang individu. Ini kerana gender menerangkan tentang identiti dan peranan seseorang individu itu secara sosial, yang tidak tertakluk kepada biologi jantina mereka, atau jenis jantina yang mereka miliki. Manakala jantina pula adalah istilah biologi yang digunakan bagi menggambarkan fizikal jantina seseorang sama ada lelaki atau perempuan, atau khunsa, juga bergantung kepada organ reproduksi yang mereka miliki. Keunikan atau kekeliruan mahupun keganjilan ini terhasil sebagai akibat dari pertelingkahan dan pertembungan dalam pemahaman antara istilah jantina dan gender. Ia juga terhasil akibat daripada keseganan dan keresahan seseorang individu untuk mengiktiraf dan menerima biologi jantina yang mereka miliki, akhirnya mencetuskan rasa ketidakselesaan atau ketidakpuasan mereka terhadap jantina biologi tersebut.
Konflik dan pertembungan ini akhirnya mendorong kepada kecelaruan dalam mengiktiraf dan menerima identiti diri mereka, sama ada berdasarkan kepada istilah sosialnya, gender, ataupun bergantung kepada istilah biologinya, iaitu jantina lelaki atau wanita sebagaimana yang digambarkan oleh organ reproduksi yang mereka miliki. Untuk menerima dan mengiktiraf identiti sebenarnya adalah sesuatu yang amat sukar bagi golongan tertentu dan ini tertakluk kepada apa yang mereka sukai atau ingini. Keinginan itu pula seharusnya tidak perlu terikat kepada kehendak agama dan norma masyarakat. Keinginan wajar bebas. Lantaran itu, memang terdapat individu yang mana biologinya lelaki, tetapi gender dan orientasinya adalah wanita, kerana itu yang mereka minati dan sukai. Begitu juga di mana individu itu secara biologinya adalah wanita, tetapi peranan dan orientasi gender mereka adalah lelaki. Malah, terdapat juga sekelompok individu yang mana peranan dan orientasi kehidupan mereka adalah pelbagai, boleh jadi lelaki, mahupun wanita dalam waktu yang sama, yang semakin menggambarkan konflik dan pertembungan yang amat jelas di antara naluri gender dan struktur biologi mereka.
Perasaan tidak selesa dan tidak puas hati terhadap kejadian diri yang dialami inilah yang menjadi punca kepada konflik, keresahan dan kegelisahan dalam diri seseorang individu itu terhadap identiti diri dan jantina mereka. Keresahan dan kebimbangan yang tercetus akibat dari itu akhirnya membawa individu terbabit kepada risiko diselubungi dengan pelbagai gejala gangguan dan penyakit mental yang lain. Malahan, kecelaruan identiti gender juga sebenarnya adalah sejenis gangguan mental. Alasannya mudah iaitu mereka yang berkenaan amat berasa tertekan dan kecewa dengan kejadian yang menimpa diri mereka lalu menimbulkan keresahan dan kemurungan yang memerlukan mereka untuk dirawat. Mereka berhak untuk dirawat sebaiknya, dan rawatan itu bukan hanya tertumpu kepada stres dan tekanan yang mereka alami kerana keliru dengan apa yang berlaku, tetapi rawatan juga perlu fokus kepada cara gaya pemikiran mereka yang mencetuskan kekeliruan itu. Mereka perlu dibantu untuk bebas dari minda yang terperangkap.
Wujud persoalan mengapa mereka ini berasa kecewa, sedih, marah dan tidak berpuas hati dengan sifat dan jantina mereka yang telah ditentukan secara biologi itu. Malahan, terdapat pelbagai fenomena dan kejadian alami yang juga boleh dibuktikan secara saintifik dan diterima sebagai punca dan penyebab kepada perasaan tidak selesa dan kekecewaan yang menyumbang kepada kecelaruan identiti jantina ini. Beberapa kajian menunjukkan pertalian yang positif antara faktor personaliti dan pemikiran salah. Selain itu, cara gaya keibubapaan, pengalaman trauma silam, faktor buli, kekecewaan dalam perhubungan serta pelbagai faktor persekitaran juga turut menyumbang sebagai faktor yang mendorong kepada kecelaruan identiti. Faktor biologi? Melainkan kes khunsa, setakat ini tiada bukti kukuh wujud peranan faktor biologi atau genetik dalam kecelaruan identiti.
Malahan, secara biologi juga, minat dan kecenderungan adalah selaras dengan keadaan biologi dan fizikal seseorang individu. Namun, dalam kes kecelaruan identiti ini, personaliti dan pemikiran, tingkahlaku, kecenderungan seksual dan minat keinginan serta orientasi gender bertentangan dengan keadaan biologi dan fizikal seseorang. Justeru, ada faktor lain, pastinya bukan dari faktor biologi dan genetik, yang mendorong kepada kecelaruan ini, khususnya faktor psikologi dan persekitaran. Memang lumrah berlaku di mana faktor persekitaran mendesak keinginan psikologi individu agar dapat menghapuskan halangan biologi, namun ke arah yang menyalahi fitrah alami. Ia berlaku pada setiap masa dan ke atas setiap orang dan inilah yang mencetuskan gejala gangguan mental.
Dalam era globalisasi ini, umat manusia lebih bersikap terbuka dan bersedia untuk menerima dan berkongsi sebarang pandangan dan idea orang lain tanpa had dan batasan. Perkara ini diangkat dan diperjuangkan sebagai hak setiap individu untuk hidup secara adil dan saksama tanpa sekatan. Secara langsung, ia pasti memberi kesan yang akan menggugat struktur sosial, keimanan dan kefahaman kerohanian serta keagamaan individu dan adalah ditakuti ia akan memburukkan lagi keadaan kecelaruan identiti ini. Justeru, pelbagai usaha bersepadu perlu dipertingkatkan agar ia tidak terus menjajah pemikiran dan gaya hidup generasi seterusnya. Pendidikan awal individu perlu memperjelaskan bahawa struktur biologi lelaki dan perempuan adalah fitrah alami, bukan sesuatu yang terlalu ideal dan rhetorik seperti yang difahami kini. Pemikiran individu perlu dididik agar selaras dengan fitrah biologi kerana inilah yang ditentukan oleh ajaran agama. Pemikiran yang sudah betul menurut landasan agama ini pula tidak perlu disimpang-siurkan dengan kekeliruan persekitaran dan pergaulan yang melepasi batasan semulajadi antara lelaki dan perempuan, mahupun pergaulan sesama jenis.
Atas dasar ini, Islam telah menggariskan panduan yang perlu dijadikan ikutan berterusan. Secara biologi, seorang lelaki dan wanita telah ditentukan orientasi dan peranan mereka dan ini turut membentuk fitrah psikologi mereka. Persekitaran pula perlu dibentuk untuk membantu mengukuhkan peranan secara alami ini. Dr Wahbah al Zuhaili menegaskan bahawa haram bagi lelaki menyerupai wanita dan begitu juga sebaliknya. Ini adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Imam al Bukhari yang bermaksud ‘ Rasulullah S.A.W. melaknat mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki dari kalangan wanita’.