“Mak, jangan lupa untuk pemeriksaan kesihatan dua hari lagi”, pesan Alisa kepada Mak Lijah di hujung corong telefon. “Badan mak rasa semakin segar, tak perlulah ke klinik lagi, dah boleh buat kerja dan tak lemah badan lagi sejak mengamalkan produk yang berasaskan sunnah tu”, adu Mak Lijah tentang hal kesihatannya walaupun beberapa jenis penyakit moden dihidapinya sejak memasuki usia emas ini. Ini adalah salah satu senario yang lazim berlaku dalam masyarakat Malaysia pada hari ini. Kadangkala tahap kepercayaan masyarakat terhadap sesuatu produk suplemen melampaui kadar yang sepatut, seterusnya membawa kepada keengganan mendapatkan rawatan perubatan yang sewajarnya.
Penyakit tidak berjangkit merupakan antara 10 sebab utama kepada beban penyakit di Malaysia. Kajian terkini NHMS 2015 (National Health and Morbidity Survey) menunjukkan seramai 3.5 juta penduduk Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas menghidapi diabetes dan 6.1 juta orang mengalami hipertensi. Statistik juga menunjukkan separuh daripadanya adalah pesakit yang tidak mengetahui bahawa mereka mempunyai penyakit-penyakit tidak berjangkit tersebut. Kemungkinan angka tersebut juga termasuk golongan yang tidak peduli dan peka terhadap penyakit yang dihidapi sehingga mengabaikan pemeriksaan kesihatan yang sepatutnya. Malah statistik kajian juga menunjukkan 4 daripada 5 orang daripada masyarakat Malaysia tidak mengetahui bahawa mereka mempunyai aras kolesterol yang tinggi.
Hakikat bahawa peningkatan produk makanan tambahan berasaskan sunnah di pasaran pada hari ini menunjukkan terdapat permintaan yang tinggi. Walau bagaimanapun, kadar penyakit tidak berjangkit dalam masyarakat Malaysia mutakhir ini terus mengalami peningkatan. Melihat kepada perkembangan situasi ini, umat Islam perlu mempunyai kesedaran dan prihatin untuk mencari maklumat yang betul serta membuat pemilihan mengikut kesesuaian kesihatan tubuh badan masing-masing. Seharusnya masyarakat tidak hanya meletakkan sandaran ‘sunnah’ tetapi mengabaikan penjagaan kesihatan yang digalakkan dalam Islam khususnya dalam aspek pencegahan.
Umum mengetahui, pencampuran pelbagai jenis bahan makanan, tidak memberi kesan yang sama seperti bahan asal. Pencampuran tersebut mempunyai komposisi kimia dan nilai zat berbeza serta tahap keberkesanan yang berlainan. Reaksi tubuh badan setiap individu terhadap sesuatu produk juga berbeza sama ada positif, negatif atau tiada kesan langsung. Kekhuatiran timbul sekiranya mudarat jauh lebih banyak daripada manfaat yang diperlukan. Dalam konteks ini, dos pengambilan dan kesesuaian tubuh badan terhadap sesuatu produk juga perlu diambilkira.
Justeru, amat penting untuk dikaji, dibuktikan dan dijelaskan secara terperinci agar produk-produk yang diusahakan tidak menjadi sekadar lantunan promosi semata-mata. Pelaksanaan langkah pembuktian saintifik dan kajian klinikal bukan untuk menyekat penerokaan inovasi idea umat Islam pada hari ini tetapi untuk menggalakkan budaya penyelidikan dan pembangunan terhadap apa jua produk yang hendak diusahakan. Malah ia mampu meningkatkan kepercayaan dan kredibiliti produk-produk Muslim di mata pengguna. Tanggungjawab ini perlu menjadi keutamaan para pengeluar khususnya. Secara tidak langsung, aspek pendidikan kepada pengguna dapat diterapkan menerusi budaya penyelidikan tersebut.
Peranan yang ditunaikan dengan penuh rasa tanggungjawab akan memberi manfaat kepada umat Islam itu sendiri. Masyarakat pengguna mahupun pihak pengeluar perlu berlapang dada dalam hal ini. Pelabelan dan dakwaan pelbagai manfaat penyembuhan dalam sesuatu produk perlu mempunyai pembuktian kukuh untuk disandarkan sebagai satu bentuk ketelusan para pengusaha kepada masyarakat.
Oleh itu, para pengeluar atau penggiat industri perlu meningkatkan ilmu dan kemahiran khususnya melibatkan usaha penyelidikan supaya mampu berhujah dengan ilmu yang betul seterusnya mendidik masyarakat pengguna dalam usaha mencegah penyakit dan memelihara kesihatan. Di samping menjadi pengeluar produk muslim yang bertanggungjawab, golongan ini juga mampu menjadi pendakwah dan perintis kepada penerokaan ilmu khazanah alam yang tinggi nilainya.
Namun yang penting, masyarakat harus peka agar tidak hanya menjadikan label “sunnah” sebagai satu asas yang melegakan dalam pemilihan produk-produk sedemikian. Di samping itu, perlu mengambil kira aspek keilmuan dan sandaran berdasarkan kitab dan penemuan sains. Amalan sunnah tidak hanya berkisar tentang jenis makanan sahaja tetapi juga dalam konteks pemeliharaan kesihatan. Walaupun telah meletakkan kepercayaan kepada sesuatu produk, pemeriksaan kesihatan secara berkala tidak wajar diketepikan. Saranan dan nasihat daripada profesional kesihatan tidak boleh dikesampingkan. Pemeliharaan kesihatan juga termasuk dalam sunnah Rasulullah SAW. Pengambilan produk suplemen tertentu tanpa mengubah gaya hidup dan tabiat pemakanan sedia ada tidak akan menatijahkan kemanfaatan kepada tubuh badan kerana hakikatnya tiada jalan yang singkat dalam menjaga kesihatan.
Sebagai satu langkah kehadapan untuk mengelakkan kekeliruan dan konotasi negatif terhadap makanan sunnah, satu garis panduan dalam menetapkan penggunaan istilah tersebut perlu dibangunkan. Ia boleh dimantapkan sebagai satu bidang penyelidikan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat dan mencegah salah faham yang berterusan. Dengan langkah ini juga, dapat memupuk sifat bertanggungjawab sesama umat Islam dalam memainkan peranan memartabatkan Islam itu sendiri. Bahkan, penggunaan istilah tersebut juga harus mengambilkira dan merungkai khasiat serta keistimewaan khazanah alam tempatan dalam meningkatkan kualiti kesihatan ummah. Masih banyak ruang penyelidikan tentang khasiat dan keistimewaan tumbuhan tempatan yang belum diterokai dan wajar dirintis oleh umat Islam khususnya dalam gabungan dengan makanan yang disebut dalam al-Quran mahupun hadis Nabi SAW. Ini merupakan satu cabaran dan tanggungjawab yang harus digalas oleh pengusaha muslim pada hari ini.
Dalam konteks makanan sunnah, peranan tersebut bukan sekadar dalam kalangan pengusaha bahkan juga pengguna dan semua pihak yang terlibat harus bekerjasama dan saling bertanggungjawab. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah as-Saff ayat 4 yang bermaksud:”Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berjuang untuk membela agamaNya dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”
IKIM amat peka dalam melihat keseimbangan pengamalan makanan sunnah. Dari satu sudut, kesungguhan masyarakat dalam memartabatkan amalan sunnah khususnya makanan sunnah wajar dipuji. Namun, kita perlu sedar ia merupakan salah satu bidang ilmu yang harus diterokai dan didalami sama ada di pihak pengusaha mahupun pengguna dengan harapan yang tinggi agar industri tersebut maju tanpa sebarang kemudaratan yang timbul.