Serasa baru semalam umat Islam mula berpuasa, sedar tidak sedar Ramadan kian pergi meninggalkan kita. Masa berlalu begitu pantas tetapi banyak juga masa yang telah terbuang tanpa amal ibadat kepadaNya.
Pelbagai urusan kehidupan seperti pekerjaan, perniagaan, membeli-belah antara lainnya menghambat kita daripada mengoptimumkan masa untuk beribadat dalam bulan ini. Masa yang lama dihabiskan untuk media sosial juga mengganggu fokus kita untuk beribadat kepadaNya.
Pada hari-hari terakhir Ramadan, umat Islam sangat dianjurkan untuk membanyakkan amalan terutamanya qiamullail, membaca al-Quran, berzikir, bersedekah dan beriktikaf di masjid.
Dalam bulan ini terdapat suatu malam yang istimewa dan penuh kemuliaan, iaitu lailatuqadar seperti dinyatakan dalam Surah Al-Qadr, ayat 1 hingga 3 bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.”
Bulan Ramadan boleh dianggap sebagai suatu madrasah yang menyemai benih iman dan takwa. Ramadan juga mencambahkan sifat syukur dan sabar dalam diri. Syukur kerana negara kita kaya dengan makanan dan sumber alam hasil pertanian, penternakan, dan hasil laut. Sabar kerana berpuasa melatih diri menahan daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa.
Puasa Ramadan merupakan Rukun Islam ketiga dan banyak fadilat terkandung dalam bulan ini. Antara kelebihan Ramadan adalah ia merupakan bulan keampunan. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan keredaan Allah) akan diampunkan dosanya yang terdahulu.”
Orang yang berpuasa juga mendapat ganjaran daripada Allah melalui hadis daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah SWT berfirman (hadis qudsi): Setiap amalan anak Adam adalah untuk dirinya melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu milik-Ku (Allah) dan Akulah yang akan membalasnya.”
Selain pengampunan dosa dan pahala berganda, setiap malam Ramadan juga dijanjikan oleh Allah dengan pembebasan daripada api neraka. Sehubungan itu, tidak hairanlah kalau dalam bulan ini, ramai yang membuat amal kebajikan. Buktinya, umat Islam menjadi lebih pemurah untuk berinfak sama ada sedekah wang ringgit, makanan, pakaian dan sebagainya. Tarbiah hebat bulan Ramadan menjadikan umat Islam lebih dekat dengan Allah SWT.
Masjid-masjid dan surau-surau turut diimarahkan dengan solat terawih, tadarus al-Quran, tazkirah dan iftar jamaie.
Uniknya di Malaysia, kemeriahan bulan Ramadan bukan hanya diraikan oleh umat Islam daripada pelbagai bangsa, tetapi turut dinikmati oleh orang bukan Islam. Contohnya, bazar-bazar Ramadan yang dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat, tidak khusus untuk umat Islam sahaja. Orang bukan beragama Islam juga dilihat peka dengan kehadiran bulan ini dan menghormati umat Islam yang berpuasa pada siang hari.
Ramadan sememangnya bulan yang penuh keberkatan. Namun, awas untuk orang yang melalui bulan Ramadan tetapi amalnya sia-sia dan tidak mendapat pengampunan daripada Allah SWT. Berkaitan ini, terdapat hadis sahih tentang tiga golongan yang dicela, dan salah satunya ialah golongan yang bertemu dengan bulan Ramadan tetapi tidak diampunkan dosanya oleh Allah SWT maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan daripada rahmat Allah SWT.
Oleh sebab itu, umat Islam dianjurkan untuk sentiasa memohon keampunan dan taubat kepada Allah. Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani hamba-hambaNya. Apabila bulan Ramadan ini dijalani dengan penuh takwa, nescaya tarbiahnya berkekalan meskipun setelah tibanya Syawal.
Sifat sabar yang dipupuk pada bulan mulia ini juga patut terus diamalkan. Hal ini kerana puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Puasa juga bermaksud kita menahan nafsu daripada marah serta menahan anggota badan daripada melakukan sesuatu yang dimurkai oleh Allah.
Sikap suka membazir, mengumpat, bermusuhan dan membuang masa dengan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah juga sewajarnya dikikis pada bulan ini.
Kesimpulannya, Ramadan tahun ini adalah peluang untuk kita memperbaiki diri, memperelok akhlak dan pekerti kerana Ramadan yang akan datang, belum tentu kita berpeluang menjadi tetamunya lagi.