Pada 26 – 27 Mac 2002 ini bersamaan 12 – 13 Muharram 1423 Hijrah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) akan menganjurkan seminar “Teknologi Maklumat : Pembangunan Keluarga dan Masyarakat”. Ini merupakan kali ke-4 IKIM menganjurkan seminar dengan tajuk teknologi maklumat memandangkan kepentingannya dalam masyarakat kita.
Kita maklum bahawa teknologi maklumat memainkan peranan penting dalam hidup manusia. Ia yang dahulunya merupakan satu gaya hidup golongan tertentu, kini menjadi satu kemestian dalam kehidupan setiap dari kita. Jadi, mahu tidak mahu, kita perlu turut serta dalam arus ledakan teknologi maklumat ini. Ini kerana teknologi maklumat ditunjangi oleh pengetahuan, maklumat dan ilmu yang berubah secara pantas, mematangkan masyarakat tersebut dan membolehkannya menjadi produktif serta mampu bersaing dengan masyarakat antarabangsa.
Teknologi maklumat, seperti mana yang kita semua maklum, adalah satu alat. Bagaimana ia digunakan akan menentukan sama ada ia akan membawa manfaat atau sebaliknya. Kesan negatif teknologi maklumat akibat penyalahgunaan sering diperdebatkan. Antaranya, ketagihan internet, menggunakan internet untuk melakukan jenayah seperti jenayah berkaitan seks, membuang masa di chatroom dan sebagainya. Namun, selagi manusia tidak berubah sikap, kesan negatif itu tetap akan ada. Walau bagaimanapun, seminar ini bukan mahu memperdebatkan tentang implikasi negatif teknologi maklumat. Ini kerana keasyikan membicarakan kesan negatif akan membuatkan kita lupa kepada kebaikan-kebaikan teknologi maklumat itu sendiri. Oleh itu seminar ini akan menumpukan kepada manfaat yang boleh diperolehi dari teknologi maklumat ini sekiranya ia digunakan dengan betul. Akan disentuh juga dalam seminar ini, isu jurang digital dan usaha-usaha untuk mengurangkannya serta aspirasi negara untuk menjadikan rakyat Malaysia sebagai masyarakat bermaklumat dan persediaan-persediaan yang perlu ke arah itu.
Seminar “Teknologi Maklumat : Pembangunan Keluarga dan Masyarakat” ini akan memfokuskan perbincangan kepada bagaimana kemajuan dalam teknologi maklumat dapat menyumbang kepada pembangunan keluarga dan masyarakat. Untuk itu, seminar ini akan menyentuh tentang :
i) Jurang digital dan usaha-usaha yang perlu bagi mengurangkannya;
ii) Peranan kerajaan dalam merapatkan jurang ini;
iii) Sumbangan teknologi maklumat kepada kesejahteraan dan pembangunan individu;
iv) Sumbangan teknologi maklumat kepada pembangunan keluarga serta persediaan ke arah k-keluarga;
v) Peranan sektor swasta dalam meningkatkan akses masyarakat terhadap teknologi maklumat serta persediaan ke arah k-masyarakat; dan;
vi) Pelaksanaan projek-projek memasyarakatkan teknologi maklumat.
Seminar dua hari ini akan dibahagikan kepada lima sesi di mana dua sesi pada hari pertama dan tiga sesi pada hari kedua yang melibatkan 12 kertas kerja kesemuanya. Kelima-lima sesi ini ialah Sesi I : Jurang digital dalam era teknologi maklumat; Sesi II : Teknologi Maklumat dan Individu; Sesi III : Teknologi Maklumat dan Pembangunan Keluarga; Sesi IV : Teknologi Maklumat dan Masyarakat; dan, Sesi V : Usaha-usaha Memasyarakatkan Teknologi Maklumat. IKIM merasakan bahawa kelima-lima tajuk sesi ini merupakan tajuk-tajuk yang perlu dibincangkan dalam melihat bagaimana teknologi maklumat dapat menyumbangkan kepada pembangunan individu dan masyarakat.
Sesi I yang bertemakan “Jurang Digital Dalam Era Teknologi Maklumat” akan melihat satu isu yang terpaksa kita tangani dalam era teknologi maklumat ini iaitu isu jurang digital. Jurang digital merujuk kepada perbezan yang wujud antara mereka yang kaya maklumat dengan yang miskin maklumat. Ia mungkin diakibatkan oleh isu akses, di mana yang kaya maklumat mungkin kerana ia ada akses terhadap internet manakala yang miskin maklumat pula mungkin kerana ia tiada akses terhadap internet. Ketiadaan akses ini mungkin berpunca dari kemiskinan menyebabkan individu tersebut tidak mampu memiliki komputer dan internet atau ke kafe siber. Ketiadaan akses juga mungkin berpunca dari kedudukan geografi yang menyebabkan kawasan tempat tinggal individu tersebut tiada infrastruktur seperti elektrik atau telefon yang menyukarkannya atau yang tidak membolehkannya ada akses kepada internet.
Apa yang juga perlu kita sedar ialah jurang digital ini boleh juga wujud bukan hanya kerana tidak ada akses atau tidak ada wang atau tidak ada infrastruktur tetapi sikap individu itu sendiri yang boleh menjadikannya miskin maklumat. Sebagai contoh, seseorang individu itu tinggal di bandar maka ia tiada masalah infrastruktur dan individu ini pun mampu memiliki komputer atau internet tetapi tidak berminat untuk mencari maklumat. Ia menggunakan internet untuk bersuka-suka tetapi bukan untuk menjadikannya lebih bermaklumat. Atau orang-orang yang mampu, tetapi lebih rela membeli barangan berjenama dari membeli komputer berinternet untuk mendapatkan maklumat. Jadi, jurang digital ini bukan sahaja wujud akibat jurang ekonomi dan lokasi tempat tinggal, tapi juga akibat individu itu sendiri.
Didapati bahawa jurang digital ini wujud antara negara maju dan membangun (di mana masyarakat maju lebih bermaklumat dari masyarakat negara membangun), antara kawasan bandar dan luar bandar dan saya juga menjangkakan wujud jurang digital antara generasi muda dan tua. Malah dalam keluarga, antara ibubapa dan anak-anak juga wujud jurang digital ini.
Jadi dalam sesi I, kita akan mendengar dua pembentangan kertas kerja iaitu pertamanya dari Tuan Shaikh Mohd Saiffudeen Shaikh Mohd Salleh, Fellow, IKIM yang akan membicarakan tentang “Jurang Digital dan Apa Yang Kita Perlu Lakukan”. Kita juga mengharapkan penyertaan dari Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia bagi bercakap tentang “Peranan Kerajaan Dalam Merapatkan Jurang Digital”. Selama ini kita tahu tentang kempen “Sebuah Rumah Sebuah Komputer” dan kemudahan yang diberikan oleh kerajaan kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengeluarkan wang KWSP untuk membeli komputer. Itu hanya sebahagian daripada peranan kerajaan. Jadi, melalui kertas kedua ini, kita mahu tahu apa lagi yang kerajaan lakukan untuk mengurangkan jurang digital ini.
Sesi II bertemakan “Teknologi Maklumat dan Individu” bertujuan untuk melihat bagaimana teknologi maklumat dapat menyumbang kepada kesejahteraan individu dan pembangunan individu. Kalau selama ini kita sering mendengar misalnya kesan-kesan negatif teknologi maklumat kepada individu seperti orang ketagihan internet atau orang menggunakan internet untuk melakukan jenayah seks, menonton ponografi dan sebagainya, kali ini kita ingin melihat kepada aspek positif yang dimainkan oleh teknologi maklumat sekiranya kita benar-benar menggunakannya dan menggunakannya dengan cara yang baik.
Kertas kerja 3 akan melihat bagaimana teknologi maklumat dapat menyumbang kepada kesejahteraan individu. Arus ledakan teknologi maklumat datang bersamanya maklumat-maklumat yang tidak putus-putus. Oleh itu, bagi mereka yang rajin mencari maklumat, yang pandai membezakan mana yang baik dan buruk dan mengamalkan ilmu itu maka sudah pasti dia akan hidup sejahtera. Tajuk ini akan dikupas dengan lebih terperinci oleh Encik Khairul Azhar Idris, Pegawai Penyelidik IKIM. Kertas 4 pula akan melihat tajuk “Teknologi Maklumat dan Pembangunan Individu” dan ia akan dibentangkan oleh Dr. Ding Choo Ming dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kertas ini dijangka akan melihat bagaimana melalui teknologi yang ada, manusia atau individu dapat membangunkan dirinya, sesuatu yang tidak mungkin dinikmati oleh manusia 30 tahun lalu seperti menghadiri kursus kemahiran secara on-line.
Sesi III yang bertemakan “Teknologi Maklumat dan Pembangunan Keluarga” juga akan melibatkan pembentangan dua buah kertas kerja. Pada sesi ini kita akan melihat pula bagaimana teknologi maklumat dapat menyumbang kepada pembangunan keluarga. Seperti yang kita tahu, teknologi maklumat adalah satu alat. Ia boleh merosakkan keluarga jika disalahguna tetapi ia juga dapat membangunkan keluarga andai sahaja kena caranya. Jadi sesi ini akan menumpukan kepada penggunaan teknologi maklumat untuk pembangunan keluarga.
Kertas kerja pertama dalam sesi ini bertajuk “Teknologi Maklumat Memperkaya Keluarga” akan dibentangkan oleh penulis sendiri. Saya akan cuba melihat bagaimana teknologi maklumat dapat memperkaya keluarga bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga dari segi inteleknya. Teknologi maklumat dengan kemudahan internetnya, membolehkan ahli-ahli keluarga mencari maklumat yang boleh digunakan untuk kesejahteraan keluarga seperti untuk menyelesaikan masalah keluarga, merancang kewangan keluarga dan sebagainya. Kertas kedua dalam sesi ini pula akan melihat keperluan-keperluan ke arah mewujudkan k-keluarga. Kertas ini akan dibentangkan oleh Prof. Madya Dr. Musa Abu Hassan. Dalam era teknologi maklumat ini bukan sahaja ada k-ekonomi tetapi juga ada k-keluarga. Jadi, dalam arus ledakan teknologi maklumat ini, kita mahu melihat bagaimana kita dapat mewujudkan k-keluarga sebagai asas kepada masyarakat bermaklumat yang ingin kita wujudkan itu.
Sesi IV dan V pula akan khusus membincangkan tentang “Teknologi Maklumat dan Masyarakat”. Kertas 7 bertajuk “Mempertingkat Akses Masyarakat Terhadap Teknologi Maklumat : Peranan Sektor Swasta” adalah cubaan IKIM untuk mendapatkan pandangan wakil swasta berkaitan dengan isu ini. Sebagaimana yang kita tahu aspirasi untuk menjadikan masyarakat Malaysia sebagai masyarakat yang bermaklumat adalah agenda negara. Kita tahu kerajaan telah mengambil berbagai langkah untuk menjadikan cita-cita ini satu kejayaan. Namun, kerajaan perlukan sokongan sektor lain juga dalam menjayakan agenda ini. Kita tahu, banyak syarikat-syarikat swasta yang juga mengambil bahagian dalam perkara ini dan dalam seminar ini kita akan melihat usaha-usaha dari syarikat swasta untuk menjayakan agenda IT negara ini atau bagaimana pihak swasta berperanan dalam mempertingkatkan akses masyarakat terhadap teknologi maklumat.
Dalam sesi yang sama, kita akan membincangkan tentang keperluan-keperluan ke arah mewujudkan k-masyarakat. K-masyarakat merujuk kepada masyarakat berasaskan pengetahuan. Kertas 8 ini akan dibentangkan oleh Dr. Narimah Ismail dari Jabatan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Dalam kertas ini, pembentang dijangkakan akan menyentuh tentang cabaran-cabaran untuk mewujudkan k-masyarakat dan langkah-langkah atau usaha-usaha bagi mengatasi cabaran-cabaran ini.
Sesi terakhir yang bertajuk “Usaha-usaha Memasyarakatkan Teknologi Maklumat” akan melihat beberapa inisiatif yang telah diambil untuk mewujudkan e-komuniti di negara ini. Sesi ini akan melihat pengalaman di beberapa tempat seperti di kalangan masyarakat bandar di Subang Jaya dan dua masyarakat luar bandar iaitu di Kampung Bayangan, Keningau, Sabah dan di Bario, Sarawak. Pengasas Subang Jaya e-komuniti iaitu Encik Jeff Ooi akan berkongsi pengalaman beliau ketika menubuhkan e-komuniti ini. Begitu juga, Encik Mokhtaruddin Haji Ahmad akan berkongsi pengalaman beliau di Kampung Bayangan, Sabah. Puan Poline Bala pula akan berkongsi pengalaman beliau mewujudkan e-Bario di Sarawak.
Pada sesi ini, kita ingin melihat pengalaman orang-orang ini dalam menubuhkan e-komuniti. Diharapkan kita akan dapat mengenalpasti apa masalah-masalah yang timbul di peringkat awal, apa sokongan-sokongan yang diperlukan, apa reaksi masyarakat sekitar dan sebagainya. Sesi ini diharapkan dapat membantu orang-orang atau komuniti-komuniti yang lain dalam usaha mereka mewujudkan atau menubuhkan e-komuniti di kawasan mereka sendiri.
Sebagai penyelaras seminar, saya mengharapkan seminar ini, melalui kertas kerja-kertas kerjanya dapat memenuhi objektif-objektif yang telah ditentukan seperti mengurangkan jurang digital yang ada serta mengenegahkan idea bagaimana teknologi maklumat dapat menyumbang kepada pembangunan individu, keluarga dan masyarakat. Jika seminar ini berjaya, saya merasakan bahawa ia adalah satu kejayaan IKIM dalam membantu kerajaan menjayakan agenda ITnya. Sebagai badan pemikir, IKIM tidak dapat memberi perkhidmatan berasaskan teknologi maklumat kepada masyarakat. Sebaliknya, IKIM hanya dapat memberi idea-idea yang mungkin boleh membuka dan mengubah pemikiran dan sikap masyarakat terhadap sesuatu perkara dan dalam konteks seminar teknologi maklumat ini mungkin mengubah sikap masyarakat terhadap penggunaan teknologi maklumat untuk kebaikan diri, keluarga dan masyarakat.
Tajuk “Teknologi Maklumat : Pembangunan Keluarga dan Masyarakat” adalah satu tajuk yang umum. Jadi, sesiapa yang berminat dengan isu kemasyarakatan terutamanya kaitannya dengan teknologi maklumat, bolehlah menyertai seminar ini. Setiap ahli masyarakat akan mendapat manfaat dari seminar ini, baik sebagai individu, ibubapa atau ahli keluarga, mahupun ahli masyarakat. Sebagai individu, kita boleh mendapatkan maklumat tentang bagaimana teknologi maklumat dapat mensejahterakan diri kita dan membangunkan diri kita. Sebagai ibubapa atau ahli keluarga, kita dapat menimba ilmu bagaimana teknologi maklumat boleh menyumbang kepada pembangunan keluarga kita dan sebagai ahli masyarakat, kita dapat melihat bagaimana teknologi maklumat dapat membangunkan sesebuah komuniti. Jadi, jelas bahawa setiap dari kita akan dapat memanfaatkan seminar ini. Malah, sering kali kita memegang ketiga-tiga peranan. Kitalah individu, kitalah ahli keluarga dan kitalah ahli masyarakat. Jadi, demikianlah luasnya sasaran seminar ini.
Seminar ini juga boleh dihadiri oleh pembuat dasar, badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan yang berkaitan, para pengkaji kemasyarakatan terutamanya mereka yang ingin melihat kesan teknologi maklumat kepada masyarakat atau peluang-peluang yang dibawa oleh teknologi maklumat kepada masyarakat. Seminar ini juga patut dihadiri oleh pemberi khidmat teknologi maklumat supaya dapat melihat apa yang berlaku dalam masyarakat agar mereka dapat memberi khidmat-khidmat bersesuaian. Sebagai contoh, katakanlah masih ramai ahli masyarakat yang tidak menggunakan internet kerana tidak mampu, maka mereka boleh memberi khidmat yang lebih murah dan seumpamanya. Jadi, secara mudahnya, seminar ini boleh dihadiri oleh sesiapa sahaja yang berminat tentang teknologi maklumat dan potensinya terhadap kehidupan individu, keluarga dan masyarakat. Walau bagaimanapun, seperti seminar-seminar yang lain, seminar ini terbuka kepada semua dengan sedikit yuran penyertaan. Namun, penyertaan penuntut-penuntut IPTA dan IPTS adalah percuma. Ini selaras dengan prinsip IKIM dalam memasyarakatkan IKIM kepada generasi yang akan datang. Jadi, kepada para penuntut IPTA dan IPTS, rebutlah peluang ini untuk menimba ilmu berkaitan dengan teknologi maklumat, pembangunan keluarga dan masyarakat.