Banyak perkara yang boleh dipelajari daripada peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. Dari aspek sejarah, semasa baginda berada di Mekah memperlihatkan perjuangan baginda untuk merubah sistem yang ada tidak diterima dengan mudah oleh keluarga dan bangsanya. Baginda berhadapan dengan pelbagai halangan dan tentangan. Begitu juga terhadap pengikut-pengikut baginda yang masih tidak ramai.
Ada yang diseksa dan terpaksa meninggalkan tanah air berhijrah ke Habsyah. Di negara tersebut juga terdapat usaha daripada pihak Quraish Mekah supaya raja berkenaan mengusir orang Islam yang berpindah ke situ. Bagaimanapun Saidina Jaafar berjaya menjelaskan tentang agama baru itu dan berjaya meyakinkan raja tersebut.
Dari aspek kemasyarakatan, bangsa Arab berpegang teguh dengan ikatan kekeluargaan, keturunan dan kabilah. Baginda Rasulullah s.a.w. berketurunan Bani Hashim yang dipandang tinggi oleh bangsa Arab. Abdul Mutalib, datuk kepada Rasulullah s.a.w. adalah seorang ketua kaum yang dipandang tinggi dan disegani. Walaupun beliau tidak menerima ajaran yang dibawa oleh cucunya Muhammad, namun beliau sentiasa memberi perlindungan dan pembelaan. Rasulullah s.a.w. cuba untuk mempengaruhi supaya datuknya menerima ajaran Islam. Akan tetapi tidak berhasil.
Dalam al-Quran Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya kamu tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi. Akan tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki.
Agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. adalah berasaskan kepada ajaran Tauhid dan ini bertentangan dengan kepercayaan yang dipegang oleh datuk nenek masyarakat Arab Jahiliyah.
Jahiliyah bukan bererti jahil dalam bidang kesusasteraan atau organisasi dan perdagangan. Akan tetapi kejahilan dalam akidah dan kepercayaan serta tatacara hidup yang tidak bermaruah. Tauhid adalah garis pemisah antara kebenaran dan kesesatan. Dalam al-Quran, Allah s.w.t. berfirman mengenai masyarakat Arab yang bermaksud: Sesungguhnya mereka sebelumnya berada dalam kesesatan nyata.
Islam membawa ajaran yang bertentangan dengan kepercayaan masyarakat Arab ketika itu yang telah diwarisi turun-temurun.
Justeru tentangan telah diberi oleh bangsa Arab termasuk keluarga baginda sendiri seperti Abu Lahab. Bahkan mereka yang memeluk Islam kemudiannya dipulau, dilarang bersemenda, bergaul dan memutuskan silaturrahim.
Dalam usaha untuk menyebarkan ajaran Islam ini, isteri baginda Khadijah telah memberi sepenuh sokongan, simpati dan galakan kepada baginda. Sedangkan majoriti masyarakat Arab membenci, memusuhi dan memandang rendah usaha yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Berbagai bentuk halangan dan cacian seperti cemuhan, melemparkan najis bahkan baginda pernah dicederakan sehingga berdarah.
Namun demikian baginda tetap tabah, sabar dan tenang dalam menghadapi suasana tersebut malah tidak pernah membalas perbuatan, cacian dan ancaman tersebut, bahkan baginda berdoa supaya Allah s.w.t. memberi petunjuk kepada kaumnya.
Kemuncak daripada tentangan adalah ancaman dari bangsa Arab untuk menamatkan riwayat baginda. Rancangan jahat ini diketahui oleh baginda. Dengan ancaman tersebut berakhir buat sementara perjuangan Rasulullah s.a.w. di Mekah dan bermulalah peristiwa penghijrahan ke Madinah.
Bagi mereka yang pernah menunaikan ibadat haji atau umrah dan berkesempatan melakukan ziarah ke Madinah dengan jalan darat dapat mengetahui tentang perjalanan tersebut, betapa kalau perjalanan tersebut dilakukan dengan menaiki unta seperti yang dialami oleh baginda Rasulullah s.a.w. Tambahan pula hijrah baginda ke Madinah penuh dengan ancaman daripada pihak Quraish. Apa yang dapat dipelajari daripada peristiwa hijrah ini iaitu sifat kesetiaan, kejujuran dan keberanian para sahabat seperti Ali bin Abi Talib, Abu Bakar dan Asma.
Ali bin Abi Talib rela tidur di atas hamparan bagi menggantikan baginda di rumah yang dikepung ketika baginda keluar meninggalkan kediamannya. Abu Bakar bersedia untuk bersama Rasulullah berhijrah ke Madinah yang penuh kesukaran dan ancaman musuh. Begitu juga dengan Asma yang sanggup menghantar makanan walaupun dalam keadaan bahaya. Ini menunjukkan dalam perjuangan, hendaklah ada orang yang setia dan boleh dipercayai kejujuran mereka. Peristiwa ini juga membuktikan wanita mempunyai peranan dalam masyarakat. Wanita boleh keluar rumah melakukan sesuatu tugas atau pekerjaan.
Ketibaan baginda disambut meriah oleh penduduk Madinah. Mereka telah berikrar untuk melindungi dan mempertahankan nabi seperti yang mereka janjikan dalam baih. Apabila baginda berada di Madinah, beberapa langkah telah diambil oleh Rasulullah antaranya mengukuhkan ikatan persaudaraan di kalangan orang Muhajirin dan Ansar.
Persaudaraan Islam ini disemaikan oleh baginda atas asas akidah. Ini bertujuan untuk menjalin dan mengeratkan tali persahabatan merentasi batas-batas keturunan dan taraf kedudukan. Antara ciri-ciri persaudaraan Islam adalah dengan menyemaikan akhlak yang luhur seperti rasa kasih sayang.
Sifat kasih sayang perlu disemaikan dalam setiap jiwa orang Islam. Dengan demikian seseorang itu dapat menjalin ikatan persaudaraan yang ikhlas serta menghakis sifat hasad dan dengki. Ini sesuai dengan hadis nabi yang bermaksud:
Contoh orang-orang Mukmin dalam berkasih-sayang, belas-kasihan dan bertimbang rasa itu seumpama satu jasad.
Jelas bahawa umat Islam seumpama satu tubuh. Baik buruk, senang susah, maju dan mundur semua dirasai bersama oleh seluruh umat Islam. Sifat-sifat demikian perlulah dipelihara dengan mengetepikan perbuatan-perbuatan yang bercanggah dengan nilai akhlak yang mulia seperti tuntutan dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Wahai orang yang beriman jangan sesuatu kaum menghina suatu kaum yang lain. Boleh jadi mereka yang dicemuh itu lebih baik dari mereka.
Dan seterusnya Allah s.w.t. menyatakan yang bermaksud: Dan jangan kamu memanggil di antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Amat buruk sebutan fasik sesudah ia beriman. Dan sesiapa yang tidak bertaubat (kefasikannya) maka mereka adalah orang yang zalim.
Ternyata bahawa umat Islam dalam merealisasikan ikatan persaudaraan hendaklah menjaga lidah daripada menyakiti saudaranya serta saling membantu dengan penuh ikhlas dan jujur untuk mencari keredhaan Allah.
Marilah kita merenung semula peristiwa hijrah dan teladan yang dibawa oleh baginda Rasulullah s.a.w. dalam membentuk masyarakat Islam yang kuat dan bersatu padu.