Pada minggu lepas, cuti sekolah menjengah lagi. Ini bermakna, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 juga membuka pintunya kepada orang ramai untuk datang berkunjung. Terdapat dua peristiwa menarik dalam kalendar cuti sekolah pertengahan tahun kali ini. Pertama, PBAKL 2024 dan kedua, pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi kohort yang lahir pada 2006. Persamaan kedua-dua acara ini? Buku!
Keputusan SPM 2023 berjaya mencatatkan Gred Purata Nasional (GPN) sebanyak 4.60, pencapaian lebih baik berbanding tahun 2022 iaitu 4.74. Seramai 11,713 calon memperoleh keputusan cemerlang kesemua A (A+, A, A-) dalam semua mata pelajaran pada 2023 berbanding 10,109 calon pada 2022. Secara keseluruhannya, keputusan SPM tahun ini mencatatkan peningkatan dan lebih baik dari tahun lepas termasuklah bilangan lulus semua mata pelajaran dan peratus calon layak menerima sijil SPM.
Memetik ucapan tahniah Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim buat calon SPM melalui laman media sosialnya: “Kepada yang peroleh keputusan cemerlang, teruskan usaha kalian dalam mendepani fasa berikutnya dalam kehidupan. Kepada yang kurang bernasib baik, ini bukan pengakhiran, sebaliknya masih banyak ruang dan dan peluang untuk cipta kejayaan baharu.”
Betul, SPM hanyalah permulaan kehidupan daripada sebuah pengakhiran zaman persekolahan. Namun, trend generasi kini yang ghairah ingin menjadi seorang pempengaruh media sosial (influencer) disebabkan gaya hidup mewah, juga merendah-rendahkan mereka yang ingin sambung belajar perlu diberi perhatian serius. Dakwaan ini benar kerana seramai 10,600 daripada 383,685 calon tidak menduduki SPM pada tahun 2023 manakala hampir 30,000 pada tahun 2022.
Menurut laporan Utusan Malaysia bertarikh 31 Julai 2022, kaji selidik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan SPM tidak berminat menyambung pengajian. Trend pada 2019 itu berlarutan hingga tahun 2021. Mereka lebih memilih untuk bekerja sebagai influencer, pemandu e-hailing atau rider penghantar makanan (pekerjaan gig).
Generasi keciciran (lost generation) wujud angkara pandemik Covid-19 kerana terpaksa mengharungi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), secara dalam talian dan juga secara hibrid sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Akibatnya, ada pelajar yang hilang minat belajar atas pelbagai faktor seperti tiada pembelajaran secara fizikal di sekolah, suasana di rumah yang berbeza, tidak dapat bertemu kawan-kawan, keterbatasan penggunaan teknologi, kurang tumpuan, mudah terganggu dan sebagainya. Sepatutnya, generasi pasca Covid-19 harus bangkit dan lebih bersedia dalam mendepani cabaran pendidikan hari ini serta keluar daripada kepompong PKP.
Maka itu membawa kita kepada persoalan, siapa yang akan menghasilkan Ungku Aziz, Khoo Kay Kim dan Syed Muhammad Naquib al-Attas yang seterusnya? Tetapi, saya tidaklah berasa terlalu gusar terhadap tanda tanya tersebut jika melihat kepada kesesakan yang berlaku di PBAKL 2024 tahun ini. Dilaporkan juga PBAKL 2024 mencatatkan sejarah seramai 1.8 juta orang berbanding 1.5 juta pengunjung tahun lepas. Cuma mungkin boleh difikirkan bagaimana untuk menarik pengunjung bukan Melayu lebih ramai supaya pesta buku ini lebih bercitrakan bangsa Malaysia dan bukannya Melayu-sentrik.
Selain itu, memakai nama antarabangsa tanpa penglibatan setidaknya penerbit buku dari rantau Asia Tenggara ibarat jenama tempatan yang menggunakan nama tempat di luar negara tetapi hanya beroperasi di dalam negara. Namun ada yang berpendapat, antarabangsa di sini bermaksud menarik pengunjung luar negara untuk datang membeli karya tempatan sebagaimana praktis yang dilakukan beberapa negara lain. Karya terjemahan dan alih bahasa ke bahasa kebangsaan juga merupakan satu indikasi positif pengantarabangsaan. Itu kupasan lain.
Tatkala dunia masa kini dihambat dengan segala-galanya yang berbentuk digital, ternyata buku dalam bentuk fizikal masih mempunyai peminatnya. Bau, tekstur dan kepuasan memegang sebuah buku itu mengatasi sifat bahan bacaan maya yang tidak mendatangkan nilai sentimental tersendiri. Kesemua itu berbalik kepada soal subjektiviti cita rasa dan keselesaan pembaca itu sendiri. “Rambut sama hitam, hati lain-lain.”
Disebabkan hati lain-lain, maka kita tidak mampu menebak sanubari segelintir generasi kini yang kurang gemar menyambung pengajian pasca SPM. Sukacita untuk saya mengambil contoh calon Biduanita Negara Ke-3, Dato’ Seri Siti Nurhaliza Tarudin menghabiskan pengajian di peringkat SPM terlebih dahulu sebelum menjadikan nyanyian sebagai bidang kerjayanya. Penghibur No. 1 Asia, Dato’ Sudirman Haji Arshad berjaya menggenggam segulung ijazah dalam bidang undang-undang daripada universiti No. 1 Malaysia dalam masa yang sama mendunia dengan karya malar segarnya. Penyanyi hit masa kini, Aina Abdul juga gigih menyambung semula semesternya sehingga bergelar graduan jurusan muzik kontemporari meskipun sedang berada di puncak populariti.
Jadi apa penyebab anak muda tidak mahu menghabiskan mahupun menyambung pengajian selepas SPM? Jangankan nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran dek terpengaruh dengan hasutan golongan minoriti yang belum tentu kejayaannya dalam jangka masa panjang. Hidup merupakan satu proses dan alamilah ia dengan penuh kesabaran dan pengharapan kepada Yang Maha Esa. Ambillah ibrah syariat kitab suci agung Al-Quran yang diturunkan secara berperingkat dan mengambil masa panjang selama 23 tahun (13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah).
Dunia kini sedang mengalami perkembangan evolusi sains dan teknologi menerusi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence/AI). Ini sekali gus menuntut kepada tenaga kepakaran dalam negara di bidang ini. Bidang teknologi tinggi seperti AI, dron dan robotik adalah peluang kerjaya masa depan. Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan Seminar Penghayatan Riyadhu As-Salihin sempena Festival Turath Islami Selangor pada 1 Jun lalu menyarankan supaya melatih golongan muda mempunyai kepakaran AI untuk menerapkan khazanah ilmu Islam dan turath dalam korpus AI. Beliau juga tuntas mengusulkan penubuhan universiti dan fakulti AI di Malaysia supaya berdaya saing dengan arus teknologi pesat dan membangun bertepatan dengan falsafah Malaysia MADANI seperti dicanangkan.
Begitu juga, pekerja berkemahiran tinggi seperti graduan jurusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan bidang perubatan amat diperlukan. Sama ada dalam bidang akademik, industri kreatif mahupun pasaran buruh, kesemuanya menuntut kepada pencarian ilmu berterusan menerusi kursus ditawarkan di peringkat pendidikan tertiari.
Jika generasi kini terus dimomokkan dengan budaya hedonisme dan “skim cepat kaya” versi masa kini yang disalutkan dengan balutan manis bernama pempengaruh, apakah suatu hari nanti buku-buku yang terdapat di PBAKL ditulis oleh orang luar, atau… AI?