TEKS PERUTUSAN
YBHG. PROF.MADYA DATO’ DR. MOHAMED AZAM BIN MOHAMED ADIL
KETUA PENGARAH IKIM
SEMPENA
HARI RAYA AIDILADHA 2024
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
- Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga serta para sahabat baginda.
- Alhamdulillah, kita dipanjangkan umur dan diberikan kesempatan untuk sekali lagi menyambut Hari Raya Aidiladha. Pada hari yang mulia ini, marilah kita sama-sama merenung kembali pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS, yang menjadi teladan bagi kita semua.
- Firman Allah SWT dalam Surah As-Saffat, ayat 102-107:Yang bermaksud: “Maka ketika anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: ‘Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!’ Ia menjawab: ‘Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.’ Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya). Dan Kami panggillah dia: ‘Hai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu.’ Sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.”
- Hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada Hari Kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah korban kamu.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi).
- Kisah pengorbanan ini memberi kita pengajaran yang amat mendalam. Hal ini mengingatkan kita tentang nilai-nilai ketakwaan, keikhlasan, dan kesabaran. Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS menunjukkan kepada kita bahawa keimanan yang tulus kepada Allah SWT adalah asas utama dalam kehidupan seorang mukmin.
- Marilah kita mengambil ibrah dan pengajaran dari kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S, pensyariatan untuk umat Islam melakukan ibadah korban sangat-sangat dituntut (sunat muakkad). Makruh bagi yang mampu tetapi tidak melakukannya dan tidak berdosa jika ditinggalkan tanpa sebarang keuzuran.
- Dalam suasana menyambut Aidiladha ini, marilah kita memperbanyakkan amal ibadah, memperkukuhkan ukhwah dan kasih sayang antara satu sama lain. Semoga kita dapat mencontohi sifat-sifat terpuji Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS, dan menerapkan pengorbanan dalam kehidupan seharian kita.
- Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua warga IKIM atas kerja keras dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan segala program dan aktiviti institut kita. Semoga Allah SWT memberkati segala usaha kita dan memberikan kita kekuatan serta petunjuk untuk terus berbakti kepada agama, bangsa, dan negara.
- Di kesempatan ini juga, marilah kita bersama-sama mendoakan agar saudara-saudara kita yang sedang menunaikan ibadah haji diberi kesihatan yang baik dan dapat menyempurnakan ibadah mereka dengan sempurna. Semoga segala pengorbanan kita diterima oleh Allah SWT dan kita diberi rahmat dan keberkatan-Nya.
- Sekali lagi kepada semua warga kerja IKIM, saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha. Semoga kita semua diberkati dengan keberkatan dan rahmat Allah SWT, serta menjadi hamba-Nya yang sentiasa bersyukur dan taat kepada segala perintahNya. Insyaallah.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.