Setelah kematian Nicolaus Copernicus pada 1543, idea di dalam karyanya De Revolutionibus Orbium Coelestium (Tentang Peredaran Sfera Cakerawala) mula mengalihkan perhatian ahli-ahli sains di Barat daripada teori alam geosentrik (bumi sebagai pusat cakerawala) kepada teori heliosentrik (planet-planet termasuk bumi beredar mengelilingi matahari).
Menurut Profesor George Saliba di dalam karyanya Islamic Science and the Making of the European Renaissance, Copernicus menggunakan banyak maklumat dan hasil kerja ahli falak Muslim di abad ke-9, 13, dan 14 seperti Masha’Allah, Mu’ayyad al-Din al-‘Urdi, Nasir al-Din al-Tusi, dan Ibn al-Shatir bagi mengukuhkan teorinya. Bahkan, telah didapati bahawa model peredaran bulan yang dikemukakan oleh Copernicus adalah model yang sama dikemukakan 200 tahun sebelumnya oleh Ibn al-Shatir.
Pada abad ke-9, saling perutusan antara Raja Perancis Charlemagne dengan Khalifah Abbasiyyah Harun al-Rashid membolehkan Barat mencedok ilmu dan sains yang dikembangkan di dalam tamadun Islam. Demikianlah Barat menerima idea revolusi atau peredaran daripada Islam.
Revolusi ialah suatu pergerakan berhaluan bulat dengan permulaan dan pengakhiran. Pergerakan sejarah manusia bermula dengan pengutusan Nabi Adam a.s. dan arwah sekalian zuriatnya yang mengikat perjanjian (‘ahd dan mithaq) dengan Tuhan sebelum misi kekhalifahan di muka bumi (Surah al-A‘raf, 7:172). Ia tamat dengan kembalinya semua kepada Pencipta dalam keadaan akhir masing-masing sama ada bahagia (sa‘id) atau celaka (shaqiy).
Tiada suatu pun kuasa politik atau pemerintahan di dunia yang kekal selamanya melainkan bersilih ganti mengikuti kadar masa yang telah ditentukan oleh Allah ‘azza wa jalla. Oleh kerana itu, para sejarawan Islam mengenalpasti zaman pemerintahan sesuatu dinasti dengan perkataan Arab dawlah yang diMelayukan sebagai ‘daulat’, sebagaimana kata akarnya dawala membayangkan kitaran bersilih ganti yang mengawal atur keberlakuan kejadian-kejadian alam – siang dan malam, keadaan-keadaan lemah dan kuat, jatuh dan bangkit tamadun.
Menurut Ibn Khaldun (m. 1406), terdapat tiga fasa dalam hayat sesuatu dinasti pemerintahan. Fasa pertengahannya ialah kemuncak keilmuan dan kebudayaan. Justeru, jangka hayat sesuatu tamadun bergantung kepada kemampuannya untuk memanfaatkan keilmuan dalam menyebarkan keadilan dan mengawal atur hal ehwal rakyat.
Sebagaimana Firaun menolak kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa a.s., kerosakan cara hidup beragama (millat) terdahulu disebabkan kepalsuan dan penyelewengan maklumat dan ilmu. Ini dicapai dengan cara mengaburkan kebenaran dan menyebarkan kekeliruan tersebar yang akhirnya mengakibatkan kezaliman.
Atas rahmat belas kasihan-Nya Allah subhana wa ta‘ala mengutuskan Nabi-nabi yang diamanahkan untuk memimpin semula kaum-kaum mereka kembali ke jalan hidayah dan iman yang jelas sesudah menderita kemerosotan akhlak dan penyakit ruhani (Surah al-Saff, 61:9).
Utusan yang termulia dan teragung ialah Rasulullah s.a.w. yang datang menjernihkan pemikiran yang menderita kekeliruan kesan kerosakan makna. Begitu hebat kejelasan bimbingan sehinggakan dalam masa beberapa dekad sahaja masyarakat yang sebelum itu dihambat dengan kebiadaban berubah menjadi suatu peradaban yang mencapai tingkatan tinggi kebudayaan dan keilmuan.
Islam memiliki cara gaya dalaman untuk membawa semula kejelasan ruhani dan ‘aqli melalui perantaraan waris para Anbiya’ – pemimpin yang diberikan petunjuk (al-a’immat al-rashidin dan al-hudah), para ‘ulama, para awliya’, dan orang-orang yang salih – yang berterusan menghayati dan mempertahankan tiang seri agama melalui kekuatan dalaman sebagaimana jua kerangka pemikiran yang betul.
Dalam konteks hari ini, diyakini bahawa kuasa pemikiran manusia akan senantiasa membayangkan teknologi baru. Namun, menjaga rahsia persendirian dan memelihara keselamatan umum tetap menjadi cabaran gerun lebih-lebih lagi di suasana yang dicanang sebagai dunia pasca-kebenaran (post-truth world) yang membayangkan akar permasalahan kemerosotan akhlak dan penyakit ruhani yang sedang dihadapi oleh masyarakat.
Sungguhpun Revolusi Industri Keempat (4IR) yang menjadi agenda utama di World Economic Forum (WEF) cetusan fikiran ahli ekonomi Klaus Schwab menjanjikan titik pertemuan dan pertumpuan teknologi (technological convergence), wacana dimensi akhlak 4IR masih di tahap yang rendah. Kurangnya penekanan terhadap pendidikan akhlak dan etika bermakna maklumat dan ilmu terus terdedah kepada risiko penyelewengan dan pemalsuan. Sebagaimana diakui oleh Schwab di dalam bukunya The Fourth Industrial Revolution (2016), ianya membuka ruang kepada krisis dan konflik pertembungan yang belum pernah disaksikan dalam sejarah.
Dakwaan berlakunya pencerobohan perisikan asing terhadap sistem pengundian elektronik dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat 2016 memungkinkan sesebuah negara tewas dalam peperangan tanpa perlu sebutir peluru pun dilepaskan. Demi memastikan keamanan dan keselamatan dipelihara, negara berpenduduk besar seperti China terlebih dahulu mengambil jalan kawalan ketat dengan menghalang platform media sosial dan perkhidmatan pesanan segera terutamanya yang memiliki pelayan di seberang.
Pengeliruan kebenaran pastinya menyulitkan kemampuan untuk mengawal atur, mentadbir, dan mengurus hal ehwal dengan betul. Akibatnya, kemampuan untuk memastikan keadilan dan keteraturan hal ehwal rakyat turut terjejas.
Di sinilah terletaknya bahaya tergesa-gesa ke dalam suatu rancangan terperinci yang tiada mengambil kira hakikat makna diri insan justeru menenggelami kemampuan diri manusia dengan teknologi yang diberikan kuasa dan mandat besar untuk mengumpulkan lambakan maklumat tanpa had.
Kerangka pemikiran yang benar membawa kepada ilmu tentang diri. Sebaliknya, ketiadaan kerangka pemikiran pastinya membingungkan diri seseorang yang tiada dapat menguruskan ledakan maklumat terutama apabila berita palsu pantas menjadi ikutan semasa dan ditularkan tanpa perlu berfikir panjang kesan akibatnya. Lalu, bagaimana ia diharapkan untuk mengurustadbir orang lain?
Para pengawal atur, pembuat dasar, dan penggubal undang-undang menghadapi masalah berdepan dengan perubahan-perubahan ini. Kita perlu memastikan tanggapan dan pandangan jauh tiada dihalangi oleh perancah yang menutupi kebenaran.