SATU sifat baginda Rasulullah s.a.w yang amat wajar diteladani dalam menghadapi zaman-zaman gawat dan resah gelisah yang melanda masyarakat kita kini, pada pandangan saya ialah sifat memaafkan kesalahan orang lain dan bertolak ansur ketika menghadapi kerenah manusia.
Dalam sejarah baginda Rasulullah s.a.w tercatat satu peristiwa yang penuh dengan keagungan rasa hati dan membangkitkan emosi manusia yang amat halus iaitu ketika baginda pulang semula ke Mekah selepas berhijrah ke Madinah. Baginda yang telah sekian lama terpaksa keluar meninggalkan rumah tangga dan tanah tumpah darah yang tercinta, akhirnya mendapat kemenangan yang besar dalam menjalankan tanggungjawab dan amanahnya terhadap Allah s.w.t maka dengan itu tibalah masanya untuk baginda pulang ke tanah tumpah darahnya Mekah.
Ketika menghadapi orang ramai yang menyambut baginda, yang pernah satu masa dulu memusuhi dan memerangi baginda dengan penuh kekerasan dan kesombongan, baginda dengan penuh insaf akan keagungan Allah s.w.t bertanya kepada mereka; Apakah gerangannya anda semua mengira akan aku lakukan kepada kamu semua? Mereka yang amat memahami keimanan dan keagungan akhlak baginda menjawab tanpa teragak-agak; tuan hamba, saudara yang mulia, dan anak saudara yang mulia!
Pertanyaan baginda dan jawapan yang diterima itu menggambarkan kesatuan perasaan di antara baginda dan para sahabatnya. Perasaan itu adalah terbina di atas sifat belas kasihan, kasih sayang dan saling mengerti di antara kedua-dua belah pihak yang tidak mempunyai rasa dendam kesumat atau gurisan hati yang sakit terhadap sesama sendiri. Dengan itu terbinalah masyarakat yang dianggotai oleh baginda dan para pengikutnya di atas asas kesatuan dan perpaduan kerana Allah s.w.t disinari dengan sifat maaf memaafkan, bertolak ansur dan bertekad untuk melupakan segala perasaan negatif yang telah berlalu. Masa hadapan yang cemerlang dan penuh cahaya itulah yang seharusnya dijadikan matlamat bersama dan di atas kekuatan inilah baginda mengukuhkan tali persaudaraan di antara sesama Islam.
Sesungguhnya peristiwa ini amat menyentuh perasaan kita yang mempelajarinya. Kita dapat membayangkan bagaimana baginda Rasulullah s.a.w yang mempunyai perwatakan dan kepimpinan yang amat agung itu sanggup berdiri di hadapan orang yang pernah memusuhinya dan memberikan kemaafan yang terbit daripada hati sanubari baginda dengan penuh ikhlas dan takwa.
Tanpa bertujuan menyamakan manusia lain dengan keperibadian baginda Rasulullah s.a.w, saya membaca kenyataan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad ketika genap kepimpinannya selama dua puluh tahun sebagai Perdana Menteri dengan perasaan dan emosi yang bercampur-baur. Sebagai seorang pemimpin yang begitu lama memegang tampuk pemerintahan negara dan berjaya mengatasi beberapa krisis besar dalam proses kepimpinannya, Dr. Mahathir masih dapat menunjukkan sikap sederhana dan keikhlasan hati dalam ungkapan kenyataannya itu.
Biasanya sikap ego seorang pemimpin amat sukar membuat pemimpin itu bercakap dengan merendah diri dan mengaku dengan terus terang bahawa beliau juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Beliau terus terang mengaku bahawa dalam membuat keputusan-keputusan penting, beliau mungkin telah melakukan sedikit kesilapan.
Kalau pun beliau melakukan kesilapan, tetapi sebenarnya keputusan yang telah dibuatnya itu adalah untuk kepentingan negara dan bangsa, bukan kerana kepentingan peribadi atau individu sendiri. Berdasarkan kenyataan inilah beliau menegaskan bahawa kepentingan negara dan bangsa mengatasi kepentingan peribadi, dan beliau tidak pernah merasa kesal kerana membuat keputusan itu walaupun kerana tindakannya itulah beliau menjadi pemimpin yang tidak popular dan kehilangan sebahagian sokongan yang diperolehnya selama ini.
Saya fikir bahawa setiap orang yang mempunyai hati kecil yang hidup dan sedar, akan merasa terharu apabila Dr. Mahathir menyatakan dengan terus terang sekali lagi tentang tabiat kehidupan di dunia yang fana ini.
Menurut beliau, berdasarkan kepentingan bangsa dan negara inilah beliau terpaksa membuat keputusan yang tidak popular itu, dan hal ini bukanlah untuk kepentingan dirinya sebagai individu, kerana saya tetap akan pergi. Saya tidak boleh kekal selama-lamanya. Ertinya dalam jawatan dan kehidupan ini, tidak ada sebarang hamba Allah yang akan kekal selama-lamanya.
Inilah pengakuan yang seharusnya diucapkan oleh semua hamba Allah yang beriman kepada kekuasaan-Nya, sekalipun hamba Allah itu berada di kedudukan sebagai pemimpin besar, atau seorang rakyat kecil. Semuanya adalah hamba Allah yang mempunyai kedudukan sama rata di hadapan Allah s.w.t.
Bagi saya dalam kegeloraan kesombongan manusia zaman kini, dan ketika manusia berlumba-lumba dengan berbagai-bagai helah untuk berkuasa dan menjadi pemimpin, maka perasaan rendah diri dan penuh ikhlas haruslah menjadi penawar yang mewarnai hati manusia yang keras itu. Manusia haruslah bersifat tawaduk dan bersikap sopan santun dalam percakapan dan perlakuannya.
Kita akui bahawa sifat dan tabiat serta kemuliaan baginda Rasulullah s.a.w tidak ada tandingannya dalam masyarakat seluruh umat manusia. Tidak ada sebarang manusia yang dapat menyamai baginda dalam sebarang aspek kehidupan baginda. Namun begitu semangat dan inspirasi yang didapati daripada kehidupan baginda sering menjadi teladan dan cermin kehidupan bagi kita manusia biasa. Maka dalam konteks ini, manusia masih dapat menghayati kemuliaan akhlak baginda dan merealisasikan semangat dan sifat-sifat mulia baginda itu.
Maka dalam hal inilah saya rasa kita sebagai orang Islam yang penuh beriman kepada ajaran Allah s.w.t dan Rasul-Nya dapat menunjukkan contoh sebagai seorang yang menghayati semangat keunggulan sifat mulia Rasulullah s.a.w. Sekurang-kurangnya selepas dua puluh tahun memegang tampuk kepimpinan negara, Dr. Mahathir menyedari akan sifat-sifat mulia yang ditunjukkan Rasul terakhir, Nabi Muhammad s.a.w. Maka atas dasar inilah kita merasa amat terharu membaca kenyataan beliau yang amat menyentuh perasaan, penuh tawaduk dan berterus terang itu.