Masih gah, dan masih relevan. Itu yang dapat dirumuskan ketika Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyambut ulang tahun ke–27 pada hari ini. Jika diibaratkan sebagai seorang insan yang dilahirkan 27 tahun yang lalu, 18 Februari 1992, pada hari ini ia sudah pun menjadi seorang belia. Usia ini adalah usia yang sudah agak dewasa dan matang dalam memahami erti kehidupan. Lazimnya seseorang yang usianya menghampiri tiga dekad bukan sekadar tahu untuk memelihara kebajikan diri sendiri, tetapi juga akan mula membina tapak yang kukuh dan berdikari. Malah, seusia ini juga biasanya sudah mula berfikir untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dan negaranya.
Namun itu hanyalah suatu analogi dalam personifikasi. Kematangan itu sesuatu yang subjektif. Apatah lagi jika merujuk sesebuah organisasi atau institusi yang dipimpin serta diterajui oleh mereka yang berwibawa, dengan barisan ahli lembaga pengarah yang terpelajar, berkredibiliti dan sentiasa mengikuti serta prihatin terhadap peristiwa atau perubahan yang berlaku dalam masyarakat, negara malah di dunia antarabangsa.
Sejak 27 tahun yang lalu, IKIM dilahirkan daripada satu inspirasi bagi menjernihkan tanggapan-tanggapan negatif tentang agama Islam. Ia suatu fenomena yang menyedihkan kerana agama ini sering disalah erti, sama ada di sebaliknya terdapat agenda tertentu, ataupun kerana kejahilan umat Islam sendiri. Media Barat pada ketika itu malah sehingga kini, sering mengaitkan Islam dengan pelbagai perkara yang negatif, dari aspek kekejaman serta keganasan, sehinggalah ke aspek kemunduran dan kejahilan dalam ilmu pengetahuan. Itulah yang dapat dirumuskan daripada tulisan Mantan Ketua Pengarah IKIM yang pertama, Datuk Dr. Ismail Ibrahim pada dua minggu yang lalu dalam akhbar ini.
Inilah idea asas yang melahirkan sebuah institusi yang pada perkiraan penulis bukan sekadar suatu platform atau wadah—dalam menyampaikan kefahaman sebenar tentang agama Islam kepada umat manusia sejagat, tanpa mengira agama, latar belakang budaya dan pemikiran—tetapi juga sebagai medium dakwah yang mampu memperlihatkan keindahan Islam, dan juga sebagai pengantara yang dapat membina kerangka hubungan antara penganut agama di negara ini.
Menariknya, IKIM bukan sekadar mampu menzahirkan bahawa agama Islam itu agama yang indah, tetapi agama Islam di Malaysia mempunyai ciri-ciri yang tersendiri, juga tidak meninggalkan elemen-elemen tradisi selama mana ia tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip syariah. Menyarung kemeja dan berbaju kurung batik oleh kakitangan IKIM ketika mengadakan program tertentu, adalah metafora warisan tradisi orang Melayu melalui bahan pakaian dan motifnya tetapi pada masa yang sama ia tetap menepati tuntutan syariah dalam menutup aurat.
Tidak keterlaluan juga untuk dikatakan ia suatu perlambangan tentang sifat agama Islam yang lentur, dan sifat lentur itu mampu menempa acuan tersendiri bagi sebuah negara bernama Malaysia. Sebuah negara yang memiliki kerangka demokrasi dan perlembagaan yang tersendiri, malah mewarisi legasi kerangka fiqah yang bukan sekadar diiktiraf oleh ulama Nusantara, malahan juga kalangan cendekiawan Islam antarabangsa. Kata-kata ini adalah sebahagian rumusan penulis, hasil daripada program Sesi Town Hall bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof yang dianjurkan IKIM pada 29 Januari yang lalu.
Bicara ini persis IKIM mengangkat diri sendiri, namun dari satu sisi IKIM sebenarnya boleh dianggap sebagai wajah kepada masyarakat dan bangsa Islam di Malaysia yang sudah membina tamadun yang tersendiri, berpegang teguh kepada agama, dan memiliki adab sopan yang luhur kepada sesiapa juga. Maka, dalam konteks ini IKIM seharusnya menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.
Sepanjang tempoh menghampiri tiga dekad, IKIM telah menyusuri pelbagai permasalahan manusia yang bersifat sejagat, yang kemudiannya dibincangkan dan diteliti dengan metodologi (juga platform) yang bersesuaian dengan isu-isu berkenaan sama ada dari sudut falsafah, penyelidikan bersifat makro ataupun kajian kes. Malah ketika rencana ini ditulis, sedang berlangsung Persidangan Meja Bulat yang bertajuk, “Integrating Religion and Science in Education Curriculum.”
IKIM juga tidak mengubah aspirasinya tetapi juga membuat penambahbaikan dalam urus tadbir dan bidang penyelidikan yang dilaksanakan dari semasa ke semasa supaya IKIM terus berupaya untuk berkhidmat dan menyumbang bakti. Penambahbaikan ini telah dapat mengukuhkan IKIM melalui tiga pusat kajiannya, yang disokong oleh bahagian-bahagian yang lain, yang mudah-mudahan strategi ini akan menambah daya cekap IKIM dalam berfungsi.
Perjalanan menghampiri tiga dasawarsa ini tentu sekali telah melalui pelbagai peristiwa pahit manis, juga mengharungi cabaran yang menjadi corak kepada seribu satu warna kehidupan. Namun semuanya berada dalam lingkungan fitrah insani dalam perjuangan yang panjang.
Bukan sahaja pelbagai lapisan masyarakat yang IKIM santuni, malah kelangsungan hidup harimau di dalam hutan juga kami ambil perhatian. Termasuklah terlibat secara langsung dalam penanaman pokok bakau sebagai usaha penambahbaikan alam sekitar. Salah satu usaha penting yang IKIM lakukan dan perlu diambil peduli oleh rakyat, adalah usaha berterusan IKIM mengajak umat Islam di Malaysia untuk terus memartabatkan al-Quran.
Sebagai mengakhiri tulisan, penulis ingin merakamkan sejuta penghargaan kepada semua pihak yang menyokong dan yang pernah memberi sumbangan secara langsung, secara tidak langsung, yang menyokong dengan memberi kritikan membina dan sentiasa mendoakan kelangsungan fungsi IKIM sehingga kini. Dengan izin Allah SWT, Tuhan semesta alam, IKIM akan terus menunaikan peranannya dalam isu-isu kemanusiaan sejagat.
Perjalanan dan kelangsungan IKIM selama 27 tahun ini tentunya tidak dapat dihuraikan dalam ruangan yang terbatas, maka penulis wakili dengan serangkap pantun yang berbunyi: