Kemudahan komunikasi pada hari ini membolehkan perkongsian maklumat dan penularan khabar dilaksanakan dengan pantas. Di sebalik manfaatnya, terselit kebimbangan yang merugikan umat manusia sekiranya maklumat dan berita ditokok tambah atau dipalsukan. Hal ini kerana kecanggihan teknologi tersebut memberikan tempias kepada kerancakan pertumbuhan industri halal sama ada di Malaysia mahupun secara global.
Kemunculan pelbagai media baharu menyebabkan penularan maklumat lebih meluas dan kompleks serta mudah diakses oleh pengguna tanpa mengira usia dan lokasi. Penularan maklumat halal palsu sering kali melibatkan serangan terhadap produk halal dengan memanipulasikan isu sensitif dalam kalangan pengguna muslim yang melibatkan unsur babi dan terbitannya, kebersihan, penyembelihan dan unsur alkohol dalam makanan, minuman serta barangan harian.
Dalam konteks penyebaran maklumat berkaitan halal, pengguna seharusnya mempunyai kewaspadaan apabila menerima sesuatu berita. Sikap menyelidiki dan menyiasat terlebih dahulu maklumat tersebut memperlihatkan rasa tanggungjawab yang perlu dipikul dalam kepenggunaan Islam. Hal ini bertujuan untuk memastikan setiap maklumat daripada sumber yang sahih, tepat dan bersesuaian. Penelitian maklumat tersebut perlu dilakukan bagi menapis penyebaran yang akan memporak-perandakan masyarakat dan mengganggu kelestarian ekosistem halal yang sedang membangun di negara kita. Hal ini selaras dengan saranan dalam surah al-Hujurat ayat 6 yang membawa maksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini. Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya), sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
Pendekatan konsep at-tabayyun perlu dititikberatkan sebelum berkongsi maklumat. Dalam hal ini, pihak autoriti agama perlu dijadikan rujukan dan sandaran sebagai sumber maklumat yang sahih dan tepat. Malah, untuk mendapatkan maklumat berkaitan produk dan penarafan status halal juga boleh diakses dan diverifikasi dengan mudah menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), aplikasi di telefon pintar dan laman web pihak yang bertanggungjawab dan diiktiraf oleh kerajaan. Dalam pemilihan produk halal, pengguna harus meyakini logo halal yang diiktiraf. Hal ini kerana keraguan tanpa alasan yang kukuh akan menimbulkan kekeliruan dan kepanikan dalam masyarakat. Pengguna tiada pilihan yang lebih tuntas, selain daripada menyandarkan kepada pihak yang berkelayakan dalam mengesahkan status kehalalan sesuatu produk.
Seringkali maklumat halal palsu ditularkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Maka, pengguna yang menerima maklumat tersebut mempunyai pilihan sama ada untuk menyebarkan atau menoktahkannya. Tindakan yang boleh diambil sebelum disebarkan ialah meneliti dan menyemak terlebih dahulu dan bukannya terburu-buru untuk terus memanjangkan maklumat tersebut. Hal ini ditegaskan dalam hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Sifat bertenang itu daripada Allah SWT dan terburu-buru itu daripada syaitan.”Justeru, sikap berhati-hati sebelum menularkan sebarang maklumat amat ditekankan dan digalakkan dalam Islam.
Sekiranya penyebaran maklumat halal palsu berterusan diperpanjangkan tanpa ada penghujung, impaknya lebih besar kepada keributan dalam masyarakat pengguna. Malah, maklumat palsu yang berlegar-legar di ruang maya terus dikitar semula dan dibangkitkan walaupun telah ada penjelasan dibuat oleh pihak berwajib. Pengulangan isu ini menggambarkan seolah-olah masyarakat kita tidak mengikuti perkembangan terkini dan terlalu jumud terhadap sesuatu isu sensitif yang dicipta tanpa asas. Fenomena ini masih terus berlaku sehingga kini dan penyebar mempunyai persepsi bahawa perkara tersebut perlu mendapat perhatian daripada seluruh masyarakat Islam khususnya serta beranggapan tindakan tersebut akan beroleh pahala.
Pengguna muslim seharusnya sedar akan hal ini supaya tidak terjerat dengan perasaan yang dirasakan ‘baik’ tetapi tidak mempunyai kefahaman jelas dan bersumberkan ilmu yang benar. Hal ini kerana ilmu dan maklumat berkaitan halal haram perlu bersumberkan yang tepat agar tidak disalaherti dan ditunggangi oleh pihak yang berkepentingan.
Oleh itu, langkah sewajarnya yang perlu diketengahkan ialah memperkasakan pendidikan halal di semua lapisan masyarakat. Mentaliti masyarakat pengguna perlu dibentuk dengan konsep halal dan tayyib secara holistik. Langkah ini bukan hanya tertakluk kepada pengguna Muslim malah pengguna bukan Muslim juga perlu menyedari peranan mereka dalam aspek kepenggunaan khususnya sensitiviti masyarakat Islam. Selain memberi maklumat yang tepat kepada pengguna, melalui pendidikan kepenggunaan halal, masyarakat lebih peka untuk membezakan maklumat yang benar atau palsu serta tahu untuk mencari saluran yang betul dalam meverifikasikan data yang diperoleh.
Gejala penularan maklumat halal palsu ini perlu ditangani secara berhemah. Dalam unit terkecil iaitu keluarga, ibu bapa memainkan peranan utama untuk menyuburkan kesedaran halal dalam kalangan anak-anak serta bijak mengendali dan menapis segala maklumat dalam media sosial. Golongan pendidik atau guru juga mampu menjadi sumber maklumat halal yang tepat dan disebarkan kepada masyarakat. Begitu juga dengan peranan individu yang perlu dimainkan agar tidak mencipta dan menularkan perkara tidak benar yang boleh menimbulkan kontroversi seperti isu perkauman. Status kesahihan apa jua maklumat perlu disemak sebelum dikongsi dan ditularkan kepada pihak seterusnya.
Secara asasnya, pembangunan teknologi komunikasi dan maklumat perlu dimanfaatkan oleh masyarakat pengguna ke arah kebaikan. Untuk itu, teknologi yang dijadikan wadah penyebaran tersebut perlu diguna secara beretika dan berhemah. Tindakan menularkan maklumat halal palsu tanpa melaksanakan tabayyun terlebih dahulu akan memberi impak yang besar bukan setakat masyarakat pengguna, malah pihak berkuasa agama, pengusaha dan industri halal secara keseluruhannya.
Maklumat berbentuk sama ada fakta atau auta terletak di tangan pengguna untuk diselidiki sebelum ditularkan. Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama dan berganding bahu dalam menangani punca penularan maklumat halal palsu daripada terus berleluasa bagi menjamin kelangsungan industri halal yang lebih pesat dan keharmonian masyarakat pengguna khususnya umat Islam.