MENYEDARI akan segala gejala penyelewengan dan salah laku yang berlaku di dalam masyarakat kita, termasuk pembongkaran yang dilakukan oleh pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) baru-baru ini tentang lesen terbang yang dikeluarkan tanpa ujian kerana pemohonnya sanggup membayar sejumlah wang kepada beberapa pihak yang tertentu, di antaranya kepada orang-orang yang diamanahkan untuk pengeluaran lesen ini oleh pemerintah, maka kita akan merasa amat sedih dan kehairanan.
Sedih kerana bagaimanakah hal ini boleh berlaku di dalam masyarakat kita yang mewarisi tradisi kejujuran dan amanah dari masa silam lagi.
Kita merasa hairan kenapakah hal ini berlaku di dalam masyarakat kita yang dipupuk di atas dasar pembinaan kerohanian dan nilai-nilai akhlak serta tatasusila yang berasaskan etika dan moral yang baik.
Masyarakat yang dibinakan di atas prinsip-prinsip agama, moral dan etika tidak seharusnya melahirkan terlalu banyak orang yang bersifat kebendaan melampau, tamak haloba dan sanggup mengorbankan harga diri dan amanah kepada Allah s.w.t semata-mata kerana mendapatkan keuntungan kebendaan dan wang.
Perkhidmatan awam di negara kita cukup terkenal sebagai sebuah perkhidmatan yang cekap, berkesan dan berkebolehan tinggi. Prestasinya tidak boleh dipersoalkan lagi, kerana perkhidmatannya sering digambarkan dan lahir dalam kenyataan sebagai perkhidmatan yang cukup baik dan berkesan.
Perkhidmatan awam negara kita juga sering menonjol sebagai satu jentera yang dianggotai oleh orang-orang yang berpengalaman dan mempunyai visi serta pandangan yang jauh.
Ia terbuka dan kadang-kadang kritikal terhadap sesuatu dasar yang tertentu yang dirasakannya bertentangan dengan nilai-nilai etika, moral dan akhlak yang baik.
Ramai di antara pegawai dan kakitangan awam yang secara langsung atau tidak langsung, secara terbuka atau sembunyi menentang kerajaan dan amat kritikal terhadap kepimpinan negara, terutamanya ketika berlaku kegawatan politik sejak setahun dua pada akhir-akhir ini.
Terdapat di kalangan mereka yang secara lantang mengecam dasar Kerajaan dalam bidang-bidang yang tertentu yang dianggapnya bercanggah dengan nilai-nilai moral dan akhlak serta agama.
Mereka memang berhak untuk melahirkan perasaan dan pandangan mereka secara sihat dan jujur, malahan mereka sepatutnya diberikan kesempatan untuk melahirkan fikiran dan pandangan masing-masing sekiranya mereka sememangnya mempunyai alasan dan sebab yang kuat untuk bertindak, terutamanya untuk mempertikaikan sesuatu keputusan dan dasar negara.
Bagaimanapun gejala yang tidak sihat yang berlaku di kalangan mereka ialah gejala fanatik politik kepartian sempit yang sering mempengaruhi pemikiran dan sikap mereka sehingga sanggup mengambil tindakan memburuk-burukkan kerajaan yang mereka sendiri berkewajipan mempertahannya.
Amanah mereka ialah untuk mentadbir negara dengan baik berasaskan perkhidmatan yang cekap, jujur dan ikhlas, serta menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh ilmu, dedikasi dan amanah.
Oleh itu pembongkaran pihak BPR tentang gejala penyalahgunaan kuasa dan sifat haloba segelintir anggota perkhidmatan awam yang melibatkan rasuah yang amat menjijikkan itu memanglah memberi kejutan kepada kita semua tentang pupusnya sifat amanah dan tanggungjawab mereka kepada negara dan lebih besar dari itu ialah dosa mereka kepada Tuhan dengan mengabaikan amanah yang seharusnya mereka jalankan dengan
penuh kejujuran.
Saya fikir keseluruhan anggota perkhidmatan awam yang jujur dan ikhlas serta beramanah akan mengutuk sikap dan perbuatan rakan-rakan mereka yang gelojoh dan tidak mempunyai harga diri itu. Saya menyebut begini kerana nampaknya anggota perkhidmatan awam amat prihatin tentang masalah moral dan akhlak di negara kita ini, maka penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku di kalangan mereka yang bersalah dan yang telah terlanjur itu adalah termasuk ke dalam penyelewengan moral dan akhlak dan telah melanggar adab dan nilai perkhidmatan awam itu sendiri.
Memang tidak dinafikan bahawa keterlanjuran itu hanya berlaku di kalangan segelintir masyarakat pegawai atau kakitangan perkhidmatan awam. Tetapi tahukah kita bahawa terdapat kalangan lain yang lebih meluas lagi yang berkemungkinan berlaku penyelewengan begini dan masih tersembunyi tanpa dikesan oleh BPR?
Tahukah kita apakah yang berlaku di dalam jabatan dan agensi-agensi lain yang sama kritikalnya dengan jabatan yang terdedah penyalahgunaan kuasanya sekarang ini?
Namun sebarang apa yang diperkatakanpun, pepatah kita telahpun merumuskan risiko dan kemerosotan imej bagi sesuatu kumpulan disebabkan oleh perbuatan segelintir dari mereka, iaitu dengan kata-kata rosak susu sebelanga kerana nila setitik dan seekor kerbau membawa lumpur semuanya habis terpalit.
Maka hal ini tidak dapat dinafikan kesan negatif dan imej buruk yang telah dipaparkan kepada perkhidmatan awam disebabkan perbuatan tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh orang yang tamak dan gila wang.
Akibat dari keadaan ini, dan gambaran yang luas yang kita dapati di dalam masyarakat kita berkaitan dengan rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa, penipuan dalam perniagaan dan seribu satu macam gejala negatif yang berlaku akibat dari hilangnya kehormatan diri dan maruah manusia, maka kita mungkin bertanya di manakah silapnya masyarakat kita sekarang dan di manakah salahnya umat kita sekarang ini sehingga segala-galanya kelihatan menuju kepada kehancuran dan kebinasaan.
Bagi saya satu perkara yang rasanya perlu dipupuk dan dimantapkan di dalam masyarakat, bagi golongan muda dan tua, individu atau kumpulan yang tertentu, ialah mendidik manusia supaya beramanah dan menghayati sifat itu dengan bersungguh-sungguh sebagai satu kewajipan bukan hanya kepada sesama manusia dan pemerintah, malah sebagai satu kewajipan kepada Tuhan.
Para penganut agama Islam tentulah faham apakah makna amanah dan bagaimanakah melaksanakannya kerana seperti yang diketahui bahawa sifat ini adalah salah satu sifat Nabi Muhammad s.a.w. dan baginda sentiasa menunjukkan contoh dalam menghayati sifat ini sepanjang hayatnya.
Amanah juga mengajar manusia menjadi seorang yang seimbang, iaitu di samping melihat dan mengkritik orang lain, maka diri sendiri haruslah dicerminkan dengan baik untuk melihat dan memperbaiki kesalahan sendiri. Dengan itu maka masyarakat akan sejahtera, dan sekurang-kurangnya anggota perkhidmatan awam akan menjadi satu jentera yang beramanah, mempunyai kredibilitinya sendiri.