Dalam kita melihat pertelagahan Sunni-Syiah di Timur Tengah, ada tiga perkara yang wajar untuk kita beri perhatian, iaitu, pertama: kedua-dua golongan ini masih sama-sama bersependapat mengenai penerimaan al-Quran sebagai kalam Allah serta masih sependapat dengan prinsip-prinsip asas tauhid, kedua: fahaman Syiah diasaskan atas dimensi tertentu dan juga atas fitrah kerasulan (dalam erti kata tempat Baginda SAW dari segi siasahnya harus diganti oleh satu barisan Imam dan ketiga: polemik Sunni-Syiah sebenarnya boleh diketepikan sekiranya perbincangan dari hati ke hati dilakukan oleh pemimpin-pemimpin setiap golongan ini. Dan perbincangan ini akan melangkaui perbezaan-perbezaan yang dimiliki (Al-Tabataba’i, Shi’ite Islam, London: George Allen & Unwin Ltd, 1975).
Lima prinsip bagi agama Islam menurut fahaman Syiah termasuklah beriman tentang keesaan Tuhan, kenabian (nubuwwah), beriman kepada hari kebangkitan, imamah dan keadilan perbuatan Tuhan. Daripada lima prinsip yang dinyatakan ini, tiga prinsip yang pertama sama-sama dipersetujui oleh kedua-duanya, Sunni dan Syiah.
Hanya dua perkara kemudian terdapat percanggahan pendapat yang nyata di antara dua golongan ini. Mengenai keadilan perbuatan Tuhan, golongan Syiah melalui fahaman al-Asy’ariyah menyatakan bahawa Tuhan tidak akan berlaku tidak adil. Sebenarnya golongan Sunni pun mengambil makna bahawa Allah SWT itu merupakan Tuhan Yang Maha Adil. Walau bagaimanapun, kedua-dua golongan ini mempunyai fahaman tersendiri terhadap iradah Allah SWT. Konsep imamah yang diterima pakai oleh golongan ini bermula sejak kewafatan Baginda Rasulullah SAW. Golongan Sunah berpegang kepada konsep khilafah dalam menggantikan peranan Rasulullah sebagai pemimpin manakala golongan Syiah pula melihat kepimpinan itu jatuh kepada Sayidina Ali dan ahlu al-bait.
Daripada lima perkara yang dinyatakan di atas menunjukkan bahawa sebenarnya masih terdapat ruang bagi kedua-dua golongan ini untuk menjalinkan satu bentuk persefahaman. Apa yang berlaku pada hari ini adalah taasub terhadap fahaman masing-masing sama ada Sunni mahupun Syiah yang menyebabkan perbalahan yang memusnahkan antara satu sama lain. Penulis berpendapat adalah tidak adil sekiranya kesepakatan tiga perkara daripada lima perkara yang menjadi asas kepada fahaman Syiah tidak diberi perhatian yang saksama dan hanya memberatkan soal imamah atau khilafah yang lebih bersifat siasah, sedangkan beriman dengan keesaan Tuhan, Rasul sebagai penyampai risalah dan beriman dengan hari kebangkitan merupakan sebahagian daripada teras kepada keislaman seseorang. Disebabkan sikap yang taasub, kita memilih untuk membesarkan perkara sekunder.
Hatta, pencerobohan yang dilakukan oleh tentera Amerika Syarikat dan juga sekutunya terhadap Iraq juga masih tidak dapat mengetuk pintu hati kepada warga Iraq sama ada Sunah mahupun Syiah untuk bersatu-padu membela tanah air mereka. Sangat pelik untuk difikirkan tentang mayat-mayat yang ditemui dengan kesan tembakan penuh di badan, bukanlah semata-mata disebabkan kesan peperangan di antara tentera penceroboh dengan rakyat tempatan, malahan juga disebabkan perang saudara sesama mereka.
Ikatan persaudaraan seakan-akan tidak ada di dalam jiwa mereka kerana lebih memikirkan bagaimana hendak menewaskan musuh tradisi di bumi Iraq berbanding perosak sebenar tanah air tercinta.
Disebabkan tafsiran yang berbeza terhadap dalil-dalil sama ada al-Quran mahupun Sunah seolah-olahnya sudah tidak ada ruang untuk menjernihkan kemelut yang berlaku ataupun untuk mencari titik temu, dan titik temu ini dapat dijadikan titik permulaan untuk membina semula peradaban manusia di atas kehancuran fizikal dan kemanusiaan yang telah berlaku.
Bagi golongan Sunni, mungkin kita boleh meneliti kata-kata Sheikh ‘Atiyah Saqr, mantan Ketua Jawatankuasa Fatwa al-Azhar yang menyebut, �Setiap kali kita menggunakan perkataan “Syiah”, kita merujuk kepada sekumpulan manusia yang menjadi pengikut Sayidina Ali bin Abu Talib r.a. dan mereka menunjukkan kesetiaan yang penuh terhadap ahlu al-bait. Dan kesetiaan tersebut sepatutnya ditunjukkan oleh seluruh umat Islam dan ia selaras dengan ayat al-Quran Surah al-Ahzaab, ayat 33.
Sehubungan perkara ini juga, pengalaman yang sama-sama dilihat oleh semua umat Islam iaitu pemerintahan umat Islam yang diterajui oleh Khulafa’ al-Rasyidun, yang terdiri daripada Sayidina Abu Bakar al-Siddiq, Sayidina Umar al-Khattab, Sayidina Uthman bin Affan dan Sayidina Ali ibn Abi Talib, telah pun membuktikan bahawa pendekatan yang digunakan oleh golongan Sunni berjaya berfungsi dalam mempertahankan kesucian agama, memelihara kemaslahatan umat Islam malah memperkembangkan pengaruh Islam dengan lebih luas ke serata dunia. Di sini kita juga melihat bahawa golongan Sunni tidak menafikan kebenaran ahlu al-bait sekiranya beliau memang benar-benar layak untuk melaksanakan tugas-tugas kepimpinan.