Bulan Mei 2006 ini menyaksikan pelbagai sambutan hari istimewa dalam negara. Hari Pekerja mendahului sambutan hari-hari istimewa itu. Berkaitan dengan sambutan Hari Pekerja itu, elok juga kita hayati amanat yang telah disampaikan di Perhimpunan Hari Pekerja 2006 pada 13 Mei yang lepas. Dalam perhimpunan ini semua pekerja diminta untuk �menjenamakan semula diri bagi melahirkan contoh insan bertaraf dunia�. Kenyataan ini menimbulkan satu persoalan penting iaitu adakah saranan ini satu tanda bahawa pekerja-pekerja di Malaysia kurang baik?
Setakat ini belum ada kajian yang membandingkan taraf pekerja dalam negara-negara yang berbeza. Oleh itu, agak sukar untuk menyatakan bahawa pekerja di negara A lebih baik atau tidak berbanding negara B. Walau bagaimanapun, setiap majikan mempunyai garis panduan pekerja baik yang mereka mahukan. Secara amnya, pekerja yang baik mempunyai segala sikap jujur yang dapat membantu pembangunan organisasi itu misalnya amanah, bijak, berketrampilan, bekerjasama, memandang ke hadapan, berdisiplin dan sebagainya.
Garis panduan pekerja baik ini begitu sempurna. Kesempurnaan ini boleh dibentuk di kalangan pekerja di Malaysia. Namun, perlulah diingat bahawa kesempurnaan juga membawa maksud yang berbeza-beza mengikut individu. Apa yang pasti, jika seorang pekerja bekerja bersungguh-sungguh dengan niat yang baik dan telus, maka pekerja ini akan ‘mencipta’ dirinya sebagai seorang pekerja yang diingini oleh mana-mana organisasi, baik dalam mahupun luar negara.
Niat dalam pekerjaan mempunyai pengaruh yang besar dalam pembentukan pekerja berjenama antarabangsa. Jika ditanya, apakah niat bekerja bagi anda, maka apakah jawapannya? Mungkin ada yang menjawab, bekerja untuk membalas jasa ibu bapa atau untuk kesenangan anak-anak. Malahan, mungkin juga ada yang bekerja untuk mengumpul kesenangan dengan gaji yang besar atau kedudukan yang tinggi dalam organisasi.
Berkaitan dengan niat ini, seorang Muslim sepatutnya mempunyai peluang yang lebih dalam menjenamakan dirinya sebagai pekerja yang baik. Bagi seorang Muslim kerja adalah satu bentuk ibadah. Ini bermaksud seorang Muslim itu bekerja untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. Niat inilah yang sepatutnya menjadi matlamat sebenar seorang Muslim dalam pekerjaan yang dilakukannya. Ini akan membentuk seorang Muslim yang bekerja bersungguh-sungguh. Kesungguhan ini bukan sahaja memberi faedah kepada peningkatan kebaikan diri Muslim itu tetapi juga berguna kepada organisasi, masyarakat dan seterusnya negara.
Niat yang baik ini seterusnya perlu disusuli dengan usaha yang gigih. Usaha ini hendaklah dalam bentuk yang dihalalkan oleh Islam. Dalam Islam niat tidak pernah menghalalkan cara. Ini bermakna niat bekerja untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t. perlu disertai dengan cara bekerja yang tidak melanggar batas-batas agama Islam. Oleh itu, kesalahan-kesalahan seperti datang lewat ke pejabat, membuang masa, tidak menyiapkan kerja pada masa yang ditetapkan, permusuhan majikan-pekerja dan sebagainya perlulah dielakkan.
Berdasarkan penerangan di atas, jika pekerja Muslim benar-benar mengikut cara bekerja yang ditentukan oleh Islam, maka persoalan penjenamaan semula bukanlah satu perkara yang besar. Namun, perlu kita akui bahawa kesempurnaan yang kita inginkan itu tidak selalunya berlaku. Jika tidak masakan Timbalan Perdana Menteri menyuarakan cadangan untuk penjenamaan semula pekerja. Hal ini pastinya bertitik tolak daripada kewujudan masalah kebaikan dalam diri pekerja di Malaysia kini.
Dalam meningkatkan kebaikan pekerja Malaysia, kerap kali mereka digalakkan mencontohi pekerja daripada negara Jepun. Pekerja Jepun dijadikan sebagai satu piawaian pekerja yang baik kerana mereka mempunyai budaya kerja yang terpuji. Hal ini tidak dapat disangkal lagi. Walau bagaimanapun, sejauhmanakah pekerja Malaysia mampu mencontohinya? Sebenarnya, ramai yang tidak yakin kita mampu mencontohi pekerja negara Matahari Terbit itu.
Dari satu segi, tidak dapat dinafikan bahawa budaya kerja masyarakat Jepun telah berjaya meletakkan pekerjanya pada satu tahap yang tinggi. Mereka kuat bekerja, sangat patuh kepada ketua, menepati masa dan sedia melakukan kerja yang bukan dalam senarai tugasnya. Tidak dapat dipastikan bagaimana budaya kuat bekerja ini bermula. Namun dipercayai bahawa kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua telah menjadikan masyarakatnya berusaha keras untuk membangunkan semula negara itu. Semangat yang ditunjukkan ini akhirnya menjadikan Jepun sebuah negara maju dan bekerja dengan bersungguh-sungguh menjadi satu kebiasaan bagi masyarakatnya.
Semangat kerja sebeginilah yang kita inginkan. Namun, perlu diingat bahawa semangat kerja yang tidak ditunjangi oleh asas akidah yang kukuh akan menunjukkan kepincangan tertentu. Misalnya, ketaksuban terhadap bekerja dalam masyarakat Jepun telah memberi kesan kepada hubungan kekeluargaan dan masyarakat. Jadi, seorang pekerja Jepun mungkin menang dari segi pekerjaannya, tetapi tewas dari segi kemanusiaan seperti hubungan kekeluargaan. Adakah ini yang kita mahukan? Pasti jawapannya tidak. Jika kita bekerja dengan asas agama yang kukuh maka kita akan berusaha memastikan kerja itu berjalan lancar dan dalam masa yang sama hubungan kekeluargaan tidak diabaikan. Oleh itu, keseimbangan merupakan kata kuncinya di sini dan kejayaan menyeimbangkan dua unsur penting dalam hidup manusia ini sebenarnya terletak pada bagaimana individu itu berusaha mencapainya..