Tidak dapat dinafikan bahawa sistem perundangan Islam di Malaysia sentiasa mengalami perubahan, perkembangan dan pembaharuan dari semasa ke semasa. Pembaharuan yang dilaksanakan adalah bertujuan untuk memastikan mekanisme sistem perundangan Islam sentiasa mampu melaksanakan fungsinya bagi mengurus permasalahan umat Islam yang berubah bentuknya menurut perubahan semasa. Selain ia berperanan untuk menjaga kemaslahatan serta kebajikan umat Islam. Dan yang paling penting sekali tentulah bagi memastikan kedaulatan agama Islam di Malaysia sentiasa dapat dipelihara.
Walau bagaimanapun, bentuk-bentuk pelaksanaan pembaharuan yang dahulunya lebih dikenali sebagai Islamisasi ataupun harmonisasi sudah tidak dapat mengejar dan menanggapi persoalan atau permasalahan agama serta umat Islam yang semakin canggih dan kompleks sifatnya. Bukan menidakkan sumbangan idea dan perintis sebelum ini, tetapi pembaharuan terhadap format dan pendekatan tersebut sudah sewajarnya bermula. Permasalahan pada era milenium memerlukan jentera penyelesaian yang bertenaga, cekap, cepat dan mudah kerana semasa ia sedang menyelesaikan masalah yang dihadapi, pada masa yang sama, masalah-masalah baharu akan muncul. Ini sudah tentu menjadi cabaran kepada keupayaan dan kredibiliti mekanisme yang sedia ada.
Sebarang tanggapan atau persepsi negatif masyarakat sama ada dari kalangan Muslim juga bukan Islam terhadap agama Islam dan juga terhadap institusi-institusi Islam di Malaysia yang menterjemah agama Islam melalui fungsi-fungsi mereka juga sebenarnya cabaran serius bagi membuktikan Islam adalah agama yang perlu dijadikan rujukan agung dan teras utama dalam apa-apa juga aspek kehidupan dan hidup bernegara. Malah menjadi cabaran besar untuk membuktikan kedaulatan negara sebenarnya bergantung pada sejauh mana Malaysia mengamalkan agama Islam secara syumul.
Melihat kepada senario dan cabaran semasa yang dihadapi ini, maka menjadi keperluan kepada Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaannya untuk melakukan transformasi sebagai lonjakan jauh yang lebih agresif dan dinamik. Daripada bentuk yang sedia ada kepada bentuk yang baharu dan lebih sofistikated.
Transformasi sistem perundangan Islam di Malaysia akan bermula dengan pemerkasaan peranan Yang Dipertuan Agong (YDPA), Sultan atau Raja sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing. Dalam sumpah YDPA menurut Jadual Keempat Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa, “…Dan kami lagi berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri”.
Sumpah tersebut memberi implikasi bahawa, semua pihak yang terlibat dalam pemerintahan dan pentadbiran negara merangkumi bidang eksekutif, kehakiman dan perundangan adalah bertanggungjawab untuk menjadikan sumpah YDPA untuk memelihara agama Islam dan kedaulatan undang-undang, sebagai misi utama undang-undang. Begitu juga kedudukannya di peringkat negeri bahawa Majlis Agama Islam ditubuhkan di negeri-negeri adalah bagi menasihati Sultan dalam menjalankan segala fungsi baginda sebagai Ketua Agama Islam negeri.
Jentera penggerak kepada sistem perundangan Islam di Malaysia atau agensi sokongan masih institusi-institusi Islam yang sama, tetapi bagi tujuan transformasi ini, ia perlu melalui proses pemerkasaan supaya penjenamaan semula terhadap agensi-agensi yang terlibat ini menggambarkan perubahan fizikal yang lebih bertenaga dan cekap dalam mendepani atau mengurus permasalahan semasa umat Islam di Malaysia. Juga pembaharuan yang lebih insaniah sifatnya dengan mempertingkatkan nilai-nilai seperti kreativiti dan empati supaya masyarakat Islam benar-benar dapat merasakan keperluan suara hati mereka bersambut dan dipenuhi.
Pemerkasaan terhadap agensi-agensi Islam yang terlibat antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Majlis-majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Jabatan Peguam Negara (Seksyen Syariah), Jabatan Bantuan Guaman (JBG), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan sebagainya akan berlaku secara serentak dan saling bekerjasama supaya kekuatan terhadap komponen-komponen kepada sistem perundangan Islam di Malaysia akan berlaku secara sempurna dan menyeluruh. Kita tidak mahu ketempangan atau kepincangan berlaku kerana ia tidak akan memungkinkan kapasiti yang mencukupi untuk membuat lonjakan yang jauh.
Pemerkasaan dan proses transformasi tidak akan hanya berlaku terhadap agensi-agensi sebagai jentera yang menggerakkan sistem, tetapi ia juga disambut dan disokong oleh badan-badan bebas dan bukan kerajaan seperti Persatuan Pegawai-pegawai Syariah Malaysia (PPSM), Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), yang antara peranannya sebagai jambatan penghubung di antara kerajaan atau pemerintah dengan masyarakat awam yang menjadi pelanggan dan pihak yang menerima perkhidmatan atau subjek kepada perundangan Islam di Malaysia.
Proses transformasi merupakan proses yang berkesinambungan. Maka golongan pelapis yang akan menyambut legasi ini perlu mempunyai kemampuan dan kredibiliti yang cukup. Oleh yang demikian institusi pendidikan yang melahirkan graduan yang akan menjadi sebahagian daripada penggerak sistem perundangan ini perlu menyambut gelombang transformasi ini dengan penyediaan ilmu-ilmu perundangan, Syariah juga ilmu-ilmu yang relevan.
Persepsi atau tanggapan masyarakat terhadap institusi Islam yang ada mungkin memperlihatkan keberkesanan penyampaian yang dilakukan oleh agensi-agensi terbabit. Tetapi, ia juga barangkali turut menggambarkan sejauh mana kepekaan dan inisiatif masyarakat terhadap fungsi setiap agensi dan perubahan yang berlaku pada agensi berkenaan. Proses transformasi bukan sahaja memerlukan post mortem atau muhasabah diri, tetapi juga teguran yang bernas dan membina daripada masyarakat umum. Jika masyarakat tidak mengenali satu-satu agensi dengan baik, juga tidak memahami peranan yang dilaksanakan mana mungkin akan menerbitkan perkongsian idea yang membina.
Setiap teguran yang disampaikan, harus diterima dengan penuh lapang dada dan kesyukuran. Bukannya melatah serta menganggap teguran daripada pihak awam itu remeh dan tidak ada nilai. Orang awam yang tidak mempunyai pendidikan dan tidak memiliki latar belakang pendidikan Syariah atau undang-undang, hanya mampu menggunakan bahasa awam yang mudah. Mereka mungkin dapat mengesan perkara-perkara yang tidak kena, tetapi tidak mempunyai ilmu untuk memilih perkataan-perkataan serta istilah perundangan atau Syariah secara tepat. Dalam hal ini, kreativiti diperlukan untuk menterjemah teguran agar permasalahan sebenar dapat ditemui, diambil perhatian dan seterusnya tindakan perlu dapat dilaksanakan.
Kita perlu menginsafi bahawa transformasi ini merupakan perjuangan bersama umat Islam. Dengan YDPA sebagai Ketua Turus, serta para Sultan dan Raja negeri melengkapi barisan hadapan, manakala agensi-agensi Islam sebagai hulu balang juga perajurit, dan diiringi doa rakyat jelata, kita bersama-sama memperlengkapkan diri dan bergabung kekuatan bagi memperkukuhkan setiap potensi. Dengan identiti yang baharu, kita sama-sama membuat lonjakan jauh menuju destinasi agung; menjulang Islam sebagai agama negara. Agama yang bukan sahaja dimiliki oleh setiap rakyat beragama Islam, tetapi agama yang mampu melindungi dan menjaga kemaslahatan serta kebajikan semua rakyat jelata dan setiap orang yang mendiami negara ini.
Semoga Konvensyen Pemacuan Transformasi Sistem Perundangan Islam yang bakal diadakan pada 18 Mac 2011 di IKIM nanti mampu menjadi momentum yang amat bertenaga kepada proses ini.