Agak mengejutkan apabila Jabatan Insolvensi Malaysia melaporkan seramai 1,086 penjawat awam diisyhtiharkan bankrap pada tahun 2009. Mengapa perkara ini berlaku? Apakah disebabkan pendapatan bulanan yang diterima tidak mampu untuk memenuhi keperluan hidup mereka? Atau apakah ini disebabkan oleh sikap individu yang tidak cukup dengan apa yang dimiliki hingga sanggup membuat pinjaman di sana sini sekadar untuk memenuhi kepuasan hidup? Pendedahan yang mengejutkan ini pastinya memberi imej yang buruk kepada 1.2 juta penjawat awam negara ini.
Namun, kita tidak boleh menunding jari kepada penjawat awam semata-mata dalam soal berhutang, tetapi isu ini sudah menjadi budaya dan gaya hidup masyarakat Islam hari ini yang kian meruncing. Sikap suka berhutang dalam kalangan masyarakat Islam semakin menjadi-jadi. Bukan sahaja institusi kewangan yang menjadi sasaran untuk berhutang malah ada segelintirnya tanpa segan silu sanggup berhutang dengan adik beradik, jiran tetangga, rakan sekerja dan ada juga yang sanggup berhutang dengan majikan kerana hendak memenuhi kepuasan hidup atau sekadar suka-suka.
Persoalannya mengapa mesti berhutang? Antara faktor penyebab seseorang itu terjebak dalam hutang ialah disebabkan oleh sikap dan keinginan untuk memenuhi kehendak dan hawa nafsu. Mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk memiliki sesuatu yang tidak mampu ditunaikan kecuali dengan berhutang. Sikap tidak merasa puas dan cukup dengan apa yang dimiliki dan demi memenuhi kehendak, mereka sanggup berhutang untuk mendapatkan sesuatu benda material atau kebendaan dengan cepat dan pantas walaupun pada hakikatnya ia tidak mampu berbuat demikian. Di sini sebenarnya perlu dilihat jika perkara yang ingin dimiliki itu bukan merupakan perkara asasi atau keperluan dalam kehidupan maka tidak perlulah ia berhutang, kerana hanya akan menambahkan bebanan lebih-lebih lagi jika melibatkan institusi kewangan dan perbankan yang mengamalkan sistem riba’.
Selain sikap, keistimewaan kemudahan pinjaman yang mudah disediakan oleh institusi kewangan dan perbankan turut menggalakkan individu ini terus berhutang. Cuba kita lihat syarat-sayarat untuk membuat pinjaman peribadi atau sinonim dengan panggilan ‘personnel loan’ di institusi-institusi kewangan. Sesetengah institusi kewangan hanya mensyaratkan satu hingga tiga bulan slip gaji tanpa perlu penjamin untuk permohonan mereka diproses. Malah tidak sampai seminggu proses kelulusan sudah boleh dapat. Begitu cepat sekali.
Apabila melihat kepada kelonggaran pinjaman yang ditawarkan ini sebenarnya ia turut sama mendorong mereka untuk membuat pinjaman walaupun perkara yang diingini itu bukan suatu yang mendesak tetapi cuma ingin mencuba atau sekadar suka-suka. Gara-gara berhutang boleh menyebabkan bebanan kewangan semakin bertambah ini termasuk faedah yang dikenakan hampir dua atau tiga kali ganda jumlah hutang. Akibat tidak tertanggung dek hutang yang makin tinggi dan sukar membayar semula hutang terbabit ia membawa pelbagai musibah seperti muflis atau bankrap.
Penyakit suka berhutang ini jika diamalkan akan mendatangkan kesan buruk kepada mereka seperti muflis disebabkan bebanan hutang yang tinggi dan gagal melunaskannya. Begitu juga dengan jiwa orang yang berhutang tidak akan tenteram dan aman. Perasaan rasa resah gelisah mula menghantui oleh bebanan dan tuntutan hutang yang tinggi. Berkemungkinan juga mereka sanggup untuk melakukan pelbagai perkara yang dilarang oleh syarak seperti mencuri, merompak, merasuah dan sebagainya.
Turut sama dirasai akibat hutang ini adalah berlakunya tekanan emosi, kehilangan semangat untuk bekerja, menjejaskan prestasi kerja, kecelaruan fikiran, kehidupan keluarga yang tidak bahagia, dan tidak diampuni dosanya oleh Allah SWT. Ini selari dengan hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang menegaskan: “Sesungguhnya Allah SWT mengampunkan segala dosa orang yang mati syahid (di jalan Allah) kecuali (dosa yang melibatkan) hutang piutangnya”. Hadis ini menegaskan kepada umat Islam kepentingan membayar semula hutang dan perkara tersebut tidak boleh dipandang ringan.
Begitu juga hubungan mesra sesama adik beradik, jiran, rakan sekerja dan majikan turut menjadi renggang malah ada yang tidak bercakap antara satu sama lain akibat hutang yang belum dijelaskan mengikut tempoh perjanjiannya. Bagi menjamin hubungan mesra dan berbaik semula sesama mereka, adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawab si penghutang untuk membayar semula apabila sampai tempoh perjanjiannya. Jangan sekali-kali menangguhkan pembayaran hutang tersebut apabila mempunyai peluang untuk membayarnya kerana perbuatan tersebut digolongkan dalam perbuatan zalim dan dia berhak mendapat hukuman di atas perbuatannya itu.
Justeru, dalam mengelak amalan berhutang ini saya syorkan masyarakat perlu berbelanja secara berhemah bukan mengikut kehendak dan hawa nafsu semata-mata. Sikap berbelanja melebihi pendapatan perlu dielakkan agar gaji bulanan yang diterima dapat diagihkan dalam simpanan dan dibelanjakan dengan betul dan sempurna. Begitu juga kepada pihak yang memberi hutang terutama institusi-institusi kewangan perlulah mengetatkan lagi kemudahan pinjaman terutama kemudahan pinjaman peribadi. Hal ini kerana syarat yang longgar akan menggalakkan masyarakat untuk terus berhutang.
Selain itu, sebagai umat Islam kita juga berperanan untuk tahu akan pendirian Islam terhadap hutang, keadaan-keadaan yang dibenarkan berhutang, dan kewajipan dalam membayar hutang. Agama Islam mengharuskan seseorang itu berhutang khususnya dalam keadaan darurat atau ketika benar-benar terdesak, tetapi bukan untuk perkara tambahan dalam kehidupan seharian.
Sebagai kesimpulan, ditegaskan sekali lagi, apabila seseorang berhasrat untuk berhutang maka hendaklah ia berniat dalam hatinya untuk melangsaikan hutang tersebut mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Kegagalan melunaskan hutang tersebut mengikut tempoh yang diberikan boleh dikategorikan mereka yang tidak amanah dan boleh tergolong dalam golongan munafik. Islam bukan saja mewajibkan umatnya membayar hutang, malah menjanjikan bahawa kalau berhutang dengan niat untuk membayar, Allah SWT akan memudahkan rezeki orang itu agar dia dapat membayar hutangnya. Perkara ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud: “Sesiapa yang berhutang dengan niat untuk membayar balik, Allah akan mempermudahkanya. Tetapi, jika sesiapa berhutang dengan niat menyeleweng, Allah akan musnahkan harta bendanya”.