Umat Islam ialah umat yang berjiwa besar dan tidak pernah putus harapan. Umat Islam terdiri daripada diri-diri insan yang sentiasa mengambil berat tentang keadaan dan kesejahteraan saudara seagamanya. Hal ini juga bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Tawbah ayat 71, “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain…” Makna dan mesej yang sama dapat kita renungi daripada sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barang siapa yang tidak mengambil berat akan urusan umat Islam, maka mereka bukan sebahagian daripada kalangannya.” (Riwayat al-Tabarani dan al-Hakim).
Hari ini tatkala menyaksikan nasib saudara Muslim kita di Palestin, hati kita merasa sedih dan kecewa sambil bertanya, apakah sumbangan yang telah kita berikan demi mengurangkan ketegangan dan penderitaan yang mereka hadapi. Persoalan demi persoalan timbul dalam fikiran, “Apa yang boleh kita sumbangkan untuk saudara kita di sana?”, “Adakah diri kita pada masa ini mampu melakukan perubahan?”, dan “Adakah cukup sekadar simpati, atau kita telah benar-benar menyumbang tenaga, harga dan doa bagi membela maruah umat?
Transformasi umat mestilah kembali kepada langkah pertama, iaitu bermula dengan muhasabah diri atau menyemak keadaan diri. Imam al-Muhasibi (w. 243H), seorang tokoh sufi dan ahli kalam terkemuka pada kurun ke-3 Hijrah, menekankan bahawa proses menilai diri atau muhasabah merupakan prasyarat sebelum melakukan perubahan lebih besar, sama ada pada peringkat keluarga, masyarakat, bangsa atau umat. Beliau mengumpamakan diri manusia seperti botol-botol dalam sebuah bekas besar—ada yang berisi bau harum, ada pula yang berisi bau tidak enak. Dengan membuka dan menelitinya, barulah kita mengetahui isinya. Demikianlah jiwa manusia yang perlu dihitung dengan teliti.
Langkah kedua ialah mengenal pasti kekurangan diri dan menentukan keutamaan yang perlu diberi perhatian. Bagaimanakah tahap keyakinan dan kesedaran kita terhadap hakikat Allah SWT? Bagaimanakah tahap kefahaman kita terhadap Islam? Dan bagaimanakah nilai ihsan serta kesungguhan kita dalam menghayati agama ini?
Dengan kesedaran diri, kita akan melangkah ke peringkat seterusnya, iaitu mencari petunjuk dan hikmah dalam menjalani perubahan. Pada tahap ini, kita perlu kembali kepada pihak berautoriti, iaitu mencari para ilmuwan benar yang mampu mengangkat umat secara kolektif dan bersatu menghadapi cabaran semasa. Firman Allah SWT, “Sesungguhnya yang paling takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya hanyalah para ulama.” (Surah Fatir: 28)
Sejarah membuktikan bahawa generasi Salahuddin al-Ayyubi—pahlawan yang berjaya membebaskan semula Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin setelah 90 tahun diduduki oleh Tentera Salib—tidak muncul secara tiba-tiba, tetapi hasil daripada usaha dan pembangunan umat yang dirintis oleh para ilmuwan sebelumnya seperti al-Ghazali, al-Jailani dan lain-lain. Proses kebangkitan itu hanya berlaku setelah umat melalui proses pembersihan jiwa, pendidikan berinstitusi, penghayatan agama yang menyeluruh yang akhirnya melahirkan pemimpin agung.
Dr. Majid Irsan Kaylani dalam Rahsia Kejayaan Generasi Salahuddin menegaskan bahawa umat Islam mesti belajar daripada sejarah dan tidak mengulangi kesilapan lalu. Sifat sejarah itu berulang dan mereka yang mengambil peluang dan pengajaran akan mengulangi kejayaan dan mengelak kesilapang kali kedua. Beliau mengingatkan bahawa kekuatan umat hanya dapat dibina atas dasar akidah yang sahih, pendidikan yang berterusan serta kesatuan di bawah pimpinan ulama dan umara yang ikhlas. Proses perubahan menuntut masa dan usaha kolektif, dan setiap individu perlu memainkan peranan dalam bidang masing-masing demi kebangkitan umat secara menyeluruh. Kata-kata Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas mengingatkan kita akan hakikat bahawa:
Sifat sejarah menurut orang,
Ibarat pentas bermain wayang,
Cerita lampau dihurai dalang,
Pabila tamat segera diulang.
Mempelajari sejarah dunia dan sejarah umat Islam dapat memperkukuh serta memperkuat makna diri umat Islam. Masalah Palestin berakar umbi dalam sejarah yang panjang, sedangkan sejarah kita masih berkisar dalam daerah kekampungan. Ingatlah bahawa sejarah Palestin bukan hanya berlaku di sana, tetapi turut berkait rapat dengan keadaan jiwa dan diri saudara seagama di seluruh dunia. Hanya dengan meneliti sejarah, kita mampu mengenali hakikat dan identiti diri serta memahami punca masalah utama yang melatari kehidupan umat Islam. Malah melalui sejarah jugalah, kita dapat melihat dan mencontohi barisan kepimpinan umat terdahulu yang telah mencapai puncak kegemilangan.
Di samping usaha gigih yang sedang dilakukan oleh pelbagai pihak untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin yang harus kita hargai, perencanaan jangka panjang juga perlu diusahakan. Perencanaan itu sebaiknya bermula dari dalam diri setiap individu Muslim.
Bermula dengan transformasi diri, itulah permulaan sebuah keadilan terhadap diri. Semoga ia dapat melahirkan umat Islam yang mampu mempertahankan diri dan agamanya dengan sebenar-benarnya. Dahulu, kita pernah tampil sebagai umat bertamadun yang menggegar dunia—dengan ilmu, akhlak dan kesatuan—maka tidak mustahil ia boleh lahir kembali.

