Pertelagahan yang berlaku di antara golongan-golongan Islam haruslah diselesaikan dengan baik. Cara untuk menyelesaikan pertelagahan secara baik adalah bergantung kepada sikap yang ikhlas dan jujur daripada kedua-dua belah pihak yang berkrisis.
Demikianlah halnya dengan perselisihan yang berlaku di antara Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan beberapa orang penulis negara kita yang sedang dibicarakan dengan panas sekarang ini. Konflik ini nampaknya disensasikan lagi oleh golongan-golongan yang pro dan kontra bagi kedua-dua belah pihak, dan amat ditakuti bahawa hal ini akan dibicarakan seterusnya berdasarkan kefahaman politik partisan yang akan mengusutkan lagi persoalan ini, dan akan terus dipolemikkan tanpa penyelesaian.
PUM berhak mengkritik dan menyatakan pendangan atau membantah tulisan-tulisan yang dihasilkan oleh sesiapa sahaja yang menyentuh dasar Islam dan jelas bercanggah dengan akidah, syariah atau akhlak Islam. Kritikan atau pandangan ini bebas ditujukan kepada sesiapa sahaja, termasuk golongan yang dipanggil ulama sendiri, yang kadang-kadang mungkin tersasul atau tersilap membuat tafsiran atau analisis tentang sesuatu isu di dalam masyarakat kita.
Kritikan dan teguran yang ditujukan kepada sesiapa pun adalah berdasarkan hasil tulisan atau pandangan yang dikeluarkan, sama ada dalam kenyataan-kenyataan umum, ceramah dan kuliah, hatta dalam khutbah di atas mimbar pada hari Jumaat dan lain-lain lagi.
Teguran atau bantahan yang hendak dilakukan itu mestilah ditujukan kepada isi kenyataan yang dikeluarkan. Satu analisis yang salah dan bertentangan dengan agama, atau satu pentafsiran tentang prinsip agama yang dirasakan silap, atau satu persepsi tentang sesuatu golongan tertentu yang dirasakan mengandungi prejudis, hendaklah dinyatakan dengan jelas, umpamanya ungkapan yang mana, kata-kata yang bagaimana yang menyentuh dan tersilap, istilah apakah yang tidak seharusnya dikeluarkan, atau kandungan tulisan dan ucapan manakah yang dirasakan telah mencabul kesucian agama, atau bertentangan dengan dasar Islam yang sebenarnya.
Cara menganalisis sesuatu kenyataan dan pengucapan orang ialah dengan melihat dan memahami apa yang ditulis atau diucapkan oleh orang itu tanpa melihat kepada siapakah orangnya yang mengucapkannya. Sikap prejudis dan pandangan secara stereotaip kepada golongan yang tertentu sering membawa persepsi yang salah pula tentang apa yang mereka bicarakan, walaupun apa yang dibicarakan mereka itu baik dan bermanfaat.
Saya merasakan bahawa kemelut inilah yang membawakan perselisihan dan konflik di antara PUM dan para sarjana, penulis-penulis yang dikritik oleh persatuan tersebut. Kedua-dua belah pihak mungkin mempunyai perasaan yang tidak harmoni di antara satu dengan lain.
Pihak ulama mungkin kerana sering membaca hujah-hujah para penulis tersebut yang terlalu liberal dan terlalu banyak menyalahkan para ulama secara umum, barangkali menyimpan rasa permusuhan dan kadang-kadang membawa dendam kepada golongan para penulis moden tersebut.
Para penulis tersebut pula, berdasarkan kajian dan analisis mereka sendiri, mungkin dapat melihat kelemahan-kelemahan tertentu pada pentafsiran-pentafsiran tentang Islam oleh para ulama, yang dianggap sebagai ulama tradisional yang sering mentafsir prinsip-prinsip Islam secara retorika dan simbolik semata-mata tanpa berpijak di bumi nyata dalam pembangunan dunia moden yang penuh cabaran ilmu dan teknologi pada hari ini.
Mereka mungkin juga merasakan bahawa dalam dunia yang penuh mencabar sekarang ini, Islam terlalu banyak dipolitikkan oleh golongan-golongan tertentu, termasuk para ulama politik, maka akibatnya Islam tidak lagi dapat berfungsi sebagai penyelesai masalah umat dan masalah manusia umumnya.
Berdasarkan hal ini mereka juga sering melabelkan para ulama dengan label jumud, kolot, tidak praktikal, memperalatkan agama dan sebagainya. Hukuman ini juga mereka jatuhkan kepada sesiapa sahaja yang termasuk dalam golongan ulama tradisional, iaitu yang berkelulusan agama sebagai pengkhususan disiplin ilmunya.
Berdasarkan andaian inilah saya rasa kedua-dua golongan ini telah mengambil sikap konfrontasi di antara satu dengan lain, dan masing-masing mempunyai persepsi yang negatif terhadap lawan mereka.
Persepsi inilah yang mewujudkan rasa prejudis di antara mereka, maka akibatnya berlakulah hukuman yang tidak adil ketika membuat penilaian terhadap pandangan pihak lawan, termasuk isi tulisan yang menjadi isu dan konflik sekarang ini.
Penyelesaian yang seharusnya dilakukan oleh kedua-dua belah pihak pada pandangan saya ialah dengan menganjurkan dialog dan permesyuaratan. Kedua-dua belah pihak haruslah bersedia untuk mendengar pandangan pihak yang lain dan membuka minda masing-masing untuk mengubah sikap dan tanggapan bagi mencari penyelesaian berdasarkan prinsip ilmu pengetahuan, bukan sentimen dan emosi.
Bagi saya sesuatu yang jelas bertentangan dengan prinsip akidah dan syariah atau nilai moral kerohanian Islam tidaklah seharusnya dipertahankan oleh sesiapa pun, tetapi ia haruslah dijelaskan dengan sebaik-baiknya, iaitu dengan secara spesifik, bukan dalam bentuk kenyataan umum.
Golongan yang dilihat menentang prinsip syariah dan ajaran agama yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunah haruslah pula bersedia mendengar penjelasan daripada ahlinya yang berwibawa. Perbezaan pandangan yang tidak bercanggah dengan prinsip syariah dan akidah Islam haruslah dibangkitkan secara beradab dan terbuka, tidak kira dari mana sekalipun datangnya pandangan itu
Kerana itulah saya beranggapan bahawa hal ini haruslah diselesaikan dengan baik untuk kebaikan agama Islam dan umatnya sendiri. Kita sudah cukup mengalami berbagai macam krisis dan konflik di dalam masyarakat kita selama ini.
Janganlah krisis itu ditambah lagi satu demi satu, sehingga pertelagahan ini akan memecahbelahkan masyarakat kita dengan lebih serius lagi. Perdebatan dan polemik ilmu haruslah ditangani secara bertamadun dan berterus terang, tujuannya ialah untuk mencari kebenaran, bukan untuk menuding jari sesama sendiri.
Masyarakat kita tidak mampu lagi dibebani dengan konflik yang tidak menentu dan tidak berkesudahan. Alangkah baik sekali sekiranya semua golongan yang berbeza pandangan dapat berbicara secara bertemu muka dan berterus-terang secara ikhlas dan jujur. Itulah sebenarnya nilai dan tradisi keilmuan dalam agama kita.