`Islam amat menekankan kepada keadilan. Sebagai umat Islam, kita dituntut supaya berlaku adil dalam semua perkara. Ini jelas dalam ayat 29, Surah al-A’raaf yang bermaksud:
Katakanlah: “Tuhanku menyuruh berlaku adil (pada segala perkara), dan (menyuruh supaya kamu) hadapkan muka (dan hati) kamu (kepada Allah) dengan betul pada tiap-tiap kali mengerjakan sembahyang, dan beribadatlah dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepada-Nya semata-mata; (kerana) sebagaimana Ia telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepada-Nya).
Keadilan perlu ditegakkan tanpa mengira siapa. Ini selari dengan firman Allah dalam ayat 135, Surah an-Nisa’ yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum-kerabat kamu.
Satu lagi bentuk keadilan yang ditekankan oleh Islam ialah keadilan sosial. Apa yang ditekankan dalam keadilan sosial ini ialah setiap individu mendapat hak-haknya dan di masa yang sama ia perlu melaksanakan segala tanggungjawabnya bagi merealisasi keadilan dalam hidup ini.
Hak-hak ini merangkumi semua, hak untuk berekonomi, hak untuk bersuara, hak untuk berpolitik dan sebagainya.
Sebagai contoh, dalam hubungan antara pemerintah dengan rakyat, pemerintah ada hak-haknya yang perlu dipenuhi oleh rakyat dan di masa yang sama, ia ada tanggungjawab yang perlu ditunaikan terhadap rakyatnya.
Begitu juga dengan rakyat, mereka ada hak-hak yang perlu ditunaikan oleh pemerintah, di masa yang sama mereka juga ada tanggungjawab yang perlu ditunaikan kepada pemerintah.
Perkara yang sama berlaku dalam hubungan antara si kaya dengan si miskin. Si kaya bebas mengumpul harta sebanyak mungkin dengan cara yang wajar, tetapi hak si miskin dalam hartanya itu tidak boleh dilupakan.
Melalui zakat, wakaf dan sedekah, wang si kaya akan dapat disalurkan kepada si miskin. Si miskin pula tidak boleh mencuri harta si kaya sesuka hati, sebaliknya, haknya akan diberi melalui pengagihan zakat dan sedekah yang dihulurkan.
Ini adalah antara beberapa contoh keadilan sosial dalam Islam. Apa yang penting dalam keadilan sosial Islam ini ialah tiada pihak yang dinafikan kepentingannya. Sebaliknya, kepentingan sesuatu pihak itu berjalan seiring dengan kepentingan pihak yang lain – pemerintah dengan rakyat, si kaya dengan si miskin dan sebagainya.
Dalam sejarah Islam, banyak bukti yang menunjukkan keadilan sosial ini telahpun dilaksanakan. Sebagai contoh, di zaman Khalifah Umar al-Khattab banyak bantuan diberikan kepada wanita-wanita yang tiada keluarga terdekat untuk menanggung mereka.
Untuk itu, Khalifah Umar telah mewajibkan pemberian wang sebanyak seratus dirham kepada setiap anak yang dilahirkan. Jumlah ini akan bertambah selari dengan pertumbuhan anak tersebut. Kepada ibu-ibu yang menyusui pula, Umar memberikan nafkah dari baitulmal bagi memenuhi keperluan mereka.
Di zaman moden ini, sudah pasti keadilan sosial itu berlaku dalam bentuk-bentuk yang lain, selaras dengan keperluan masyarakat pada masa ini.
Dalam setiap aspek kehidupan – ekonomi, sosial, politik, undang-undang – sudah pasti ada indeks-indeks tertentu yang boleh dijadikan petunjuk bahawa keadilan sosial itu telahpun dilaksanakan.
Sebagai contoh, dalam aspek sosial, kadar celik huruf yang tinggi boleh menjadi satu indeks bagi menunjukkan betapa hak masyarakat terhadap pendidikan telah ditunaikan. Begitu juga, nisbah doktor kepada pesakit, boleh dijadikan indeks yang menunjukkan hak masyarakat terhadap perkhidmatan kesihatan yang telah dilaksanakan.
Sebagai sebuah negara Islam contoh, banyak mata yang memandang kepada Malaysia untuk menilai sejauhmana negara ini berjaya memenuhi tuntutan Islam dalam usahanya mengejar pembangunan.
Setakat ini, Malaysia dilihat sebagai sebuah negara Islam yang amat membangun dari segi ekonomi dan fizikalnya. Sudah pasti ramai yang ingin tahu apakah Malaysia sudah melaksanakan keadilan sosial seperti yang dituntut oleh Islam? Untuk menjawab soalan ini, IKIM akan menganjurkan satu seminar yang bertajuk Keadilan Sosial Dalam Islam pada 19 – 20 Januari 2004.
Seminar yang akan diadakan di Terengganu ini akan mengimbas konsep dan prinsip-prinsip keadilan sosial menurut Islam. Ia juga akan menyentuh tentang: (a) konsep keadilan sosial dari perspektif Islam; (b) keadilan sosial di negara-negara Islam pada zaman silam; (c) contoh-contoh keadilan sosial yang didapati di dalam negara-negara Islam yang terpilih pada masa ini; (d) petunjuk-petunjuk keadilan sosial yang digunakan oleh institusi terpilih seperti Bank Dunia, IMF dan lain-lain; dan, (e) petunjuk-petunjuk keadilan sosial dari perspektif Islam dan taraf kecapaian Malaysia dari segi keadilan sosial.
Adalah diharapkan seminar ini akan dapat membuktikan bahawa dalam keghairahan Malaysia mengejar kemajuan ekonomi dan fizikal, ia tidak mengabaikan pelaksanaan keadilan sosial yang amat dituntut oleh Islam.