RUANG lingkup ibadat dalam Islam amat luas dan merangkumi setiap kegiatan kehidupan manusia. Setiap aktiviti yang dilakukan baik berkaitan individu mahu pun masyarakat ialah ibadat menurut Islam selagi ia memenuhi syarat-syarat tertentu.
Antara syarat itu ialah amalan yang dikerjakan hendaklah diakui Islam, bersesuaian dan tidak bercanggah dengan hukum syarak kerana amalan ada hubungan dengan perkara haram atau maksiat, tidak sesekali dianggap sebagai ibadat.
Amalan yang dilakukan mempunyai niat baik bertujuan memelihara kehormatan diri, menyenangkan keluarganya, memberi manfaat kepada umat seluruhnya dan bagi memakmurkan bumi sebagaimana yang dianjurkan Allah.
Amalan berkenaan mestilah dibuat dengan seelok-eloknya bagi menepati apa yang ditetapkan oleh Rasulullah dalam sebuah hadis diriwayatkan Al-Baihaqi yang bermaksud: “Bahawa Allah suka apabila seseorang daripada kamu membuat sesuatu kerja dengan memperelokkan kerjanya”.
Ketika membuat amalan, hendaklah sentiasa menurut hukum syarak dan ketentuan batasnya seperti tidak menzalimi orang lain, khianat, menipu, menindas atau merampas hak orang.
Setiap pekerjaan yang dilakukan tidak sekali melalaikan ibadat khusus seperti solat, zakat dan sebagainya dalam melaksanakan ibadat umum yang lain seperti yang diingatkan dalam surah Al-Munafiqun, ayat 9 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah harta-harta dan anak-anak kamu melalaikan kamu daripada mengingati Allah, barang siapa berbuat demikian, maka mereka sebenarnya orang-orang yang rugi”.
Oleh itu, apabila seorang mukmin dapat menyempurnakan kelima-lima syarat berkenaan dalam mengendalikan segala pekerjaan dan urusan kehidupannya, maka dia akan dikira sentiasa beribadat kepada Allah meskipun tidak duduk di dalam masjid ketika melakukan kerja itu.
Secara umumnya, budaya kerja membicarakan mengenai aliran pemikiran, perasaan dan cara sesebuah masyarakat menjalankan kerja. Budaya kerja yang menepati falsafah dan nilai etika Islam akan melahirkan ciri masyarakat tersusun.
Oleh kerana pekerjaan adalah tuntutan agama dan ibadat, maka organisasi dan pekerja Muslim sewajarnya sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti prestasi pekerjaannya.
Budaya kerja Islam juga membina kekuatan melalui mekanisme dalaman iaitu menjadikan usaha dan menjalankan pekerjaan sebagai satu tuntutan agama kerana keimanan serta prestasi pekerjaan mempunyai hubungan yang rapat.
Bagi seorang pekerja Muslim yang ingin menghayati Islam, ia seharusnya turut berusaha meningkatkan prestasi kerjaya dari masa ke semasa dan menjadikan mekanisme dalaman sebagai dorongan serta motivasi.
Bagaimanapun, mengikut realiti semasa, kebanyakan pekerja tidak memahami Islam secara menyeluruh dan melihat amalan bekerja sebagai sesuatu yang terpisah daripada agama.
Pekerja juga perlu menepati semangat tauhid yang menganjurkan supaya faktor yang terdapat dalam diri manusia disatukan.
Ini bererti setiap pekerja Muslim perlu menjaga dan mempertingkatkan akhlak dirinya dalam menjalankan amanah pekerjaannya.
Peningkatan prestasi kerja seharusnya disusuli peningkatan akhlak pekerja kerana Islam melihat tuntutan akhlak sebagai sesuatu yang bersifat positif dan dinamik yang menggerakkan pekerjaan daripada semua dimensi.
Budaya kerja Islam memberi penekanan tinggi terhadap disiplin melalui penghayatan kerja bagi mengelak pekerja menghadapi krisis kemanusiaan disebabkan tiada amalan disiplin.
Budaya kerja Islam juga menganjurkan kesatuan dalam matlamat dan penghayatan syura dalam masyarakat bagi memastikan keberkesanan menjalani pekerjaan tercapai melalui semangat bekerja secara muafakat.
Kesimpulannya, budaya kerja dalam Islam yang berasaskan tauhid dan nilai kemanusiaan mempunyai kaitan rapat dengan semangat pengabdian manusia sepenuhnya kepada Allah.
Islam berkeyakinan semua urusan manusia dalam menjalankan tugas atau pekerjaan akan membawa hasil yang cemerlang jika menepati nilai kemanusiaan.
Penyusunan atau teknik menjalankan tugas perlu bersesuaian mengikut perubahan masa dan ia boleh dipelajari daripada bangsa yang maju kemudian diubah mengikut kaedah tempatan.
Penghayatan nilai murni dan etika kerja dalam perkhidmatan atau pekerjaan adalah pendekatan yang dinamik dan akan terus relevan dengan usaha manusia.