Apabila disebut perkataan undang-undang, ramai yang agak gementar. Mereka akan membayangkan mahkamah, hakim, peguam, polis, penjenayah, penjara dan macam-macam lagi.
Apakah yang dimaksudkan undang-undang? Undang-undang bermaksud apa-apa yang telah digubalkan atau ditentukan oleh sesuatu pihak berkuasa dan apa-apa yang dihasilkan mempunyai kekesanan undang-undang.
Undang-undang adalah peraturan-peraturan mengenai kelakuan yang mesti dipatuhi oleh semua orang dan tertakluk kepada hukuman atau tindakan undang-undang. Mesej utama undang-undang ialah untuk keadilan dan kepastian bahawa undang-undang tersebut adalah bersesuaian, diterima pakai dan dihargai oleh semua orang pada setiap waktu.
Secara asasnya, undang-undang boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu undang-undang awam (public law) dan undang-undang persendirian (private law). Undang-undang awam adalah undang-undang mengenai hubungan antara kerajaan dan individu. Undang-undang awam meliputi undang-undang jenayah, undang-undang pentadbiran, undang-undang perlembagaan.
Undang-undang jenayah adalah menyenaraikan kelakuan-kelakuan yang disifatkan sebagai kesalahan oleh sesebuah negara dan seseorang yang disabitkan kesalahan oleh pihak mahkamah akan dihukum mengikut undang-undang negara tersebut.
Undang-undang persendirian adalah undang-undang mengenai hubungan hak dan kewajipan antara individu seperti undang-undang kontrak, tort, undang-undang perbankan, undang-undang keluarga, undang-undang wasiat dan sebagainya.
Undang-undang adalah untuk faedah masyarakat. Ia adalah untuk kesejahteraan masyarakat dan menjaga kepentingan dan keharmonian masyarakat. Justeru undang-undang bukan untuk digeruni kerana tujuannya adalah untuk menjamin kesejahteraan masyarakat.
Menurut Abdul Qadir Awdah seorang pakar undang-undang, undang-undang itu bukanlah lebih tinggi daripada masyarakat; ia adalah sebahagian daripada masyarakat dan tidak terasing daripada masyarakat.
Manusia memang tidak boleh hidup bersendirian. Secara fitrahnya, dia memerlukan orang lain untuk memenuhi pelbagai keperluan dan hajatnya. Tanpa peraturan serta undang-undang, kehidupan sesebuah masyarakat itu akan menjadi kucar kacir, tidak tenang dan tidak aman.
Adalah jelas bahawa manusia memerlukan undang-undang untuk mengatur kehidupan bermasyarakat. Justeru tujuan utama undang-undang bukanlah semata-mata untuk menghukum. Cuba bayangkan jika tiada undang-undang dan manusia boleh berbuat apa saja yang dia suka.
Pada masa itu dunia akan menjadi porak peranda dan tidak tentu hala. Sedangkan dengan adanya undang-undang pun manusia masih boleh melanggarnya dan membuat pelbagai kerosakan, inikan pula jika tiada undang-undang.
Tiada apa yang perlu ditakuti jika manusia bertindak di dalam batas undang-undang kerana tiada undang-undang akan dikuatkuasakan ke atas mereka. Cuma apabila dia melanggar batasan norma kehidupan, maka dia akan dikenakan tindakan undang-undang.
Menghormati undang-undang adalah sebahagian daripada prinsip kedaulatan undang-undang. Kedaulatan undang-undang bermaksud penghormatan kepada undang-undang sebagai kuasa tertinggi dan mesti dipatuhi oleh semua pihak.
Setiap undang-undang yang sah perlu dihormati kerana ia telah melalui proses penggubalan mengikut cara-cara tertentu seperti yang ditetapkan dalam Bab 5 Acara Perundangan Perlembagaan Persekutuan.
Permulaan penggubalan undang-undang adalah dengan perangkaan dasar-dasar yang berkaitan dengan sesuatu rang undang-undang yang hendak dibentangkan di Parlimen iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Rang undang-undang tersebut akan diedarkan kepada semua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi mendapatkan kelulusan kedua-dua Majlis Parlimen tersebut. Di dalam tiap-tiap dewan rang undang-undang tersebut akan dibaca untuk kali pertama, kedua dan ketiga sebelum diluluskan.
Oleh itu proses penggubalan sesuatu undang-undang itu mengambil masa yang lama untuk dibincang dan dibahaskan agar ia memenuhi tujuan utamanya yakni untuk kebaikan dan kesejahteraan masyarakat.
Justeru setiap undang-undang itu haruslah dihormati dan dipatuhi. Jika seseorang tidak menghormati undang-undang, ia boleh didakwa atau dikenakan tindakan. Tindakan tidak menghormati undang-undang juga bakal mencetuskan kekecohan dan ketidaksejahteraan kepada sesebuah masyarakat.
Tindakan tidak mematuhi undang-undang boleh dikatakan mementingkan diri sendiri , tanpa memikirkan kesan atau akibat tindakannya kepada orang lain. Sistem perundangan juga merupakan salah satu kriteria utama masyarakat bertamadun seperti yang dikatakan oleh Ibn Khaldun. Ini kerana sistem perundangan mampu menghasilkan keadilan yang amat besar pengaruhnya dalam menentukan jatuh bangun sesebuah tamadun.