Artikel ini bukanlah mengenai provokasi terhadap kedatangan warga asing ke Malaysia atas apa-apa tujuan yang baik. Namun artikel ini bertujuan untuk menyingkap realiti yang berlaku di sebalik alasan ekonomi dan pembangunan negara bagi maksud mengalu-alukan atau membenarkan kedatangan mereka tanpa menafikan sumbangan mereka.
Salah satu daripadanya ialah kejadian anggota keselamatan negara yang terkorban ketika hendak membuat pemeriksaan ke atas sekumpulan warga asing pada minggu lalu. Insiden ini seharusnya menjadi iktibar kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira status dan kedudukan dalam masyarakat.
Bagi orang awam insiden ini menunjukkan betapa ‘aman’nya Malaysia pada pandangan warga asing terutama yang berhajat untuk mencari rezeki di negara ini hingga menyebabkan kadang-kala mereka terlupa bahawa bumi yang dipijak ini bukanlah tanah air mereka. Hal demikian menyebabkan adakalanya budaya yang tidak baik di bawa bersama ke negara ini dan menyebabkan kesusahan kepada kepada semua pihak seperti sikap membuang sampah merata-rata, budaya gangster, bersosial dan mengganggu ketenteraman penduduk, terlibat dalam kegiatan jenayah, penyebaran ajaran sesat dan lain-lain.
Bagi pasukan keselamatan dan penguatkuasa, kebanjiran warga asing yang berlebihan terutama yang tidak berdaftar bermaksud tugasan semakin berat, kawalan perlu diperketat dan masa bersama keluarga semakin kurang.
Bagi pengamal industri dan pemain dalam pasaran ekonomi, kebanjiran tenaga buruh asing memberi makna kos upah yang rendah, kadar penanggungan buruh yang minimal, karenah kemanusian boleh dikurangkan dan keuntungan yang lebih tinggi.
Bagi pemegang tampuk pemerintahan kedatangan buruh asing dilihat memberi manfaat kepada ekonomi seperti permintaan tenaga buruh dipenuhi dan pembangunan berskala besar dapat dilakukan dalam jangka masa yang singkat. Namun, dalam masa yang sama berhadapan dengan insiden kemunculan semula penyakit yang telah dapat dicegah atau dikawal, kerugian akibat aliran tunai ke negara asal, penanggungan kos baik pulih persekitaran yang rosak akibat daripada tindakan sebahagian daripada buruh asing ini.
Pada tahun lalu sahaja, tenaga kerja asing yang berdaftar adalah seramai 2.1 juta orang. Jumlah ini bagaimanapun tidak menggambarkan keseluruhan warga asing yang berada di dalam negara kerana mengecualikan PATI, individu pelarian yang diiktiraf ataupun mangsa pemerdagangan. Maka tidak hairanlah jika kelibat warga asing begitu mudah dilihat lebih-lebih lagi pada cuti umum seperti di tempat-tempat beli belah atau rekreasi. Bahkan ada sebahagiannya berjaya mengasimilisasikan diri ke dalam masyarakat tempatan dan bergaul mesra hingga dianggap bagaikan penduduk tempatan oleh masyarakat kita.
Mengapakah masyarakat kita yang hampir sama dengan mereka dalam konteks budaya, agama, kedudukan geografi masih belum dapat menandingi ‘kehebatan’ tenaga buruh asing dalam industri negara? Jawapan mudah dari segi ekonominya ialah disebabkan oleh kos upah yang rendah. Namun jawapan sebenarnya ialah, kita sama-sama masih belum bersedia untuk melakukan perubahan dalam pasaran tenaga kerja.
Tidak dinafikan terdapat perbezaan kos upah rakyat tempatan dengan warga asing. Disebabkan perbezaan kos inilah sesiapa sahaja dalam kalangan rakyat tempatan boleh mengupah mereka kerana beranggapan upah tersebut rendah. Keadaan ini boleh dilihat seperti warga asing yang bekerja bukan semata-mata dalam industri berskala besar seperti pembinaan, pembersihan atau perladangan tetapi dalam industri kecil-kecilan seperti pembantu kedai runcit, pencuci kereta, membantu majikan berniaga di pasar-pasar.
Selain itu, kerja-kerja kotor, berbahaya dan sukar sebagaimana tiga sektor yang disebut di atas dilihat sinonim dengan tenaga kerja asing separa mahir. Tenaga kerja tempatan dikatakan tidak berminat dalam ketiga-tiga bidang pekerjaan yang dilihat sebagai ‘berkelas rendah’. Namun begitu, sejauh manakah keadaan ini berlaku?
Alasan pekerja tempatan tidak berminat untuk bekerja dengan upah yang rendah atau bekerja dalam sektor-sektor tertentu sebenarnya tidak lagi boleh dipegang sekalipun pada hakikatnya sebahagiannya benar. Jika kita benar-benar jujur untuk mencapai pembangunan ekonomi dan matlamat negara maju sesuatu perlu dilakukan segera dan tidak hanya bergantung kepada sikap tidak berminat masyarakat tempatan. Hal demikian kerana, hakikat ‘maju’ itu juga memberi makna memberi kemajuan kepada masyarakat termasuklah dalam konteks sikap dan cara berfikir tentang pekerjaan.
Kita perlu menyedari bahawa kemasukan tenaga kerja asing terutama yang separa mahir bukanlah semata-mata memberi keuntungan disebabkan oleh kos upah yang rendah. Bahkan, kemasukan mereka secara berlebihan telah mengundang kenaikan kos sosial yang terpaksa ditanggung oleh semua pihak. Sebagai contoh, sebanyak 29.4 peratus daripada jumlah banduan di Malaysia adalah terdiri daripada warga asing. Sehinggakan kita terpaksa mengakui bahawa kos menanggung hidup mereka di penjara merupakan satu bentuk pembaziran.
Kita masih boleh memperbaiki keadaan ini. Sebagai ahli masyarakat, kita patut mengakui untuk mengatasi lambakan tenaga kerja asing terutama yang separuh mahir memerlukan kerjasama semua pihak termasuklah kita sendiri. Minat kepada sesuatu boleh dipupuk begitu juga dalam konteks pekerjaan. Kerjasama dari pihak-pihak berkenaan juga boleh dicapai andai kena dengan caranya.
Ini boleh bermula dengan cara kita melihat dan mengendalikan perniagaan dengan berazam untuk menggaji anak tempatan menjadi pembantu dalam urusan perniagaan. Beri mereka peluang dan galakkan untuk bekerja. Tetapkan kefahaman dalam diri bahawa permintaan upah yang sedikit tinggi bukanlah bermaksud anak tempatan mahu kerja mudah dengan upah yang tinggi. Akan tetapi upah yang diminta itu sesuai dengan kos sara hidup pada hari ini. Kita tidak boleh menyamakan warga tempatan seperti buruh asing yang tidak membawa bersama keluarga mereka tinggal di sini.
Kedua, proses penjenamaan semula jenis pekerjaan dalam sektor seperti pembersihan mampu menarik minat warga tempatan untuk menceburinya. Sebagai contoh, perkhidmatan pembantu rumah yang mengikut jam ataupun yang tidak memerlukan pekerja untuk tinggal bersama majikan boleh diceburi oleh warga tempatan. Sekaligus mengurang karenah birokrasi prosedur pengambilan pembantu rumah asing dan lain-lain.
Ketiga, tiada yang lebih utama melainkan langkah-langkah pengawalan kemasukan tenaga kerja asing yang telus dan penambahbaikan dalam dasar pasaran kerja pada hari ini. Polisi dan dasar pekerjaan yang baik dalam mana-mana sektor pekerjaan mampu menarik minat warga tempatan sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.
Tiadalah rugi kepada kita untuk mengupah rakyat tempatan bekerja. Tiadalah jua rugi bagi kita untuk mengisi kekosongan dalam sektor pekerjaan yang kotor, berbahaya dan sukar kerana hakikat pekerjaan itu sendiri hanyalah alat kepada punca rezeki yang halal lagi berkat kepada keluarga.