Memalukan dan mencalar imej agama Islam. Inilah antara ungkapan yang boleh digunakan untuk merujuk kepada dua peristiwa yang berlaku di negara kita untuk tempoh dua tiga minggu kebelakangan ini. Ketika perhatian masyarakat antarabangsa tertumpu ke arah Malaysia dalam usaha bersepadu pihak berkuasa mencari pesawat MH370 yang hilang dengan menggunakan pelbagai teknologi canggih dan terkini, mata mereka juga turut terarah kepada gelagat seorang bomoh yang menggunakan buah kelapa, bubu dan teropong buluh dalam ritualnya di KLIA. Kononnya dengan melakukan upacara sebegitu dia dapat mengesan kedudukan pesawat malang yang hilang tersebut.
Gelagat bomoh ini dengan beberapa orang pembantunya kemudian menjadi bahan satira dan parodi bukan sahaja di kalangan warga tempatan malahan masyarakat antarabangsa juga kerana pihak media massa tempatan dan asing yang membuat liputan turut menjadikannya sebagai bahan berita mereka.
Pelbagai pihak, baik agamawan, politikus mahupun masyarakat awam meluahkan rasa kesal mereka atas kejadian memalukan ini. Imej Malaysia yang dikaitkan dengan sebuah negara Islam yang progresif dan dinamik turut terpalit. Bukan sahaja imej negara, imej umat Islam malah imej agama Islam itu sendiri turut terkesan. Apa yang paling dibimbangi ialah kita takut masyarakat bukan Islam membuat satu generalisasi bahawa intipati ajaran Islam adalah bersifat animistik dan bukannya berpaksikan kepada mentauhidkan Allah SWT.
Selain itu wujud juga kebimbangan di mana kesan peristiwa ini juga mungkin akan menjauhkan orang bukan Islam daripada mendekati dan memahami ajaran Islam. Secara logiknya, tiada siapa yang akan tertarik kepada agama di mana penganutnya masih terbelenggu dan terikat dengan perkara khurafat dan tahyul walaupun pada hakikatnya perkara-perkara tadi bukan sebahagian daripada ajaran yang dianjurkannya.
Belum pun kesan gelagat bomoh ini reda, kes baru pula muncul. Kali ini melibatkan kematian 6 orang penonton di mana tiga daripadanya beragama Islam yang menghadiri Future Music Festival Asia 2014. Laporan awal menyatakan bahawa mereka mati akibat sesak nafas.Kebenaran terserlah apabila laporan bedah siasat menunjukkan mereka mati akibat pengambilan dadah sintetik bagi tujuan berhibur.
Persoalan yang timbul ialah mengapa perkara-perkara seperti ini timbul di sebuah negara yang agama rasminya ialah agama Islam? Mengapa unsur-unsur anismisme masih lagi diamalkan oleh segelintir umat Islam? Apa pula keperluan penganjuran festival muzik yang begitu lama tempohnya dan yang dibiar melalaikan tadi dan mengapa ia diluluskan oleh pihak berkuasa?
Daripada kita mencari jawapan kepada persoalan di atas dan menuding jari kepada satu sama lain, rasanya lebih elok jika kita meneliti secara mendalam dan mencari punca kepada timbulnya peristiwa-peristiwa tadi. Apa yang pasti ia berakar umbi daripada satu fenomena yang dihadapi oleh umat Islam sejagat iaitu mereka sekarang berdepan dengan krisis kejumudan keintelektualan dan liberalisasi nilai akhlak.
Ilmulah yang membawa Islam ke mercu peradaban suatu ketika dahulu. Sejarah kegemilangan kerajaan Islam terdahulu yang berpusat di Baghdad dan Andalusia adalah bertitik tolak daripada budaya ilmu. Apabila empayar umat Islam runtuh, tradisi keilmuan ini berpindah ke Barat. Rentetan daripada itu dan sehingga kini masyarakat Barat mencapai kemajuan terutamanya yang berkaitan dengan perkembangan sains dan teknologi.
Penguasaan ilmu telah memungkinkan para ilmuan dan saintis Barat untuk mencipta pelbagai teknologi terkini yang memudahkan kehidupan manusia sejagat pada hari ini. Apa yang jelas, teknologi-teknologi ini tidak akan terhasil sekiranya mereka mengongkong pemikiran mereka dengan elemen-elemen tahyul dan khurafat.
Inilah juga yang berlaku pada zaman Nabi Sulaiman ‘alaihissalam. Di dalam surah an-Naml ayat ke-39-40, al-Quran ada menyebut tentang kisah baginda yang menggunakan kepakaran ahli ilmu yang sebenar (berbeza yang berlandaskan tahyul) untuk membawa singgahsana Puteri Balqis dari Yaman ke Syam dalam sekelip mata. Baginda tidak memilih tawaran Jin Ifrit kerana keupayaannya tidak dapat mengatasi kelebihan yang ada pada ahli ilmu tadi. Tambahan pula Ifrit bukanlah mahkluk yang boleh dipercayai dan ia penuh dengan tipu helah.
Walaupun sehingga kini ilmu pengetahuan manusia belum masih mampu mencapai tahap sepertimana yang ada pada ahli ilmu zaman Nabi Sulaiman ‘alaihissalam ini, namun kita wajib mengakui apa yang disebut oleh al-Quran itu.
Ini juga adalah satu pembuktiaan al-Quran bahawa orang yang mempunyai ilmu yang bersandarkan kepada wahyu dan syariat mampu mengatasi ‘kelebihan’ yang ada pada makkluk lain seperti jin dan seumpamanya. Dengan kata lain dengan kelebihan akal yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia, mereka seharusnya memanfaatkan sebaik mungkin kurniaan ini untuk memikirkan perkara-perkara yang boleh mendatangkan kebaikan bersama dan seterusnya dapat mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT. Pada masa yang sama juga manusia perlu menjauhi sikap animistik atau percaya kepada kuasa ghaib selain Allah SWT kerana ia adalah sesuatu yang tidak diperakui oleh ajaran Islam.
Hanya ilmu yang benar sahaja yang mampu menghasilkan satu kehidupan yang sejahtera kepada manusia. Sebaliknya pergantungan kepada kuasa selain daripada Allah SWT atau mencampur adukkan yang benar dengan yang batil di dalam amalan harian akan hanya membuka ruang kepada penyelewengan manusia daripada akidah yang benar. Seterusnya ia akan terus mengongkong daya keintelektualan untuk berfikir secara kreatif dan inovatif.
Selain berhadapan dengan krisis penguasaan ilmu yang benar, umat Islam sekarang ini juga berdepan dengan proses liberalisasi akhlak. Sebagaimana yang kita tahu nilai akhlak yang dianjurkan oleh Islam ialah nilai-nilai yang dibawa oleh al-Quran. Sebab itu apabila Saidatina Aishah ra ditanya tentang akhlak Rasulullah SAW, beliau menjawab akhlak nabi SAW adalah al-Quran. Malah inilah juga antara misi utama nabi SAW diutuskan ke dunia ini iaitu untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.
Bagaimanapun apabila kita melihat kepada akhlak anggota masyarakat, baik yang tua mahupun yang muda, dalam sesetengah hal mereka kelihatan ‘lebih Barat’ daripada cara orang Barat itu sendiri. Proses globalisasi yang dipelopori oleh dunia Barat telah membawa bersamanya nilai-nilai akhlak dan budaya yang tidak secocok dengan ajaran Islam.
Malangnya sebilangan besar umat Islam menerima bulat-bulat nilai-nilai ini atas alasan apa yang dibawa oleh Barat itu adalah satu bentuk kemajuan. Budaya pergaulan bebas, penagihan dadah dan alkohol, memuja artis serta gemar hiburan yang melalaikan adalah antara beberapa contoh nilai yang sudah meresapi kehidupan sebahagian umat Islam masa kini.
Di Malaysia semua unsur-unsur ini sudah berleluasa dan seakan menjadi satu lumrah. Peristiwa yang berlaku di Bukit Jalil adalah satu bukti terbaru yang menunjukkan tahap keparahan fenomena liberalisasi akhlak di kalangan umat Islam di negara ini.
Sejarah Islam ada menyatakan bahawa selain daripada faktor integriti pemerintah, kejatuhan kerajaan bani Abbasiah turut disumbang oleh arak, wanita dan muzik. Sejarah biasanya berulang dan ia akan menimpa mereka yang tidak pernah cuba mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku.
Dalam hal ini nabi SAW ada bersabda yang bermaksud : Kemuliaan manusia adalah agamanya, harga dirinya adalah akalnya sedangkan ketinggian kedudukannya adalah akhlaknya. (riwayat Ahmad dan Al-Hakim)
Justeru, dalam usaha membina satu kemajuan yang secocok dengan aspirasi Islam, ajaran al-Quran seharusnya kekal menjadi panduan utama kita. Untuk itu pegangan akidah yang kukuh yang dipandu oleh ilmu yang benar serta penghayatan nilai akhlak Islamiah seharusnya menjadi resepi utama dalam pembinaan kemajuan dan peradaban bangsa.