Bulan Ramadan, bulan yang penuh keberkatan dan rahmat tiba lagi. Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kehadiran Ramadan turut disambut dengan cabaran ekonomi dan sosial yang semakin ketara. Dengan inflasi yang meningkat, kos sara hidup yang semakin tinggi dan ketidakpastian ekonomi yang melanda dunia, umat Islam perlu bijak dalam menguruskan kewangan dan kehidupan sosial mereka sepanjang bulan suci ini (dan juga bulan-bulan lain seterusnya).
Walaupun masyarakat Muslim berhadapan dengan cabaran sosioekonomi yang menuntut mereka berhemat dan “berkira” dalam mengurus kewangan peribadi mahupun kewangan keluarga, ini tidak bermaksud mereka turut perlu “berkira” dalam amalan bersedekah dan berjariah pada bulan yang mulia dan penuh keberkatan ini.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Adi bin Hatim RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Peliharalah diri kamu daripada api neraka sekali pun hanya dengan bersedekah sebelah buah kurma.” (hadis riwayat Al-Bukhari).
Hadis ini mengajar kita bahawa nilai sesuatu pemberian di sisi Allah SWT tidak diukur pada besar kecilnya, tetapi pada keikhlasan niat dan kesungguhan hati pemberi. Bahkan pemberian yang kelihatan kecil seperti separuh tamar pun sangat bernilai jika dilakukan dengan keikhlasan –sehingga sipelakunya dijanjikan perlindungan daripada api neraka oleh Allah SWT.
Dalam konteks suasana ekonomi masyarakat yang sentiasa dibelenggu isu kos sara hidup dan kadar inflasi yang meningkat, mesej yang terkandung dalam hadis ini wajar dihayati oleh umat Islam. Setiap individu tanpa mengira keadaan kewangan mereka, tetap boleh beramal dan membantu mereka yang memerlukan. Ini kerana Allah SWT menilai keikhlasan hamba-Nya, bukan jumlah sumbangan semata-mata. Sedekah, walaupun sedikit, boleh memberi impak besar kepada penerima. Apa yang lebih penting ialah pahala bersedekah tetap besar walaupun kita tidak mempunyai sumber yang banyak untuk diinfakkan ke jalan Allah SWT.
Dalam Islam, amalan bersedekah, berzakat, berwakaf dan berbuat baik kepada makhluk Allah sangat digalakkan, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan. Berkenaan keutamaan bersedekah pada bulan Ramadan pula, ia boleh disandarkan kepada kelebihan-kelebihan yang ada pada bulan itu sendiri yang ada dinyatakan dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW di mana setiap amal kebaikan digandakan pahalanya. Antara panduan yang paling jelas tentang hal ini ialah firman Allah dalam surah al-Qadr yang menyatakan dalam bulan Ramadan terdapat satu malam iaitu Lailatul Qadr yang lebih baik daripada seribu bulan; dan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari yang menyebut bahawa umrah yang dilaksanakan pada bulan Ramadan pahalanya menyamai pahala mengerjakan haji.
Nabi SAW sendiri sangat pemurah dan dermawan, justeru apabila tiba Ramadan kemurahan baginda bertambah berkali ganda pada bulan ini. Perkara ini ada dinukilkan dalam Sahih Bukhari di mana Ibn Abbas RA ada meriwayatkan: “Nabi SAW merupakan seorang yang paling pemurah dan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan ketika Jibril AS bertemu dengannya. Adalah Jibril AS bertemu dengan Nabi SAW pada setiap malam pada bulan Ramadan untuk mengulangkaji Al-Quran dan kedermawan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.”
Mungkin ada yang beranggapan sedekah akan mengurangkan harta yang ada. Secara logik matematik, ini ada kebenarannya lebih-lebih lagi jika seseorang itu bukan daripada golongan senang; atau dia sendiri sedang berhadapan dengan situasi kewangan yang kritikal atau sedang dalam memikirkan komitmen-komitmen kewangan yang perlu dilunaskan seperti persiapan hari raya dan sebagainya.
Namun dalam Islam, logik matematik terutama yang menjurus kepada kekurangan kekayaan akibat sedekah adalah tidak terpakai. Sebaliknya sedekah mempunyai korelasi positif yang kuat dengan aspek keberkatan kehidupan dan pertambahan rezeki umat Islam yang melazimi amalan ini.
Ini ada dinyatakan oleh Baginda SAW dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud: “Sedekah itu tidak akan mengurangi harta. Tidak ada orang yang memberi maaf kepada orang lain melainkan Allah akan menambah kemuliaannya, dan tidak ada orang yang merendahkan diri kerana Allah melainkan Allah akan mengangkat darjatnya.”
Bahkan umat Islam dijanjikan Allah SWT gantian yang lebih baik, diberikan keberkatan dan pertambahan harta menerusi sedekah yang dilakukan. Dalam surah Al-Baqarah, ayat 261, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” Manakala dalam Surah Saba’ ayat ke-39, Allah SWT berfirman “dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya, dan Dialah jua sebaik-baik pemberi rezeki”.
Semua hadis dan ayat Quran yang di atas merupakan dalil-dalil yang jelas yang menafikan hubungkait amalan sedekah dengan kepapaan atau kemiskinan. Kekhuatiran yang tidak berasas ini tidak lain tidak bukan terhasil daripada bisikan syaitan yang sentiasa berusaha menakut-nakutkan manusia daripada melakukan kebaikan sebagaimana firman Allah SAW dalam surah al-Baqarah, ayat ke-268 yang bermaksud: “Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma)”.
Dalam era digital di mana transaksi kewangan boleh dilakukan secara dalam talian dan boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja, isu malu untuk menderma atau bersedekah dalam jumlah yang kecil tidak seharusnya timbul. Malah ini boleh dijadikan satu insentif oleh kita semua untuk melakukan amal kebajikan lebih giat lagi kerana identiti kita sukar untuk dikenali oleh orang lain dan ini juga dapat mengelak daripada unsur riak yang boleh merosakkan pahala sedekah yang dibuat. Bulan Ramadan adalah medan tarbiyah untuk melatih jiwa menjadi lebih peka terhadap kesusahan orang lain. Dalam menghadapi cabaran ekonomi, jangan biarkan kesempitan menjadi penghalang untuk beramal. Allah SWT tidak melihat pada kuantiti tetapi keikhlasan hati. Mulakan dengan apa yang ada. Bersedekahlah, berzakatlah, berwakaflah, walau sekecil mana pun. Setiap amal baik di bulan mulia ini adalah peluang untuk meraih keampunan dan pahala yang berlipat ganda, serta menjadi bekalan terbaik untuk akhirat.