Hari Wanita Sedunia yang disambut setiap tahun pada 8 Mac bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian wanita di seluruh dunia dan menyoroti isu-isu yang wanita hadapi. Hari Wanita Sedunia 2025 yang bertemakan Memacu Pencapaian (“Accelerate Action”) menekankan usaha pantas terhadap perubahan positif bagi wanita seperti meningkatkan akses kepada pendidikan, peluang pekerjaan dan hak-hak asasi manusia serta tindakan segera menghapuskan diskriminasi dan kekerasan terhadap wanita.
Sejarah Hari Wanita pada abad ke-18 berlaku seiring dengan Revolusi Perindustrian di Eropah. Pembukaan kilang berserta keperluan buruh menarik wanita di rumah keluar bekerja. Penglibatan wanita dalam sektor perindustrian telah membuka realiti penindasan gender di tempat kerja. Ekonomi kapitalisme yang berpaksikan keuntungan mengheret wanita sebagai buruh dengan gaji yang lebih rendah dan waktu kerja yang panjang. Pada tahun 1908, ribuan wanita berdemonstrasi di New York, Amerika Syarikat, menuntut waktu kerja yang lebih pendek, gaji yang lebih baik dan hak untuk mengundi.
Ironinya, selepas lebih 100 tahun, kesaksamaan gender di tempat kerja masih menjadi isu wanita di seluruh dunia. Meskipun terdapat undang-undang yang melarang diskriminasi gender, laporan kajian seperti Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menunjukkan jurang gaji antara lelaki dan wanita masih besar. Wanita mengalami ketidaksamaan dari segi gaji, peluang kenaikan pangkat dan kepimpinan berbanding lelaki.
Dalam sektor pendidikan misalnya, kepimpinan tertinggi seperti pengetua dan naib canselor masih didominasi oleh kaum lelaki walaupun majoriti guru dan pensyarah adalah wanita. Wanita juga menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan dalam bidang yang dianggap dominan lelaki serta cabaran akses kepada pembiayaan bagi sektor keusahawanan.
Bagi wanita yang berkeluarga, mereka turut menghadapi masalah dalam menyeimbangkan kerjaya dan kehidupan keluarga. Polisi tempat kerja yang mesra keluarga perlu diperkasakan, termasuk pemberian cuti paterniti yang adil dan sokongan untuk ibu bekerja. Tanggungjawab domestik dan pengasuhan anak-anak masih dilihat sebagai tugas utama wanita sehingga menyebabkan mereka terpaksa mengorbankan peluang kerjaya atau pengajian ke peringkat lebih tinggi. Malah budaya patriarki turut mempengaruhi keputusan untuk memberi peluang pendidikan yang lebih baik kepada anak lelaki berbanding perempuan. Ini menyekat potensi wanita dan menjadi penghalang cita-cita mereka.
Isu kekerasan terhadap wanita adalah satu lagi cabaran besar yang perlu ditangani dengan serius. Walaupun wujud pelbagai inisiatif untuk melindungi wanita daripada keganasan domestik termasuk undang-undang dan program-program kesedaran, angka kes keganasan rumah tangga dan kekerasan terhadap wanita terus meningkat. Masih ramai wanita yang tidak tampil membuat laporan kes keganasan seksual kerana diselubungi rasa malu, ketakutan atau ketiadaan sokongan sosial.
Matlamat 5 Pembangunan Mampan (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menetapkan sasaran untuk mencapai kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita serta gadis menjelang tahun 2030. Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) mengenal pasti jurang di antara wanita dan lelaki dalam empat subindeks yang merangkumi peluang dan penyertaan ekonomi, pencapaian pendidikan, kesihatan dan kehidupan dan penguasaan politik. Nilai skor MGGI 1.0 (100 peratus) menunjukkan kesaksamaan di antara wanita dan lelaki telah dicapai. Malaysia mencatatkan skor purata 0.705 atau 70.5 peratus pada 2023.
Golongan lelaki dan wanita saling melengkapi kehidupan di dunia sebagaimana firman Allah SWT dalam ayat 71, surah at-Taubah: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
Dalam memacu pencapaian wanita, hak kesaksamaan perlu difahami dengan jelas dan teliti. Kesaksamaan formal merujuk kepada kesaksamaan peluang secara samarata, misalnya hak mengundi antara lelaki dan wanita. Ini berbeza dengan hak kesaksamaan substantif, iaitu amalan dan dasar yang mendukung keadilan dengan mengambil kira latar belakang dan cabaran yang dihadapi seperti jantina, keadaan fizikal dan status ekonomi. Misalnya, kuota khas untuk wanita mendapatkan peluang pekerjaan tertentu.
Wanita Muslim di seluruh dunia juga berdepan dengan cabaran unik untuk mencapai keseimbangan antara identiti agama dan tuntutan masyarakat moden. Beberapa negara Muslim, termasuk Malaysia, telah meratifikasi undang-undang antarabangsa seperti Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) tetapi masih wujud perdebatan akan keserasiannya dengan undang-undang kekeluargaan Islam tempatan. Justeru pendidikan mengenai hak-hak wanita perlu dimulakan dari peringkat sekolah lagi agar generasi muda dapat memahami dan menghormati hak wanita.
Hak wanita tercabar apabila Presiden Donald Trump membuat kenyataan untuk mengubah undang-undang perceraian di Amerika Syarikat bagi menghalang pembahagian harta secara automatik sebanyak 50% kepada wanita selepas perceraian. Ini berbeza dengan hak wanita Muslim yang diperkasakan dalam sistem Mahkamah Syariah di Malaysia melalui hak tuntutan harta sepencarian selepas perceraian, hak nafkah, hak penjagaan anak dan sebagainya.
Hari Wanita Sedunia 2025 adalah platform untuk menilai pencapaian dan perjuangan untuk hak dan kebajikan wanita, termasuk wanita Muslim. Islam memuliakan status wanita, sebagaimana hadis riwayat Muslim, “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.” Wanita bukan sahaja memainkan peranan penting dalam kebahagiaan keluarga tetapi juga sebagai tunjang utama dalam pembangunan masyarakat. Kesejahteraan wanita adalah lambang peradaban bangsa dan kemajuan negara.