Krisis kelestarian biodiversiti merupakan isu global yang perlu diberi perhatian yang sewajarnya bagi menjamin kelangsungan pembangunan negara pada masa hadapan. Ia perlu diletakkan sebagai agenda dan fokus utama negara agar pengemblengan usaha secara bersepadu dapat dilakukan dalam menangani segala permasalahan dan cabaran yang dihadapi oleh sumber biodiversiti pada hari ini.
Didapati antara pemacu utama kepada kemerosotan sumber biodiversiti adalah akibat daripada perubahan drastik ke atas ekosistem baik ekosistem daratan mahupun akuatik, pengeksploitasian yang melampau terhadap sumber marin dan hutan, serta pencemaran air, udara dan juga tanah. Kesemua faktor tersebut adalah saling berkaitan antara satu sama lain dan ia perlu diperhalusi secara keseluruhannya bagi mencapai jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi segala permasalahan yang dihadapi sehingga ke akar umbi.
Jika diamati, hampir keseluruhan permasalahan alam sekitar dan kemerosotan ekosistem adalah hasil daripada aktiviti tidak sihat manusia. Manakala, penyelesaian terhadap isu-isu berkenaan pula adalah bergantung kepada sikap dan keprihatinan masyarakat terhadap alam sekitar dan juga sumber biodiversiti yang ada di dalamnya. Malah, setiap daripada kita perlu bijak membuat pertimbangan dalam memilih keutamaan antara memenuhi keperluan ataupun mengikut kehendak nafsu serakah semata-mata. Ini kerana, pemilihan yang salah akan hanya menjurus kepada kemusnahan yang lebih parah lagi ke atas alam sekitar dan biodiversiti.
Memang tidak dinafikan bahawa pembangunan itu perlu bagi memenuhi tuntutan hidup manusia sama ada dalam memacu pertumbuhan ekonomi mahupun pembangunan tamadun. Namun demikian, pembangunan yang dilaksanakan seharusnya mengambilkira pertimbangan-pertimbangan tertentu agar tidak mengorbankan alam sekitar dan segala sumber biodiversiti yang ada di dalamnya.
Dalam konteks ini, setiap perancangan pembangunan perlu mengambilkira kesan terhadap alam sekitar. Justeru, kajian awal perlu dilakukan sebelum sesuatu pembangunan dilaksanakan bagi mempertimbangkan secara komprehensif sama ada ia mendatangkan impak negatif kepada ekosistem ataupun sebaliknya.
Didapati antara cabaran utama negara dalam konteks semasa adalah untuk mengurus sumber biodiversiti secara lestari. Dalam hal ini, pengaruh ekonomi, sosio-politik dan budaya memainkan peranan yang sangat penting. Bukan tiada usaha dan langkah yang diambil oleh pihak kerajaan sebelum ini untuk mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi, namun ia dilihat masih belum mencukupi dan mampu menyelesaikan segala konflik yang dihadapi oleh alam sekitar dan sumber biodiversiti.
Misalnya, kerajaan telah mengambil beberapa langkah iaitu mengaplikasikan teknologi hijau bagi pengeluaran tenaga dan sistem pengangkutan yang lebih bersih, sistem kumbahan berpusat, pengurusan dan pelupusan sampah yang lebih baik dan menggalakkan corak penggunaan dan pengeluaran yang lebih lestari. Usaha-usaha ini perlu diteruskan dan diperkemaskan dengan melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa agar ia lebih memberi impak kepada kelestarian biodiversiti pada masa hadapan.
Selain aspek pengurusan, antara perkara yang menjadi dilema dan perlu diberi perhatian yang serius adalah aspek penguatkuasaan. Segala kekangan yang melibatkan kos dan tenaga kerja yang tidak mencukupi untuk mempergiatkan lagi penguatkuasaan perlu diatasi dengan segera. Ini kerana, tiada gunanya kita mempunyai pelbagai akta dan enakmen yang begitu lengkap jika penguatkuasaan lemah atas alasan-alasan yang masih mempunyai jalan penyelesaian. Justeru, jumalah dana yang besar perlu diperuntukkan bagi memastikan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Manakala dalam konteks pendidikan semasa, walaupun didapati pendidikan alam sekitar sudah pun diterapkan melalui strategi merentasi kurikulum, namun ia juga dilihat masih kurang memberi impak. Perkara ini perlu dikaji dan diperhalusi dengan lebih mendalam agar satu transformasi dapat dilakukan bagi memastikan matlamat pendidikan alam sekitar berjaya direalisasikan dan mampu memberi impak yang lebih besar pada masa datang.
Mungkin dalam hal ini, pihak kementerian sudah boleh memikirkan untuk mewujudkan mata pelajaran berkaitan alam sekitar dan biodiversiti secara berasingan dan menjadikannya sebagai mata pelajaran teras yang mensyaratkan pelajar wajib lulus bagi melahirkan generasi pelapis yang mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap aspek pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti, sekali gus membudayakan amalan pemuliharaan dalam kehidupan seharian.
Sudah tiba masanya kita meletakkan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dan sumber biodiversiti sebagai matlamat utama dalam kehidupan kita serta berusaha menjaga dan menyelamatkan khazanah yang tidak ternilai ini daripada terus dimusnahkan. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Dunia ini indah dan segar dan sesungguhnya Tuhan Yang Maha Kuasa (yakni Allah SWT) telah menjadikan kamu sebagai penjaganya, dan Dia melihat apa yang kamu lakukan” (Riwayat Abu Said Al-Khudri).
Daripada hadis di atas, ia jelas menunjukkan bahawa setiap lapisan masyarakat perlulah sedar bahawa setiap apa yang dikurniakan oleh Allah SWT di atas muka bumi ini haruslah dipertahankan dan tidak boleh dieksploitasi serta dizalimi dengan sesuka hati mengikut hawa nafsu. Ini kerana, dikhuatiri kerakusan pengeksploitasian secara berlebihan ke atas sumber biodiversiti akan membawa padah yang lebih besar kepada kehidupan manusia sejagat. Justeru, usaha pengurusan dan pemuliharaan biodiversiti secara mapan dan lestari adalah perlu bagi menjamin kewujudan sumber-sumber berkenaan secara berterusan untuk pembangunan tamadun dan juga kelangsungan hidup generasi akan datang.