Umum sedia maklum bahawa kegemilangan Tamadun Islam dipacu, antara lain, oleh perkembangan pesat dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Seiring dengan perkembangan ilmu ini, muncul tokoh-tokoh ilmuwan hebat yang nama mereka disebut-sebut sehingga hari ini.
Jika kita lihat kepada tokoh-tokoh silam ini, mereka mampu menjalankan pelbagai kajian dan menulis puluhan malah ratusan buku mengenai bidang mereka. Kebanyakan daripada mereka juga dikenali sebagai polymath iaitu orang yang menguasai banyak cabang ilmu. Semua ini mereka berjaya capai tanpa keselesaan dan kemudahan yang kita nikmati pada zaman moden ini.
Bayangkan bagaimana tokoh-tokoh silam ini dapat menghasilkan karya-karya agung ilmu tanpa tenaga elektrik, komputer, internet dan seumpamanya. Ada antara mereka yang hidup pada zaman yang sukar. Namun, hasil kerja tokoh-tokoh ini menjadi rujukan sehingga ke hari ini. Malah, ada yang menghasilkan karya-karya ilmu yang mendahului zaman sehingga mereka diiktiraf sebagai pelopor bidang ilmu tersebut.
Seorang tokoh yang dikenali dalam bidang kartografi iaitu al-Idrisi telah menghasilkan satu peta yang amat jitu pada abad ke-12. Peta al-Idrisi yang dikenali dengan nama Tabula Rogeriana memuatkan benua-benua yang diketahui pada waktu itu iaitu Eropah, Asia dan bahagian utara Afrika. Menariknya peta al-Idrisi ini mengandungi maklumat-maklumat geografi yang begitu terperinci termasuk bentuk muka bumi seperti sungai, tasik, lautan, gunung-ganang dan banjaran.
Jika kita mengkaji peta al-Idrisi ini, kita pasti kagum dengan kemampuan seorang yang hidup pada abad ke-12 untuk menghasilkan peta seteliti itu tanpa bantuan komputer, internet atau satelit. Inilah antara kehebatan tokoh-tokoh dahulu yang begitu tekun dan teliti dalam menjalankan kajian mereka.
Jelas sekali banyak pengajaran yang boleh kita peroleh daripada tokoh-tokoh hebat zaman lampau. Kita tidak wajar sekadar berseronok atau berbangga dengan kehebatan tokoh-tokoh ini tanpa mengambil ibrah dan iktibar daripada mereka. Tidak cukup jika kita cuma menyebut-nyebut nama dan sumbangan mereka. Sebaliknya perlu ada usaha untuk mengkaji dan mengenal pasti rahsia kejayaan tokoh-tokoh ini supaya umat Islam zaman ini juga mampu bangkit dan menempa kehebatan seperti tokoh-tokoh terdahulu.
Dalam konteks penguasaan ilmu sains, umat Islam pada hari ini masih jauh ketinggalan. Di negara kita juga, polemik penguasaan sains sering diperkatakan. Pelajar-pelajar di peringkat sekolah dilihat kurang berminat kepada sains sehingga menyaksikan jumlah pelajar aliran sains menurun setiap tahun. Hasrat untuk mencapai nisbah 60:40 bagi pelajar sains kepada pelajar sastera nampak seperti sukar untuk dicapai kerana nisbah pada waktu ialah 30:70.
Ini seharusnya menjadi satu penggera untuk mengejutkan kita daripada tidur lena. Jika kita ingin menguasai bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), maka sudah sampai masanya kita melihat ilmu sains ini sebagai satu tuntutan fardu kifayah yang wajib dikuasai, dan bukan semata-mata subjek untuk peperiksaan.
Bidang sains itu amat luas, justeru perlu ada dalam kalangan umat Islam yang menguasai cabang-cabang ilmu tersebut. Jika ini gagal dilakukan, umat Islam akan terus-menerus menjadi pengguna dan terpaksa bergantung kepada ihsan orang lain.
Satu lonjakan kerangka minda perlu dilakukan bermula dengan pelajar-pelajar di sekolah. Tokoh-tokoh hebat daripada Tamadun Islam perlu diketengahkan sebagai teladan kepada pelajar-pelajar dalam memupuk minat terhadap sains. Namun, hal ini perlu dilakukan bukan sekadar dengan memaparkan nama dan sumbangan tokoh-tokoh tersebut.
Perkara yang lebih utama yang perlu dilakukan adalah untuk memperkenalkan tokoh-tokoh ini dengan menyerlahkan kehidupan, perwatakan dan cabaran yang mereka hadapi bagi mendorong pelajar-pelajar supaya mencontohi kesungguhan dan ketekunan mereka.
Dalam kata lain, kita tidak lagi sekadar bernostalgia dengan kehebatan tokoh silam, sebaliknya kita berusaha untuk melahirkan tokoh-tokoh hebat pada zaman ini.