SEMINAR Waqaf yang diadakan di Johor Bahru pada 18 Jun lalu adalah amat sesuai dengan masanya. Ketika manusia dan dunia seluruhnya sedang giat bersaing untuk kepentingan diri dan gelojoh dengan sifat kebendaan melulu tanpa batasan, maka wajarlah pembicaraan tentang ajaran agama yang mempunyai hubungan dengan sifat tamak dan haloba manusia itu diulangkan perdebatannya.
Umat Islam benar-benar akan menjadi umat yang cemerlang dan maju sekiranya segala falsafah dan visi Islam yang dipancarkan melalui ibadat khusus seperti sembahyang, puasa, zakat, haji dan sebagainya dapat direalisasikan dalam kehidupan mereka keseluruhannya. Bukan hanya ia menjadi slogan dan perbincangan akademik yang tidak berpijak di alam nyata.
Unsur pendidikan yang seharusnya diresapkan ke dalam jiwa raga dan segala aktiviti kehidupan oleh ibadat khusus itu, tidak banyak kelihatan diterjemahkan ke dalam bentuk amalan dan pelaksanaan dalam masyarakat Islam.
Orang Islam tidak mengamalkan budaya suci dan bersih, menghormati dan mengurus waktu dengan baik, serta berdisiplin dalam segala tindakan mereka. Walhal ciri-ciri inilah yang seharusnya diamalkan oleh orang Islam yang menunaikan ibadat sembahyang mereka saban hari siang dan malam.
Ibadat inilah yang dapat mendidik mereka menjadi umat yang berdisiplin, mementingkan kebersihan dan kesucian, menepati waktu, menguruskan masa dengan baik dan sebagainya.
Unsur inilah juga yang saya tekankan ketika mengalu-alukan peserta Seminar Wakaf tersebut, iaitu bagaimana tindakan yang seharusnya dilakukan dalam usaha menghayati falsafah amalan wakaf itu sendiri dari segi komitmen dan tingkah laku orang Islam dalam kehidupannya.Saya tegaskan bahawa selain daripada membicarakan sumbangan ibadat wakaf dari segi pahala dan balasannya pada hari akhirat, sumbangannya kepada ekonomi dan peningkatan kehidupan umat, kita haruslah juga cuba menghayati falsafah waqaf dan ibadat yang berkaitan dengan pemindahan hak milik harta kepunyaan individu atau keluarga tertentu kepada pihak lain sebagai satu amalan yang dituntut oleh agama Islam yang suci.
Allah s.w.t menyebut di dalam al-Quran surah Ali-Imran ayat 92 bermaksud:
“Kamu sekali-kali tidak akan mencapai kebaikan (yang sempurna) sehingga kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu sayangi. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya”
Ayat ini jelas menerangkan bahawa tabiat kejadian manusia adalah amat mencintai dan menyayangi harta benda. Kecintaan ini boleh membawa kepada sifat cintakan benda dan harta serta wang secara melulu dan melampau, terutamanya yang dihasilkan dengan segala susah payah dan mengeluarkan keringat yang banyak.
Maka di sinilah datangnya peranan ibadat dan perintah Allah kepada hamba-Nya agar mereka dapat memindahkan sebahagian kecil harta kesayangannya itu kepada orang lain, kerana wakaf bererti memindahkan hak milik harta kepunyaan seorang individu atau kumpulan kepada pemilik yang lain.
Manusia yang tidak beriman dan tidak menyedari akan kewajipannya kepada Allah s.w.t akan merasa amat keberatan untuk memberikan hartanya walau sekecil mana sekalipun kepada orang lain.
Tetapi agama menuntut ia berbuat demikian, malah mewajibkan zakat ke atas orang tertentu yang dianggap mampu untuk membantu orang lain, maka keimanan dan keikhlasan kepada ajaran agama inilah yang mendorong orang Islam membayar zakat dan mengerjakan amalan wakaf.
Maka peranan wakaf dan zakat ialah untuk melonak dan mendidik nafsu manusia biasa agar mempunyai perasaan bertanggungjawab dan dengan itu akan sanggup berkorban dengan harta benda kesayangannya untuk kepentingan orang lain, terutamanya untuk kepentingan umum atas prinsip beramal kerana Allah s.w.t.
Sebab itulah telah dijelaskan bahawa dalam zaman moden ketika manusia kelihatan telah melutut di bawah tuntutan badani dan nafsunya, sehingga bersikap terlalu mementingkan kepentingan diri sendiri dan mementingkan kekayaan dan kemewahannya sahaja.
Oleh itu adalah amat baik sekali sekiranya peringatan dan pengajaran daripada falsafah ibadat zakat dan wakaf ini dapat dibicarakan dengan bersungguh-sungguh dari sudut praktis dan penghayatannya untuk kesedaran umat Islam sendiri.
Sifat gelojoh dan tamak haloba kebendaan pada masa kini banyak menghancurkan nilai-nilai kemanusiaan dan kerohanian masyarakat Islam umumnya. Kita di negara ini telah merasai percikannya yang membimbangkan.
Kesungguhan kerajaan untuk memerangi gejala ini nampaknya tidak banyak memberi kesan yang positif, malah manusia kita nampaknya menjadi semakin ghairah mencari kepentingan sendiri tanpa puas, dan hal inilah yang berlaku dalam dunia korporat, perniagaan, politik dan lain-lain yang dimanifestasikan di dalam gejala rasuah, pecah amanah, penyalahgunaan wang awam, politik wang, penipuan modal dan deposit orang ramai dalam skim piramid dan cepat kaya dan berbagai-bagai aktiviti lain yang keseluruhannya menggambarkan kegelojohan nafsu manusia untuk membolot kekayaan untuk diri sendiri.
Penyelesaiannya yang tinggal bagi orang Islam ialah menyusun agenda pendidikan secara formal dan tidak formal bagaimana caranya mengatasi sifat gelojoh dan tamak haloba manusia ini.
Bagaimana falsafah ibadat Islam hendak dihayati dan dipraktikkan sehingga manusia akan tunduk kepada nilai dan akhlak yang mulia menggantikan nafsu dan tuntutan badaninya yang tidak terbatas.
Seminar-seminar seperti ini diharap dapat menyelam lebih jauh ke dasar pemikiran dan kerohanian manusia yang tidak semestinya hanya berbincang tentang ekonomi dan peningkatan kekayaan, tetapi tidak sampai membicarakan juga masalah hati nurani dan tuntutan suci agama yang seharusnya menjadi darah daging manusia dalam segala aspek kehidupannya.
Kalau hal ini gagal dibicarakan, maka akan lebih banyak salah laku akan berlaku, akan banyak lagilah isu rasuah, politik wang, monopoli kekayaan, pecah amanah dan sebagainya yang akan melanda masyarakat kita.
Maka pada masa itu akan lebih banyaklah kehancuran dan kerosakan yang akan melanda masyarakat dan negara kita di tangan dan nafsu orang-orang yang gelojoh serta tamak haloba.