‘Berilmu, bersuara, bertindak’ begitulah tema sambutan Hari Wanita Sedunia Kebangsaan yang telah diadakan pada 8 Mac lalu di Kuching, Sarawak. Walaupun tema pada kali ini masih lagi menekankan kepada usaha menghentikan keganasan terhadap wanita, bagi saya, tema ini amat baik sekali dan ia seharusnya dihayati oleh semua wanita dan bukan sahaja oleh mereka yang tertindas dan teraniaya.
Tema ini menunjukkan bahawa berilmu sahaja tidak memadai, sebaliknya, wanita perlu menggunakan ilmu yang mereka ada dengan bersuara dan bertindak agar mereka mendapat hak-hak yang telah ditetapkan. Ilmu yang ditekankan di sini adalah ilmu yang berkaitan dengan hak-hak mereka. Bagi wanita-wanita yang bernasib baik pula, mereka perlu menggunakan ilmu yang ada untuk membantu wanita-wanita yang kurang bernasib baik melalui pernyatuan suara dan tindakan yang berkesan.
Melihat tema ini dari perspektif Islam, saya kira Islam amat mengalu-alukannya. Dari segi wanita berilmu, kita tahu bahawa Islam menuntut umatnya, tidak kira lelaki mahupun perempuan, untuk menuntut ilmu. Dari segi itu, wanita Malaysia amat beruntung kerana dari dahulu lagi negara kita telah memberi peluang kepada semua warganya untuk menuntut ilmu hingga ke peringkat yang tertinggi tanpa mengira jantina.
Namun, apa yang perlu dibetulkan ialah tentang hakikat bahawa pencarian ilmu tidak terhenti selepas keluar dari institusi pendidikan formal. Banyak lagi ilmu yang perlu dipelajari yang perlu dicari melalui pembacaan atau majlis-majlis ilmu yang lain. Contoh yang mudah, ilmu tentang hak-hak wanita tidak pernah diajarkan secara formal kecuali bagi mereka yang mengambil subjek wanita di institusi pengajian tinggi (IPT).
Sehubungan dengan konsep ilmu ini juga, kita perlu sedar bahawa ilmu perlu dikongsi untuk kebaikan bersama. Jika kita boleh berkongsi gosip terkini tentang seseorang artis, mengapa kita tidak boleh berkongsi ilmu baru yang bermanfaat yang telah kita perolehi? Sebenarnya terdapat banyak cara untuk berkongsi ilmu. Misalnya, memberi orang lain membaca majalah berinformasi yang telah kita beli atau mengedarkan maklumat berguna melalui email yang boleh diedarkan pula oleh orang yang berikutnya.
Dari segi bersuara dan bertindak, saya kira Islam juga mengalu-alukannya kerana ini merupakan aplikasi ilmu yang kita miliki. Ilmu yang ada bukan sahaja dituntut diajarkan (dikongsi) kepada orang lain, yang lebih penting lagi, ilmu itu perlu digunakan untuk mengelakkan diri (sendiri dan orang lain) dari kemudharatan. Oleh itu, jika wanita menggunakan ilmu yang ada untuk membantu wanita lain yang teraniaya melalui penyatuan suara dan tindakan yang berkesan, ini amat digalakkan oleh Islam
Dalam hal bersuara dan bertindak ini, ada dua perkara yang perlu diberi perhatian oleh wanita. Pertama, keberanian menyuarakan hak. Kedua, strategi bersuara dan bertindak.
Tidak semua wanita berani menyuarakan ketidakadilan yang berlaku kepada mereka. Namun, ini mungkin dapat diatasi setelah berbincang dengan teman-teman lain yang memberi semangat dan sokongan.
Strategi juga penting. Wanita yang bersuara dan bertindak mengikut emosi seringkali tidak mendapat apa yang mereka inginkan. Sebaliknya wanita yang bersuara dan bertindak secara bijaksana, seringkali mendapatkan apa yang dihajati. Oleh itu, dalam usaha untuk bersuara dan bertindak, perbincangan dengan rakan-rakan lain adalah perlu agar kita dapat sampai kepada satu startegi yang terbaik yang membolehkan bukan sahaja suara kita didengari, tetapi juga membuatkan si pendengar ingin membuat perubahan demi kebaikan bersama.
Bersuara dan bertindak dengan penuh strategi bukanlah sesuatu yang asing dengan wanita Islam. Sejak zaman Rasulullah s.a.w. lagi, wanita Islam telah dengan berani bersuara dan bertindak demi hak mereka. Misalnya, kita pernah terbaca kisah di mana wanita Islam meminta Rasulullah menetapkan masa yang khusus untuk mereka belajar agama dari Baginda agar mereka tidak perlu berebut dengan kaum lelaki untuk bertanya soalan. Alhamdulillah, Rasulullah s.a.w. memperkenankan permintaan tersebut.
Begitu juga, ada kisah di mana sekumpulan wanita memilih seorang wakil untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka kerana kaum lelaki berpeluang untuk mendapatkan banyak pahala melalui aktiviti di luar rumah, sedangkan mereka (kaum wanita) hanya tinggal di rumah menguruskan keluarga.
Wanita di zaman itu juga menggunakan strategi. Misalnya, sekumpulan isteri Rasulullah s.a.w. pernah berasa tidak puashati terhadap sikap para sahabat yang sering menghantar buah tangan ketika Rasulullah bermalam di rumah Aisyah. Untuk menyuarakan rasa tidak puashati itu, mereka telah memilih seorang isteri yang dirasakan boleh membawa mesej itu dengan baik dan berkesan. Bila wakil itu gagal, mereka menghantar pula anakanda Baginda, Fatimah, dengan harapan ada perubahan berlaku memandangkan Rasulullah s.a.w. amat menyayangi Fatimah dan tidak akan menghampakannya.
Ini jelas menunjukkan bahawa dalam bersuara dan bertindak, strategi amat penting. Untuk mendapatkan apa yang dihajati, usahakanlah dengan penuh bijaksana bak menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berserakan.
Satu perkara lagi yang perlu diberi perhatian oleh semua wanita dan lelaki ialah hakikat bahawa keadaan wanita di negara ini tidak akan berubah jika hanya wanita yang menghayati tema ini. Apa yang lebih penting ialah persekitaran yang menyokong dan kondusif. Tiada gunanya wanita menghayati tema ini jika suara dan tindakan mereka seumpama anjing menyalak bukit. Wanita si zaman Rasulullah s.a.w. berjaya melalui suara-suara mereka kerana Baginda mendengar apa yang disuarakan dan bertindak mengikut keperluan suara-suara itu. Betapa receptivenya Baginda terhadap suara-suara wanita, begitulah juga kita harapkan kaum lelaki di negara ini.