Adakah satu perkataan yang paling sesuai untuk menggambarkan perasaan umat Islam di seluruh dunia apabila Iraq tumpas di tangan tentera penceroboh? Tiada. Itulah jawapannya kerana amat sukar untuk kita untuk mencari satu perkataan yang tepat lagi sesuai bagi menggambarkan perasaan itu. Lebih-lebih lagi dalam keadaan di mana negara-negara Islam seluruh dunia tidak berdaya untuk berbuat apa-apa akibat sekatan dan tekanan kuasa besar ekonomi dunia iaitu Amerika Syarikat (AS). Umat Islam seluruh dunia bagai diikat tangan mereka daripada bertindak menentang kekejaman regim tentera bersekutu itu. Hanya ucapan simpati yang mampu dihulur dari kejauhan.
Pada 9 April 2003, pemerintahan lebih 24 tahun regim Saddam Hussein akhirnya tumpas apabila kota Baghdad berjaya ditawan tentera bersekutu. Selang beberapa hari kemudiannya, Bandar Tikrit, bandar kelahiran Saddam dan merupakan kubu kuat beliau juga turut tumpas di tangan tentera penceroboh. Maka dengan itu Iraq dikatakan telah bebas dari cengkaman kekejaman Saddam. Walaupun begitu, kemenangan secara rasmi masih belum diumumkan oleh White House. Pun begitu, rata-rata rakyat Iraq yang pro-AS telah dengan yakinnya bersorak di sana sini merayakan kekalahan Saddam. Patung Saddam yang tumbang dipijak-pijak dan dipecahkan. Malahan poster Saddam juga dikoyak dan dipukul-pukul dengan kasut mereka. Jelas betapa marahnya mereka.
Menyingkap kembali detik permulaan perang di Iraq ini, menyaksikan 17 Mac sebagai detik permulaan pencerobohan tentera bersekutu. Pada tarikh itu, Amerika Syarikat bersama Britain dan Australia menidakkan kuasa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan menyerang Iraq. Banyak perkara yang dapat dilihat sejak perang bermula. Di pihak tentera bersekutu, kekejaman yang telah ditonjolkan dengan menyerang dan mengebom Iraq sangat menyedihkan dan mencabar sifat kemanusiaan sejagat. Dalam masa yang sama, perang di Iraq menjadi satu pusat pameran kecanggihan peralatan perang tentera bersekutu. Ini merupakan satu faktor kenapa AS begitu yakin dapat menumbangkan Saddam dalam masa 48 jam sahaja. Sayangnya, niat itu tidak kesampaian.
Bagaimana pula di pihak Saddam dan rakyatnya? Yang pasti, Saddam cuba menunjukkan sikap seorang pejuang yang sejati. Dengan kekuatan tentera tidak sampai 60,000 orang, Saddam tahu yang beliau tidak mampu menentang musuhnya yang mempunyai kekuatan tentera seramai 250,000 termasuk peralatan peperangan yang serba canggih. Namun begitu, ibarat kata pepatah berpantang maut sebelum ajal. Saddam nampaknya mahu kalah dengan cara yang terhormat. Pun begitu, sehingga kini, kelibat Saddam gagal dikesan. Hilangnya ibarat batu jatuh ke laut. Yang tinggal cuma kisah pemerintahan beliau yang penuh dengan konflik, peperangan dan kekejaman.
Saddam dan kisahnya bukanlah satu-satunya perkara yang boleh dilihat akibat dari pencerobohan ini. Kisah yang lebih malang perlu dilihat dari perspektif rakyat Iraq sendiri. Kos yang perlu mereka bayar terlalu tinggi sehingga tidak terlafaz dalam bentuk angka tertentu. Kos yang dimaksudkan ini adalah dalam bentuk kehilangan nyawa, harta benda, kehidupan dan jati diri. Dalam tempoh masa lebih 30 hari pencerobohan tentera bersekutu ini, setiap hari di dada-dada akhbar dipaparkan kisah penderitaan rakyat Iraq. Anak-anak kecil menangis meratapi kehilangan ibu bapa. Si ibu dan ayah meraung kesedihan bila kehilangan permata hati tercinta. Mereka yang cedera tetapi masih berpeluang melihat dunia termenung jauh dan tidak pasti sama ada perlu gembira atau bersedih. Apabila membaca dan melihat paparan begini, manusia di seluruh dunia ibarat banto di londong air. Kesedihan sama-sama dirasai dan bantuan dihulurkan. Namun dapatkah kesengsaraan mereka diubati?
Kini, 24 juta penduduk Iraq berada di dalam era pasca perang. Fasa yang lebih dikenali sebagai fasa “haru-biru” menyaksikan Iraq berada dalam situasi kacau-bilau. Tanpa undang-undang kerajaan Saddam yang tersungkur, mencuri dan merampas harta benda menjadi hobi segelintir rakyat Iraq yang baru bebas. Kegilaan kegiatan mencuri paling di rasakan di kota Basra. Di sini kelihatan para pencuri menggunakan kereta sorong, lori pengangkut barang malahan basikal untuk mengambil apa sahaja yang mampu diangkut dari bangunan pejabat dan perniagaan. Wajah-wajah mereka ini bukan sahaja tersenyum girang menunjukkan barangan yang dicuri malah mereka seolah-olah bangga dengan perbuatan yang tidak bermoral dan dihina agama ini. Nampaknya kepayahan hidup dalam mengharungi peperangan menyebabkan manusia melupakan ketinggian moral dan tuntutan agama.
Banyak yang dapat dikutip dan dipelajari kesan dari pencerobohan ke atas Iraq ini. Ia membawa kita menilai jauh ke dalam diri agar perkara yang sama dapat dijauhi dari menimpa negara kita. Satu perkara yang paling berharga adalah memupuk perpaduan sesama manusia agar kekuatan diri, bangsa dan negara dapat dibina untuk menentang penjajahan alaf baru sebegini.
Di dalam Al-Quran, Allah swt telah berfirman, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah Al-Hujuraat: 13)
Ini jelas menunjukkan bahawa dalam negara berbilang bangsa seperti Malaysia, keperluan untuk bersatu padu adalah amat kritikal. Jika kita gagal mencapainya, dengan mudah sekali negara kita boleh dijajah dan diperkotak-katikkan seperti yang berlaku di Iraq kini. Tentu kita tidak mahu peristiwa penjajahan beratus-ratus tahun lamanya berulang kembali di Tanah Melayu. Di samping itu, perpaduan umat Islam seluruh dunia bersama umat manusia yang bukan Islam juga penting bagi menghalang tragedi di Iraq untuk berlaku lagi. Keserasian dan satu suara amat penting untuk mencapai kedamaian sejagat. Malangnya, keserasian inilah yang masih gagal kita capai sehingga menyebabkan tangan kita bagai ditindih yang berat, dililit yang panjang.
Selain itu, perpaduan sesama manusia perlu diikuti dengan perasaan kasih-sayang, berbaik sangka, bermaaf-maafan dan hormat-menghormati. Tidak kira apa juga warna kulit manusia di bumi ini, jika kasih sayang dapat dipupuk maka tiada satu faktor pun yang akan dapat memporak-perandakan kita. Aspek berkasih sayang, berbaik-baik serta saling memaafkan sangat dituntut dalam Islam. Jika kita berjaya mencapai tahap ini maka penindasan dan kekejaman sesama manusia pasti dapat dielakkan. Walaupun sesama musuh, kita tidak akan sampai hati untuk mencederakan dan membunuh insan lain atas nama peri kemanusiaan. Namun kini, perasaan begini tidak lagi wujud kerana kepercayaan terhadap agama telah pupus. Atas alasan inilah di muka bumi kini kekejaman berleluasa tanpa kawalan.
Selain perpaduan dan kasih sayang, kita juga perlu untuk membina kekuatan diri, bangsa dan agama. Hanya dengan kekuatan ini sahajalah kita mampu menangkis tekanan dari kuasa-kuasa besar yang cuba memperkosa tanah air kita. Kekuatan diri ini perlu dibentuk dari pelbagai sudut. Antaranya yang terpenting ialah kekuatan ilmu dan ekonomi. Dua faktor ini telah terbukti menjadi perisai yang berkesan menangani kekejaman masa kini. Malahan kuasa-kuasa besar seperti AS dan Britain menggunakan dua faktor ini untuk menjalankan niat buruk mereka terhadap negara-negara kecil dan lemah.
Berkait dengan ilmu, Rasullullah saw pernah bersabda bahawa “menuntut ilmu itu fardu ke atas setiap orang Islam, sama ada lelaki atau perempuan.” Untuk itu, umat Islam disarankan untuk “menuntut ilmu dari perut ibu sampailah ke liang lahat.” Rasulullah saw bersabda lagi bahawa “seseorang mukmin itu mestilah mempunyai dua sifat pemikiran. Pertama ‘kaiyasah’, iaitu cerdik, dan kedua ‘fatanah’, bermaksud bijaksana.” Sifat cerdik merujuk kepada pencapaian ilmu yang tinggi berdasarkan ambilan ilmu yang betul, kefahaman jelas dan pengamalan benar. Pencarian ilmu yang tinggi ini merupakan satu proses tanpa henti. Ilmu dalam aspek ini tidak bermakna ilmu fardu ‘ain semata-mata seperti ilmu akidah dan ibadat, tetapi mencakupi ilmu fardu kifayah, membabitkan teknologi duniawi yang semakin berkembang. Oleh itu, kita perlu memperlengkapkan diri dengan segala bentuk ilmu terutama ilmu yang berkait dengan sains dan teknologi.
Dari segi ekonomi pula, kita perlulah membina kekuatan tersendiri agar suara kita dapat didengar dalam pencaturan dunia. Dengan kekuatan ekonomi ini juga, kita boleh membantu negara-negara Islam yang lain agar tidak terus ditindas oleh kuasa-kuasa besar. Kita belum lagi melihat sebuah negara Islam yang kukuh dari segi ekonominya, yang juga boleh bersuara bagi pihak negara-negara Islam seluruh dunia. Bukannya tidak ada negara Islam yang kuat dari segi ekonomi, namun kredibiliti negara-negara Islam ini masih belum terserlah. Iraq sendiri mempunyai kekuatan ekonomi yang tersendiri iaitu sumber minyaknya. Iraq dikatakan mempunyai 110 billion tong simpanan minyak. Jumlah ini tidak termasuk 58 telaga minyak Iraq yang masih belum dibangunkan. Jika ini dikira, simpanan minyak Iraq tentunya mencecah angka trillion. Inilah harta Iraq yang sangat didambakan oleh AS dan sekutunya.
Akhir sekali, dari penjelasan-penjelasan di atas jelaslah bahawa terdapat banyak pengajaran yang boleh dikutip dari pencerobohan terhadap Iraq. Banyak kepincangan yang dapat kita singkap dari peristiwa ini, namun yang paling penting ialah kelemahan dan kegagalan kita sebagai umat Islam sendiri telah menjadi salah satu faktor kepada penindasan dan kegilaan kuasa-kuasa besar menceroboh negara-negara kecil dan lemah. Kekalahan Iraq mengajar kita untuk melihat kepada kelemahan diri dan seterusnya berusaha untuk memperbaiki ‘kecacatan’ itu. Seterusnya, kita berharap pencerobohan Iraq ini tidak akan berlanjutan ke negara-negara Islam lain dan kekalahan Iraq ini tidak akan mencetuskan keganasan-keganasan lain yang boleh menggugat kesejahteraan hidup manusia lain di muka bumi Allah ini.