“Ibu merupakan madrasah pertama anak-anak.” Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Seorang wanita (isteri) adalah menjadi pemimpin bagi rumah dan anaknya, dan dia bertanggungjawab atas mereka” (Hadis riwayat Imam Bukhari). Ini bermakna, ibu yang berilmu akan dapat mendidik anak-anaknya dengan baik. Dalam konteks kesedaran alam sekitar, peranan ibu atau wanita umumnya penting dan perlu diketengahkan dalam usaha memulihara alam sekitar dan mencapai pembangunan mampan.
Peranan wanita dalam pemuliharaan alam sekitar telah mula dibicarakan sejak 1970-an lagi. Ramai pengkaji yang merujuk buku nukilan Ester Boserup, bertajuk Women’s Role in Economic Development sebagai satu penulisan awal yang mengenengahkan peranan wanita dalam pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar. Lanjutan itu juga, isu wanita dalam pemuliharaan alam sekitar turut menjadi agenda utama dalam pelbagai persidangan antarabangsa. Misalnya, dalam Agenda 21 yang diperkenalkan melalui Persidangan Bumi Rio 1992, mengiktiraf wanita sebagai ejen perubahan penting dalam pemuliharaan alam sekitar. Malah terdapat satu bab (bab 24) bertajuk Global Action for Women Towards Sustainable and Equitable Development yang khusus membicarakan tentang isu wanita dan pemuliharaan alam sekitar.
Deklarasi Rio pula telah menyenaraikan 27 prinsip atau asas bagi mencapai pembangunan mampan, dan salah satu prinsip tersebut dikhususkan kepada wanita. Prinsip itu menyebut bahawa “Wanita berperanan penting dalam pengurusan dan pembangunan alam sekitar. Oleh itu, penyertaan penuh mereka adalah penting untuk mencapai pembangunan mampan.” Selanjutnya, perbincangan tentang kepentingan wanita dalam agenda pembangunan mampan diteruskan dalam satu persidangan pada tahun 1995 yang juga dikenali sebagai Beijing Platform for Action. Ia mengandungi, 12 bidang utama telah disenaraikan untuk tindakan segera bagi memastikan keadilan dan peluang yang sama untuk wanita dan lelaki, sama ada kanak-kanak mahupun golongan dewasa.
Agenda wanita dalam pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan mampan terus mendapat perhatian sehingga kini. Walaupun pelaksanaannya agak perlahan namun ini tidak bermakna isu wanita dalam agenda pembangunan mampan tidak penting. Malah, wanita mendapat perhatian khusus dalam usaha ini kerana pelbagai kajian dan dapatan lapangan telah menunjukkan bahawa wanita lebih terkesan apabila berlakunya sesuatu bencana dan kemusnahan alam. Mereka juga memainkan peranan domestik yang penting dalam keluarga sehingga kadang kala menyebabkan wanita lebih terkesan apabila berlaku satu-satu isu alam sekitar. Ditambah lagi, ada pula yang melihat bahawa pengetahuan wanita terhadap persekitarannya wajar diberi perhatian untuk meningkatkan peranan mereka dalam pemuliharaan alam sekitar. Malah, dalam konteks penggunaan juga, wanita yang lebih mendominasi maka dengan itu isu pengunaan dan alam sekitar tidak boleh mengabaikan peranan wanita. Jelas bahawa, dari sudut pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan mampan, perbezaan peranan wanita dan lelaki dalam masyarakat menyebabkan wujudnya kesan, tanggungjawab, pengetahuan serta tindakan yang juga berbeza-beza untuk mengatasi kesan perubahan persekitaran terhadap wanita.
Perubahan alam sekitar memberikan kesan yang juga berbeza-beza kepada wanita mengikut lokasi mereka. Di negara-negara miskin dan sebahagian negara membangun, kesan terhadap wanita mungkin lebih ketara. Misalnya, di kawasan pedalaman di India, masih terdapat wanita yang perlu melakukan perjalanan yang jauh untuk mendapatkan bekalan air. Apabila berlakunya krisis air, yang berpunca daripada perubahan iklim, sumber air semakin sukar diperoleh dan wanita tersebut perlu melakukan perjalanan yang lebih jauh untuk mendapatkan air bersih. Namun, bagi Malaysia, isu wanita dan pemuliharaan alam mungkin sedikit berbeza. Walaupun masalah seperti di India ini mungkin wujud di kawasan pedalaman Malaysia, namun ia tidak begitu ketara. Isu wanita dan pemuliharaan alam sekitar di Malaysia boleh dilihat dari aspek wanita atau ibu sebagai pengurus rumah tangga, isu penggunaan dan juga penglibatan wanita dalam membuat keputusan berkaitan pemuliharaan alam sekitar atau pembangunan negara.
Dari segi peranan wanita sebagai pengurus rumahtangga, wanita bertanggungjawab mengurus utiliti di rumah misalnya penggunaan air dan penggunaan elektrik serta turut menguruskan aspek makanan. Maka, melalui pendidikan, wanita boleh menjadi pengurus utiliti yang mesra alam serta boleh mendidik hal ini kepada ahli keluarga. Wanita selalu dikaitkan dengan aspek penggunaan. Dalam hal ini, jika mereka boleh dididik menjadi pengguna mesra alam, maka ini dapat membantu mengatasi bebanan penggunaan manusia dan kehilangan sumber alam.
Dalam proses membuat keputusan pula, peranan wanita tidak boleh diketepikan. Jika terdapat lebih ramai pembuat keputusan wanita dalam isu pemuliharaan alam serta pembangunan mampan, banyak isu yang khusus berkaitan wanita dan alam sekitar mungkin boleh dikenal pasti, diketengahkan serta diselesaikan. Berdasarkan data daripada Bank Dunia, Malaysia mempunyai hampir 15 peratus anggota wanita di Parlimen pada tahun 2020 walaupun pada hakikatnya golongan wanita membentuk lebih kurang 50 peratus daripada keseluruhan 32.7 juta penduduk. Adakah ini menjadi antara sebab usaha mengarus perdanakan agenda wanita dalam pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan mampan tidak menyerlah, malah isu-isu wanita dalam pelbagai permasalahan alam sekitar termasuklah bencana kurang diberi perhatian?
Berdasarkan perbincangan di atas, adalah penting untuk mengetengahkan isu wanita dalam pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan mampan. Walaupun apa yang berlaku di negara ini berbeza dengan negara membangun lain seperti di benua Afrika atau di India, isu wanita dan tekanan alam sekitar masih wujud dan perlu dikenal pasti. Apatah lagi dalam keadaan dunia sedang berhadapan dengan masalah perubahan iklim. Apakah relevannya masalah tersebut dengan golongan wanita di Malaysia? Adakah isu-isu lain yang perlu diteliti dan dikenal pasti? Bagaimanakah peranan wanita boleh diperkasakan dalam usaha mencapai pembangunan mampan dan seterusnya memulihara alam ini? Inilah antara persoalan yang perlu dijawab dalam menjelaskan hubungan antara wanita, pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan mampan.