Teknologi digital difahami sebagai rangkuman perisian yang mengandungi maklumat secara digital. Maklumat tersebut boleh tersedia dalam bentuk digital yang boleh dimuat turun atau dimuat naik dan disebarkan di media elektronik seperti e-buku, video, lagu-lagu digital dan sebagainya. Kandungan digital ini boleh wujud dalam pelbagai bentuk seperti teks, audio dan video serta sebagainya. Sementara itu, kandungan digital yang mesra kanak-kanak pula sewajarnya difahami sebagai program atau kandungan dan perisian yang sesuai untuk kanak-kanak, dan akan memberikan kesan baik serta membantu perkembangan positif dalam diri kanak-kanak tersebut dari segenap aspek kehidupan mereka, baik fizikal, mahupun kognitif, sosioemosi dan psikospiritual. Sudah pasti, kandungan tersebut perlu patuh syariah, membawa kemaslahatan dan menghindari kemudaratan kepada pengguna iaitu kanak-kanak tersebut, dan kepada kehidupannya.
Pada masa sekarang, kandungan digital dalam bentuk video adalah yang lebih popular dan telahpun tersedia di sekeliling kita semua sama ada dalam bentuk audio-visual asli mahupun animasi. Walau bagaimanapun, kandungan digital animasi lebih digemari, terutamanya oleh golongan kanak-kanak dan remaja serta dewasa, dan kandungan tersebut mudah diperoleh dalam perisian permainan digital, katun dan sebagainya.
Bagi golongan kanak-kanak, kandungan dan teknologi digital memainkan peranan yang paling besar dalam kehidupan mereka. Hal ini dikatakan kerana mereka membesar dalam suasana era lantunan teknologi maklumat dan komunikasi yang lebih maju. Tambahan pula, dunia kini semakin beralih kepada kebergantungan terhadap teknologi digital dan kehidupan kini akan terus dipacu oleh platform teknologi digital.
Tidak dinafikan bahawa semua ini juga adalah kesan langsung akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia. Boleh dikatakan impak besar pandemik tersebut adalah apabila semua golongan kanak-kanak terpaksa bergelut dengan pembelajaran secara dalam talian (online) dan akhirnya merancakkan lagi pengaruh teknologi digital dalam kehidupan kanak-kanak tersebut. Sudah pasti ia mempunyai pengaruh dan pertalian secara langsung terhadap perkembangan mereka, sama ada secara fizikal, mahupun mental dan sosial serta tingkahlaku mereka.
Apabila membicarakan kesan dan pengaruh kandungan digital dan teknologi multimedia kepada perkembangan kanak-kanak, kandungan digital sememangnya amat mempengaruhi perkembangan diri dan kehidupan mereka sama ada secara positif mahupun negatif. Namun, yang lebih membimbangkan kesan negatif akibat penggunaan atau kebergantungan secara keterlaluan terhadap kandungan digital itu sendiri. Penggunaan atau kebergantungan terhadap penggunaan internet juga, lebih-lebih lagi apabila menjadi tidak terkawal sudah pasti akan mendatangkan kesan buruk kepada semua termasuk kanak-kanak. Walaupun ketika musim pandemik ini, ia bukan merupakan lesen untuk kanak-kanak lebih banyak menghabiskan masa di dunia Internet.
Amat membimbangkan ialah peningkatan jumlah masa kanak-kanak ketika mereka berada dalam talian. Berdasarkan kepada beberapa saranan golongan pakar dalam perkara ini, contohnya apabila dalam tahun 2013, American Academy of Pediatrics atau AAP pernah menyarankan agar anak-anak di bawah usia enam tahun dapat menghadkan penggunaan gajet mereka kurang dari dua jam sehari. Namun, dalam satu kajian di Malaysia yang pernah diterbitkan pada tahun 2020, didapati bahawa majoriti kanak-kanak prasekolah yang berusia di antara 5-6 tahun sebenarnya menggunakan gajet lebih dari dua jam sehari, iaitu melebihi saranan oleh persatuan pakar tersebut.
Penggunaan masa secara berlebihan memberikan kesan buruk kepada perkembangan diri kanak-kanak tersebut. Beberapa kesan buruk yang akan mereka alami adalah seperti masalah penglihatan terutamanya rabun jauh, akibat terlalu lama menonton bahan kandungan di dalam gajet mereka. Berdasarkan kepada laporan oleh CyberSecurity Malaysia pada tahun 2019, pengunaan alatan digital yang berlebihan juga boleh menyebabkan ‘Digital Eye Syndrome atau DES. Beberapa tanda DES termasuklah penglihatan menjadi kabur, ketegangan/keletihan mata, mata menjadi kering atau merah serta sakit kepala.
Selain itu, masalah fizikal dan saraf seperti kesakitan otot dan sendi, terutamanya jari tangan dan tulang belakang, turut berlaku kepada mereka akibat daripada penggunaan masa yang berlebihan yang akhirnya menjejaskan tahap kesihatan mereka. Di samping itu, terlalu lama di alam maya turut menjejaskan kemahiran sosial dan pengurusan emosi kanak-kanak terbabit akibat kurang pendedahan kepada aktiviti sosial secara fizikal.
Kebimbangan berikutnya adalah berkaitan perisian kandungan digital tersebut dan sekiranya lebih banyak mengandungi unsur negatif seperti keganasan, pornografi, kepalsuan dan jenayah kebencian serta sebagainya, sudah pasti kanak-kanak akan membesar dengan gaya hidup yang meyimpang seperti itu. Berhubung dengan isu kandungan digital mesra kanak-kanak ini, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian wajar oleh semua pihak terutamanya ibu bapa.
Hal ini dikatakan demikian kerana pada hakikatnya, terdapat beberapa perisian kandungan digital yang boleh meningkatkan risiko ketagihan kepada kanak-kanak. Ketagihan Internet, gajet dan permainan dalam talian pula didapati semakin meningkat dalam kalangan kanak-kanak dan remaja dan gejala ini perlu dikawal agar tidak melarat dan menjejaskan kesihatan serta perhubungan sosial mereka. Lebih membimbangkan lagi apabila dalam satu kajian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti McGill, Kanada, berkenaan penggunaan telefon pintar melibatkan 34,000 peserta dari 24 buah negara, dari tahun 2014 hingga 2020. Hasil kajian tersebut telah mendapati bahawa Malaysia menduduki tangga ketiga dalam senarai ketagihan penggunaan telefon pintar.
Namun, perkara asas yang perlu difahami adalah memberi keutamaan kepada aspek kemaslahatan dan mengelakkan kemudaratan dalam menikmati kandungan digital dan melayari internet. Bagi menerbitkan program dan kandungan digital yang mesra kanak-kanak, khususnya dalam pembentukuan sahsiah yang murni, tiada salahnya mengambil panduan kehidupan Rasulullah SAW dalam memberikan hikmah dan pelajaran yang sangat berharga bagi seluruh umat sepanjang zaman.