PERISTIWA 11 September yang berlaku di Amerika Syarikat merupakan satu lesen kepada Barat, khususnya Amerika, untuk mencari mangsa di kalangan manusia yang selama ini sering dianggap sebagai pengganas atau sering melakukan keganasan, iaitu orang Islam. Kalau pun bukan orang Islam yang melakukannya, tetapi mangsa yang diandaikan melakukan segala keganasan itu sentiasa dituding kepada orang Islam seperti yang pernah berlaku di bandar raya Oklahoma ketika bangunan pejabat kerajaan persekutuan AS diletupkan suatu masa dahulu.
Dalam kejadian yang terbaru ini pun, mangsanya juga akan dikenal pasti sebagai orang Islam, dan dengan itu maka segala tajuk berita di seluruh dunia, kempen-kempen permusuhan akan ditujukan kepada dunia Islam, dan akhirnya serangan secara besar-besar akan dilakukan ke atas negara Islam dan orang Islam seperti berlakunya serangan ke atas Afghanistan sekarang ini atas alasan untuk menghapuskan pengganas. Perasaan benci dan keji akan diluahkan kepada orang Islam. Orang Islam akan dimusuhi, dipandang serong dan dianggap seteru oleh orang lain. Mereka akan diganggu, tempat ibadat mereka akan diserang. Mereka akan diusir keluar dari kapal terbang kerana pihak penumpang tidak merasa selesa dengan kehadiran mereka, dan berbagai-bagai perkara lain yang berlaku kepada orang Islam yang amat memalukan dan menjejas maruah dan nama baik orang Islam dan agama ini.
Saya beranggapan bahawa keadaan inilah yang dikehendaki oleh musuh Islam, iaitu mewujudkan satu suasana yang dapat bertindak mengasingkan masyarakat Islam daripada masyarakat dunia. Masyarakat dunia dengan itu akan terus menerus memusuhi umat Islam serta memandang rendah kepada agama Islam itu sendiri. Dengan itu maka imej Islam itu akan berkekalan diprojekkan dalam gambaran yang amat negatif sebagai agama yang menggalakkan keganasan, dan orang Islam pula akan selama-lamanya dilabelkan sebagai umat yang cenderung kepada keganasan, tanpa tamadun dan berperikemanusiaan.
Maka peristiwa 11 September itu benar-benar dapat menjustifikasikan pandangan atau anggapan orang Barat terhadap umat Islam dan agama Islam ini sendiri, walaupun mereka sering menghebahkan bahawa Barat tidak menentang umat Islam dan agama Islam, tetapi yang mereka tentang ialah perbuatan ganas dan orang yang melakukan keganasan itu. Namun begitu, oleh kerana yang melakukan keganasan itu rata-ratanya telah diklasifikasikan oleh Barat sebagai orang Islam, maka pandangan dunia kepada orang Islam dan agama Islam tentulah tidak dapat lagi membezakan di antara pengganas dengan bukan pengganas, kerana pemikiran stereotaip yang telah dimantapkan di dalam benak orang ramai ialah orang Islam itu adalah pengganas dan agama Islam itu adalah agama ganas.
Inilah sebenarnya perangkap yang dipasang ekoran dari peristiwa 11 September itu, dan perangkap ini nampaknya amat menjadi dengan terjebaknya masyarakat Islam di dalam jerat yang telah dipasangkan itu. Perangkap pihak musuh Islam ialah untuk menjebak orang Islam supaya terus menerus menjadi umat yang berselisih faham dan berpecah belah. Masyarakat Islam juga seharusnya dijadikan sebuah masyarakat yang sering kacau-bilau tentang beberapa falsafah perjuangan mereka tentang keganasan, jihad, matlamat mengharuskan cara dan sebagainya. Perangkap itu juga akan menjadikan umat Islam terus menerus tertekan dalam berbagai-bagai aspek kehidupan mereka sama ada politik, ekonomi dan sebagainya, maka dengan itu umat Islam akan bertindak dengan cara yang tidak bertamadun kerana mereka telah menjadi umat yang dipinggirkan tanpa mempunyai ruang dan medan perjuangan yang halal. Umat Islam seterusnya akan menjadi umat yang defensif dan sentiasa merasa bersalah, sehingga dengan itu mereka akan berusaha mencari kesalahan orang lain sahaja tanpa mencerminkan kesalahan diri sendiri.
Maka dalam keadaan inilah saya rasa, kita perlu memikirkan secara serius dan berhati-hati, bagaimanakah seharusnya kita sendiri bertindak dalam menghadapi krisis yang amat malang itu, iaitu ketika orang Islam dan agama Islam sedang diuji dan dicabar begitu hebat sekali. Apakah kita juga perlu bertindak secara melulu dan gopoh gapah sehingga melupakan dasar agama kita yang mengagungkan tamadun dan peradaban. Apakah kita juga seharusnya menganjurkan demonstrasi besar-besaran secara ganas, menentang pihak keselamatan negara kita sendiri sehingga berkemungkinan mengorbankan beberapa nyawa tanpa memberikan sebarang hasil yang boleh mengubahkan keadaan?
Apakah kita juga seharusnya bertindak mengangkat senjata untuk berjihad bersama-sama dengan masyarakat menentang kekuatan tentera dan senjata canggih Amerika dan British?
Saya percaya bahawa agenda musuh Islam ialah untuk melahirkan reaksi umat Islam secara melulu dan tidak bertamadun. Agenda musuh Islam ialah untuk terus menerus menyisih umat Islam dari arus perdana pembangunan dunia sekarang yang mementingkan ilmu pengetahuan dan teknologi moden. Tanpa penyertaan umat Islam dalam pembangunan ilmu dan teknologi, maka umat Islam akan terus menerus berada dalam kemunduran dan kemiskinan, lemah dan mundur dalam semua aspek kehidupan. Ketika itu amatlah mudah mereka diperkotak-katikkan dan dijajah pemikiran dan pandangan hidup mereka secara berterusan.
Oleh itu saya rasa kita di negara ini haruslah memahami cara perjuangan dan tindakan kita sendiri dalam menghadapi pergolakan dunia akibat daripada peristiwa yang menimpa Amerika dan serang balas pihak Amerika ke atas Afghanistan. Kita tidak seharusnya malu untuk bertindak agak berbeza dari negara-negara Islam lain. Kita mestilah bertindak secara bertamadun dan peradaban, berasaskan pandangan hidup kita yang rasional dan mempunyai jati diri sendiri. Kita tidak seharusnya bertindak secara radikal dan militan sehingga mengorbankan kestabilan politik dan ekonomi negara. Dengan itu kita tidaklah dengan mudah diperdaya dan diperangkap oleh pihak musuh ke dalam jerat yang mereka pasang dan telah pun mengena mangsanya di dalam kebanyakan dunia Islam pada hari ini.