Teknologi Pertahanan kini terus berkembang maju tanpa batas. Kemajuan teknologi pertahanan ini sebenarnya dapat membina sesebuah tamadun dalam sejarah peradaban manusia. Jika dilihat dari segi sejarah, peringkat awal pertahanan menggunakan tentera berkuda. Tentera berkuda ini merupakan sebuah pasukan tentera yang berperang dari atas kuda. Namun, sejak Perang Dunia Kedua iaitu apabila munculnya penggunaan kereta kebal maka peperangan dari atas kuda ini telah berakhir.
Dari sudut sejarah, Perang Dunia Kedua merupakan perang terburuk umat manusia iaitu mulai tahun 1939 hingga 1945 yang melibatkan korban nyawa sebanyak 50-60 juta orang. Korban nyawa banyak ini sudah tentu berkait dengan teknologi-teknologi yang digunakan di dalam peperangan pada ketika itu.
Teknologi-teknologi peperangan yang digunakan ketika itu seperti kapal perang Tamato-Class buatan Jepun dianggap kapal perang paling kuat dengan muatan penuh sekitar 72,000 ton. Kereta kebal Tank T-34 merupakan kereta kebal yang pertama kali diperkenalkan oleh Soviet Union dan dianggap sebagai kereta kebal terbaik dunia yang mampu menangani berbagai-bagai bentuk muka bumi di medan peperangan seperti pergunungan dan hutan rimba dengan persenjataan yang mempunyai ketepatan tinggi. Roket V-2 merupakan roket jarak jauh pertama yang dihasilkan oleh orang Jerman. Roket ini mampu membunuh lebih dari 9,000 orang di sekitarnya. Inilah gambaran-gambaran teknologi pertahanan yang ada ketika itu.
Kini, teknologi pertahanan pada era Revolusi Industri Keempat menjurus kepada teknologi yang sangat berbeza seperti menggunakan automasi, analisis dan big data, simulasi, intergrasi sistem, awan, animasi, internet of things (IoT) dan seumpamanya yang jarang kita dengar dan telah memberikan satu definisi baharu kepada teknologi pertahanan. Apakah kekuatan sesebuah angkatan tentera itu masih lagi bergantung kepada banyaknya bilangan tentera, bilangan kapal perang, bilangan kereta kebal atau sebaliknya?.
Kekuatan sesebuah angkatan tentera pada era revolusi keempat ini telah jauh berubah iaitu era penggunaan robot bagi menggantikan kudrat tulang empat kerat manusia. Istilah robot ini berasal dari negara Czechoslovakia bermakna kerja cepat yang muncul pada tahun 1920 oleh Karel Capec. Terdapat berbagai-bagai istilah mengenai robot ini tetapi pengertian yang lebih tepat ialah sistem atau alat yang dapat bertindak atau meniru perilaku manusia dengan tujuan untuk menggantikan dan mempermudahkan aktiviti mereka. Secara kasarnya, robot dapat diklasifikasikan kepada robot industri, keselamatan (mencari dan menyelamat), perubatan, peperangan, permainan, pengangkutan, penyelidikan dan lain-lain.
Kalau kita lihat robot dalam konteks pertahanan, sebagai contoh di Rusia, iaitu berdasarkan informasi kementerian pertahanan Rusia yang mengumumkan menjelang tahun 2025, robot-robot akan mengisi 30% daripada keseluruhan teknologi senjata angkatan tentera Rusia.
Robot-robot yang digunakan oleh Rusia dalam peperangan adalah seperti Platform M yang bertindak dalam pertempuran dengan pihak musuh tanpa tenaga manusia. Penggunaan robot Volk-2 mempunyai peranan sama seperti plaform M tetapi Volk-2 lebih kuat dan lebih berat. Begitu juga robot Uran-6 yang berperanan sebagai pengesan dan penghapus periuk api atau lain-lain situasi yang merbahaya. Robot Strelok adalah merupakan mesingan yang dipasang di atas roda berantai. Dengan ukurannya yang kecil dan ringan iaitu hanya 500 kilogram, robot ini mampu menyerbu sasaran musuh. Kecepatan pergerakannya sama dengan langkah manusia iaitu empat kilometer per jam.
Selain robot, penggunaan dron adalah merupakan teknologi peperangan yang sedang giat dibangunkan pada era revolusi keempat ini.
Dron juga dikenali sebagai pesawat tanpa pemandu (UAV). Dron boleh dikawal sama ada oleh alat kawalan jauh atau melalui komputer. Jika dilihat dari sudut sejarah, kepesatan dalam pembangunan teknologi UAV berlaku antara 1980-an dan 1990-an.
Baru-baru ini sebuah syarikat di Amerika Syarikat (AS) yang telah mencipta dron yang bukan sahaja boleh mensasarkan sasaran tetapi boleh menembak dengan tepat pihak lawan. Dron yang dikenali sebagai Triad ini dilengkapi dengan mesingan dan pelancar bom dan digerakkan secara kawalan jauh. Menurut Ketua Eksekutif syarikat tersebut, dron ini dicipta bertujuan untuk mengurangkan kadar kematian dan kecederaan tentera negara mereka apabila menyerang negara lain. Situasi ini adalah merupakan pendekatan peperangan alaf baru.
Namun, menurut Profesor Noel Sharkey pakar dalam bidang robotik dan kecerdasan buatan, dron ini jika disalahgunakan akan membunuh orang yang tidak berdosa. Dari segi kronologi pembuatan dron, pada peringkat awal dron yang dihasilkan mempunyai saiz besar dan terbang beribu-ribu kaki tinggi untuk menyerang tetapi terkini dron yang dihasilkan mempunyai saiz lebih kecil dan dapat terbang rendah berhampiran dengan sasaran untuk membunuh.
Sehingga 2008, Tentera Udara AS telah menggunakan 5,331 UAV iaitu dua kali ganda lebih banyak dari jet pejuang dalam operasinya. UAV yang paling berjaya ialah Predator yang dilengkapi peluru berpandu. Dalam tempoh antara Jun 2005 hingga Jun 2006 sahaja, Predator yang dikawal menerusi satelit dari jarak lebih 12,000 kilometer, berjaya melakukan 2,073 misi dalam 242 serangan secara berasingan.
Akhir sekali, jika kita lihat dari perspektif Islam, konsep dron ini dapat difikirkan sebagaimana yang diceritakan di dalam Surah al-Fil iaitu bagaimana burung-burung itu melemparkan pasukan bergajah dengan batu panas dan beracun sehingga mereka diserang penyakit dan menemui maut. Pasukan bergajah Abrahah itu hancur bagai daun kayu dimakan ulat dan mereka akhirnya menemui ajal masing-masing. Dalam peristiwa ini, ia menunjukkan bagaimana serangan dari udara telah dilakukan. Peristiwa ini juga mengajar kita akan kebesaran Allah SWT yang dapat melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki.