DI SEBALIK LAUNGAN ALLAHU-AKBAR
Dalam masa tidak sampai dua tiga minggu yang lalu, dua kumpulan rakyat Malaysia yang berkumpul di dua tempat yang berbeza telah melahirkan tindakan yang amat berlainan sama sekali.
Kumpulan rakyat yang berkumpul di Stadium Nasional Bukit Jalil ketika menghadiri acara perasmian dan penutupan KL 98 yang berjumlah kira-kira seratus ribu orang berada dalam mood yang amat ceria, gembira dan dalam suasana patriotik, sepadu, cintakan negara dan pucuk pimpinan. Stadium Nasional Bukit Jalil merupakan refleksi tingkah laku kumpulan manusia yang bersikap positif dan berfikiran terbuka.
Tetapi berlainan keadaannya dengan kumpulan manusia yang berkumpul di rumah Allah yang suci, di Masjid Negara pada jangka masa yang hampir sama. Pekikan Allahu-Akbar yang bergema dengan hebatnya di kalangan kumpulan tersebut dilaungkan ketika menyambut kata-kata pedas dan ungkapan bersemangat yang mengandungi serangan dan bersifat konfrontasi.
Dengan itu nampaknya masjid yang biasanya sejak dari zaman Rasulullah S.A.W. lagi merupakan tempat yang suci dan aman, tempat untuk orang-orang lslam mencari perlindungan dan ketenteraman jiwa, tiba-tiba dicerobohi oleh golongan yang berpandukan emosi dan nafsu ammarah bagi menyuarakan satu “misi” perjuangan yang tidak jelas dan tanpa matlamat yang membolehkan mereka menggunakan masjid untuk menyuarakannya.
Lalu dengan itu tercatatiah dalam sejarah negara kita bahawa masjid sebagai tempat suci untuk keseluruhan umat lslam tanpa mengira latar belakang bangsa, ideologi politik dan status sosialnya, tiba-tiba menjadi tempat untuk menyuarakan sentimen satu golongan tertentu menentang satu kumpulan lain yang tertentu pula, maka dengan itu masjid tidak lagi berfungsi sebagai tempat untuk mencari perdamaian dan tidak lagi menjadi arena bersama untuk bermusyawarah bagi sesuatu cause dan perjuangan keseluruhan umat lslam tanpa kecuali.
Pernah kita dengari dari media massa bahawa di Timur Tengah, di atas nama “perjuangan” lslam, masjid pernah menjadi medan pertempuran sehingga tempat suci itu menjadi amat tercemar dengan darah para “pejuang” yang berlindung di dalamnya diserang oleh pasukan tentera yang juga bertindak kejam tanpa menghormati kesucian masjid.
Maka dalam hal ini kita menghargai usaha lembut yang dilakukan oleh pasukan keselamatan negara yang menggunakan kebijaksanaannya yang tinggi ketika menyurai perhimpunan di Masjid Negara oleh kumpulan yang tertentu minggu lalu. Kita berharap bahawa kehormatan masjid dari segi fizikal dan kerohanian haruslah dijaga dan dipelihara oleh semua pihak tanpa kecuali.
Amat mendukacitakan bahawa sejarah hitam negara kita telah tercatat dari segi penghayatan semangat lslam dan perlaksanaannya yang dihormati oleh kawan dan lawan selama ini. Imej lslam di Malaysia yang selama ini terpahat dengan baik dan murni, mungkin telah tercemar sedikit sebanyaknya oleh peristiwa yang berlaku itu, apa lagi bentuk perjuangan dan sebab musabab di belakangnya amat kabur dan bersifat sementara.
Di sebalik pekikan Allah Maha Besar yang dilaungkan oleh anak-anak muda yang berpakaian simbolik lslam, maka amat menyedihkan, bahawa tangan-tangan kumpulan ini juga yang bertindak liar memecahkan cermin-cermin harta awam yang tidak berdosa, dan mengugut untuk membakar kediaman ketua kerajaan. Tindakan ini tidak seharusnya dilakukan oleh para “pejuang” yang menggunakan nama Allah dan memakai pakaian perlambangan lslam. Tindakan ini wajar dilakukan oleh kumpulan yang memeras ugut dan yang tidak mempunyai sedikit pun harga diri serta tidak menghayati sebarang nilai kehidupan dalam diri mereka.
Negara kita tidak pernah menyaksikan para pejuang dan aktivis lslam menggunakan kekerasan dan keganasan untuk menyuarakan hasrat dan idealisme mereka. Sebarang aktiviti yang dilakukan mereka, biasanya mereka agak bebas untuk memilih cara dan temanya, malah dalam menyuarakan cita-cita perjuangannya, mereka juga agak bebas menerbitkan media mereka. Oleh itu agak ganjil sekali, tiba-tiba masyarakat negara kita menyaksikan “gerakan” yang samar-samar ini muncul dalam bentuk yang agak radikal dan tidak pernah berlaku di negara kita, apa lagi ianya dilakukan di celah-celah kegemuruhan pekikan Allah Maha Besar.
Amat malang hal ini berlaku ketika negara kita masih berupaya menyuarakan cita¬cita perjuangan lslam dan negara-negara lslam yang sedang mencari keadilan di kalangan dunia antarabangsa, dan dalam usaha mengeratkan hubungan dengan Eropah dan Amerika, dua buah kuasa yang sering mengalami kesalahfahaman yang serius tentang lslam dan umatnya akibat propaganda media mereka yang sentiasa menonjolkan gambaran negatif dan “stereo-type” tentang lslam, maka orang-orang Eropah dan Amerika sering terpengaruh dengan gambaran ini sehingga melihat lslam sebagal agama radikal dan ganas.
lslam yang dilaksanakan dan dihayati di Malaysia, masih dilihat sebagai agama yang penuh toleransi dan hikmah. Dalam akhbar tempatan keluaran 27 September, 1998 tersiar satu kenyataan B.L. Pascoe, bakal duta Amerika Syarikat ke Malaysia, yang berbunyi “… Amerika Syarikat juga menganggap Malaysia sebagai mewakili suara sederhana dan toleransi lslam di kalangan dunia lslam umumnya”. Dengan itu beliau mengharapkan bahawa dari aspek ini Amerika Syarikat akan banyak mendapat manfaat dan kebaikan dari hubungan baik ke dua buah negara.
Agak memeranjatkan juga bahawa pada 21 September, 1998 ketika berucap di perhimpunan Agong Bangsa-bangsa Bersatu, Presiden Amerika Syarikat menyatakan” ‘” amatlah salah untak menganggap bahawa pertikaian di antara lslam dan Barat tidak dapat dielakkan. Oleh itu orang-orang Amerika Syarikat menghormati lslam dan ketika berbicara tentang keganasan maka di sana tidak seharusnya wujud pemisahan di antara lslam, Yahudi, Katolik, Protestan, Serbia, Albania, negara mambangun dan negara maju”.
Pandangan Presiden ini nampaknya agak meningkat dan lebih menyentuh alam nyata tentang lslam dan orang-orang lslam. Oleh itu kita di Malaysia seharusnya lebih banyak bergerak ke hadapan sebagai umat yang lebih bertamadun, bukan mundur ke belakang seperti yang berlaku dalam dua tiga minggu yang lalu, apa lagi ianya dilakukan di sebalik laungan Allahu-Akbar dan demonstrasi yang liar.