Ditulis oleh Wan Roslili Bt. Abd. Majid . Diterbitkan
Kebersihan dan kesihatan sentiasa bergandingan. Saling berkaitan dan berangkaian. Justeru, apabila beberapa penyakit silih berganti seperti denggi, kencing tikus, dan yang terkini, demam kepialu melanda masyarakat negara ini, pantas sahaja kita dapat merumuskan sebab atau punca sebenarnya. Punca yang dimaksudkan tidak lain selaina ketidakprihatinan atau pengabaian persoalan kesihatan oleh sebahagian kita. Seandainya punca utama ini gagal untuk ditangani, maka selamanya permasalahan yang sama akan berulang kali kita hadapi. Apa yang lebih menyedihkan kita ialah pengabaian aspek kebersihan ini turut atau dalam banyak keadaan, membabitkan masyarakat Islam, bukan sahaja di negara ini, malah juga di seluruh dunia Islam. Bahkan lebih mendukacitakan, ketidakprihatinan tersebut bukan sahaja melibatkan diri, tempat tinggal, persekitaran, bahkan juga masjid sebagai tempat ibadah. Maka pelbagai kisah, daripada hamparan sehinggalah bilik airnya, sering didengar dan diperkatakan orang.
Selain itu, khabarnya ketidakprihatinan umat Islam terhadap aspek kebersihan juga begitu jelas semasa musim haji yang lalu. Timbunan sampah-sarap jelas boleh dilihat di beberapa buah lokasi tertentu seperti di Mina dan Jabal Nur. Anehnya, sebahagian jemaah hanya berkesanggupan untuk membawa botol yang berisi minuman semasa mendaki bukit yang merupakan tempat pertama wahyu diterima itu namun tidak sanggup pula membawa botol yang telah kosong ke bawah untuk dibuang di tempat yang sewajarnya. Disebabkan ketiadaan tong sampah di puncak bukit tersebut, maka sebahagian jemaah haji membuang botol-botol minuman yang telah kosong dengan sewenang-wenangnya. Adakah itu petanda bahawa kesukaran sanggup dipikul jika ia bagi memenuhi kepentingan diri semata-mata? Namun jika telah tiada lagi kepentingan untuk diri, maka bebanan atau kesulitan dilepaskan begitu sahaja. Pemandangan jelek seumpama itu sudah pasti mencemari ibadah yang dijalani oleh jemaah haji. Betapa kembara rohani yang dijalani mereka belum sepenuhnya dapat dihayati. Sayang sekali jika matlamat ibadah haji tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Antaranya bagi menyemai sifat berkorban yang tinggi dalam diri setiap individu yang melaksanakannya.
Umat Islam seharusnya berasa malu akan bangsa-bangsa lain yang tidak pun diberikan petunjuk melalui ajaran agama mereka tentang kebersihan dan penyucian. Bangsa Jepun misalnya tidak memperoleh kelebihan sebagaimana yang dikurniakan kepada umat Islam. Namun mereka ternyata meninggalkan umat Islam jauh di belakang dalam persoalan yang amat penting itu. Budaya luhur yang dimiliki mereka dalam penjagaan kebersihan telah memasyhurkan nama bangsa dan negara mereka ke serata pelosok dunia. Malah ke mana sahaja mereka berada, budaya itu sentiasa dibawa bersama. Dengan demikian, tidak hairanlah jika kita mendengar para remaja dan pemuda-pemudi Jepun yang menyaksikan perlawanan bola sepak dalam Piala Dunia tidak segan-silu untuk mengutip sampah sebaik perlawanan berakhir walau tidak diminta oleh sesiapa!
Kepentingan penjagaan kebersihan ditekankan oleh al-Qur’an dan Hadith-Hadith Nabi SAW. Al-Qur’an misalnya menegaskan bahawa Allah SWT mengasihi orang yang banyak bertaubat dan orang yang sentiasa menyucikan diri (Surah al-Baqarah, ayat 222). Dalam ayat yang lain pula, al-Qur’an menghuraikan kewajipan berwuduk, iaitu penyucian anggota tubuh tertentu sebagai persediaan untuk mendirikan solat. Dengan kata-kata lain, wuduk merupakan syarat sah solat. Manakala Baginda SAW menegaskan kepentingan penjagaan kebersihan dalam segenap perkara. Malah Baginda sendiri terbukti menunjukkan teladan terbaik dalam penjagaan kebersihan diri yang akhirnya terzahir pada kesihatan fizikal Baginda yang amat sempurna. Kepentingan yang diberikan oleh al-Qur’an dan Hadith-hadith Nabi terhadap penyucian dan kebersihan ini mendorong ulama fiqh menjadikan bab bersuci sebagai perbahasan paling awal dalam kitab-kitab tulisan mereka.
Kesihatan begitu dititikberatkan oleh agama Islam kerana ia menjamin kelangsungan nyawa atau kehidupan. Pemeliharaan nyawa atau kehidupan ini pula sebagaimana diketahui umum merupakan salah satu daripada matlamat syari`ah yang utama selain pemeliharaan agama, akal, keturunan, harta, dan maruah. Seterusnya pula pemeliharaan nyawa, akal, keturunan, harta yang dikategorikan oleh al-Ghazzali R.H. sebagai matlamat keduniaan (dunyawi) bertujuan memelihara matlamat dini, iaitu agama itu sendiri. Sebagai contoh, seseorang yang terpelihara kesihatannya pasti dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna. Selain itu, ia juga berupaya untuk melaksanakan kewajipan terhadap keluarga dan masyarakat, dan negaranya dengan berkesan. Dengan kata-kata lain, berasaskan kesihatan yang baik, seseorang dapat berperanan seoptimum mungkin. Sebaliknya, seseorang yang mengalami gangguan kesihatan bukan sahaja tidak dapat berperanan dengan baik, sama ada sebagai hamba Allah mahupun juga sebagai manusia atau individu malah juga akan hanya menjadi bebanan terhadap keluarga, masyarakat, dan negaranya.
Jika dirujuk kepada perbelanjaan Kerajaan Persekutuan untuk sektor kesihatan negara ini, kosnya dianggarkan oleh Kementerian Kewangan mencecah RM22 billion bagi tahun 2014 sahaja. Pastinya bahagian yang besar juga daripada kos tersebut diperuntukkan bagi tujuan rawatan dan pengubatan pesakit. Seandainya setiap rakyat memberikan perhatian sewajarnya terhadap penjagaan kesihatan dengan menitikberatkan persoalan kebersihan, jumlah yang besar ini pasti dapat dimanfaatkan untuk tujuan-tujuan murni yang lain. Dalam hubungan inilah kita dapat melihat maksud penegasan Nabi SAW dalam HAdith daripada Abu Hurairah R.A. bahawa Mu’min yang kuat – jasmani dan rohaninya – lebih baik dan dikasihi oleh Allah berbanding dengan Mu’min yang daif. Mu’min yang sejahtera akal, jiwa, dan jasmaninya tidak diragui sama sekali untuk berupaya memberikan sumbangan yang amat bermakna kepada agama serta ummahnya.
Umat Islam seluruhnya wajib mengembalikan nilai mementingkan kebersihan yang telah semakin lenyap daripada kehidupan mereka. Jika kebersihan yang dianggap “remeh” atau “kecil” pun tidak mampu untuk diurus mereka dengan baik, bagaimana mungkin mereka mampu melaksanakan perkara-perkara yang dianggap jauh lebih besar lagi rumit. Selesaikanlah dahulu persoalan yang dianggap remeh tetapi mendatangkan aib yang bukan sedikit kepada ummah, kemudiannya kelak kita pasti dibimbing untuk menjayakan hasrat atau cita-cita yang muluk-muluk, tinggi lagi mengagumkan.