Ditulis oleh Siti Shamsiah Binti Md Supi . Diterbitkan
Apabila berlaku krisis antara suami isteri sehingga salah satu pihak merasakan ia sudah tidak dapat diselamatkan, maka tentunya jalan penyelesaian untuknya adalah dengan meleraikan perhubungan perkahwinan. Yang menjadi masalah apabila isteri membuat permohonan cerai, tetapi permohonan itu tidak dipersetujui oleh pihak lelaki sekalipun krisis antara mereka berada di tahap yang amat memudaratkan. Jika persetujuan suami tidak diperoleh, maka pihak isteri akan cuba melihat kaedah yang lain seperti khuluk ataupun taklik (yang dipersetujui oleh suami ketika majlis pernikahan dilangsungkan). Jika kedua-dua kaedah berkenaan juga tidak mampu mencapai maksud pihak isteri berkenaan, maka jalan terakhir yang akan digunakannya tentulah fasakh.
Di sesetengah negeri, keputusan melalui fasakh hanya dapat dicapai dengan tempoh masa yang (relatifnya) lama. Malah sudah menjadi stigma dalam kalangan masyarakat kita bahawa fasakh akan menjadi ujian kesabaran bagi pihak penuntut untuk tempoh yang panjang sebelum ia memperoleh kebebasan yang diharapkan.
Rentetan daripada situasi yang menyukarkan ini, maka institusi kehakiman Islam di Malaysia telah mewujudkan “tahkim” bagi mengurus dan menyelesaikan kemelut yang berlaku. Dalam konteks ini, “tahkim” merupakan satu medium dengan pihak-pihak yang bertikai melantik seseorang sebagai hakam untuk menyelesaikan pertikaian antara suami isteri berlandaskan hukum syarak. Sehubungan dengan itu Arahan Amalan Mahkamah Syariah Tahun 2006 diwujudkan bagi membenarkan hakam dilantik dan mengambil peranannya.
Arahan Amalan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) ini memperuntukkan situasi-situasi tertentu supaya kaedah hakam dapat digunakan. Ia termasuklah, (a) Perbalahan di antara suami isteri yang timbul daripada nusyuz isteri, atau disebabkan kezaliman suami, ataupun berlaku kesamaran siapa yang benar dan dusta dalam perbalahan yang berlaku, (b) Perbalahan dan tuduh-menuduh yang masing-masing tidak melaksanakan tanggungjawab suami atau isteri, (c) Kedua-duanya saling tuduh-menuduh berkawan dengan perempuan/lelaki sehingga melewati batas syarak, (d) Tuduh-menuduh berkaitan kelalaian dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap anak-anak dalam perkahwinan, (f) aduan isteri tidak sabit dan ditolak oleh Mahkamah Syariah kerana tidak ada bukti, dan Mahkamah mendapati pertikaian sentiasa berlaku, dan (h) Sebarang tindakan yang menyebabkan mudarat terhadap isteri.
Di Negeri Selangor, bagi memastikan pendekatan tahkim ini dapat melaksanakan fungsinya secara berkesan maka Kaedah-kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014 digubal. Kaedah-kaedah ini diwujudkan bagi menjalankan kuasa yang diperuntukkan oleh Seksyen 48, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2013. Secara ringkasnya, Seksyen 48 memperuntukkan tentang timbang tara hakam bagi mengurus perkelahian yang wujud antara suami isteri dan ketegangan berkenaan berlaku secara berterusan. Perkara ini timbul disebabkan Seksyen 47, perceraian dengan talak atau dengan perintah, enggan digunakan secara bersama oleh pihak-pihak yang terlibat. Pembaca boleh mencapai kandungan (seksyen-seksyen) yang diperuntukkan oleh enakmen keluarga ini melalui internet.
Dalam Bahagian Permulaan kaedah-kaedah hakam ini, ia memperincikan lagi maksud “Majlis Tahkim”, iaitu memberi erti sebagai sesi timbang tara atau proses penyelesaian perkelahian (shiqaq) yang melibatkan pertemuan suami dan isteri bersama dengan hakam untuk tujuan perdamaian atau perceraian dengan lafaz talak atau dengan khuluk. Ini menunjukkan majlis tahkim yang dilaksanakan di Negeri Selangor akan membawa pihak-pihak yang bertikai kepada tiga bentuk penyelesaian bergantung pada ragam konflik dan persetujuan yang mampu dicapai oleh kedua-dua belah pihak berkenaan. Iaitu, sama ada berdamai dan meneruskan perkahwinan dengan aman, harmoni dan tenang, atau bercerai secara lafaz, ataupun secara tebus talak. Hakam yang dilantik mempunyai kuasa menurut ruang yang diberi, termasuklah dalam membuat keputusan terhadap kelangsungan hayat rumah tangga pihak-pihak yang bertikai.
Walaupun sebelum kaedah ini digubal sudah ada platform penyelesaian dengan mewujudkan peranan hakam, tetapi realiti yang berlaku bukannya mengguna pakai konsep penimbangtaraan (arbitration) secara yang sebenar. Hakam yang dilantik hanya menjalankan tugas mengikut kehendak pihak-pihak yang bertikai. Maka, hasil rundingan yang dijalankan lebih banyak menemui kegagalan berbanding kejayaan, atau persetujuan secara bersama.
Rentetan daripada realiti yang berlaku ini, pelantikan hakam kemudiannya dibuat secara lebih profesional walaupun kalangan kerabat yang akrab masih boleh dipilih oleh pihak-pihak yang bertikai untuk dilantik sebagai hakam. Di Negeri Selangor, mereka menerima individu yang bukan dalam kalangan ahli keluarga dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah pun melantik 30 orang individu bagi membarisi Panel Jawatankuasa Kaedah Hakam. (Kaedah 4 (1) (b))
Menurut kaedah ini, individu yang layak untuk dilantik sebagai hakam adalah dari kalangan yang beragama Islam, lelaki, berakal serta baligh (mukalaf), adil serta amanah, dan mempunyai pengetahuan asas dalam hal kekeluargaan dan hukum syarak.
Meneliti syarat-syarat yang dinyatakan, saya berpendapat alangkah baiknya jika ruang turut diberikan kepada kalangan wanita untuk menjalankan tugas atau peranan sebagai hakam. Jika hakim syarie di Malaysia boleh dilantik dalam kalangan wanita (setelah perbahasan tentang lantikan hakim syarie dalam kalangan wanita selesai), tentulah sewajarnya tiada masalah jika fungsi yang lebih rendah berbanding hakim ini dilantik dalam kalangan wanita. Di negara ini, kita mempunyai tenaga profesional yang ramai dalam kalangan wanita seperti ahli psikiatri, psikologi, pensyarah, peguam, penyelidik dan kaunselor. Banyak penyelidikan dan hasil tulisan berkaitan hal-ehwal kekeluargaan dan undang-undang keluarga yang dihasilkan oleh golongan profesional wanita. Malah tidak kurang dalam kalangan profesional wanita ini yang mempunyai kepakaran dalam bidang kekeluargaan turut mempunyai pengetahuan yang baik dalam bidang yang lain (interdisciplinary). Contohnya kaunseling dan undang-undang keluarga Islam, atau psikologi dan Syariah. Malah wanita juga turut menganggotai jawatankuasa penggubalan undang-undang.
Jika lantikan terhadap wanita tidak dapat dibuat dengan alasan suami atau wali tidak membenarkan isterinya bertugas sebagai hakam, maka persetujuan secara hitam putih boleh diperoleh terlebih dahulu sebelum lantikan dibuat. Saya percaya masih ramai lagi kalangan suami yang boleh memberikan persetujuan, dan menyokong usaha murni ini.
Persekitaran sosial kita juga sudah amat ketara perubahannya. Di celah-celah golongan profesional wanita di negara kita, terdapat individu yang tidak mempunyai pasangan. Maka, soal keizinan daripada suami atau wali tentunya tidak berbangkit. Mengapa kepakaran yang kita miliki ini tidak dimanfaatkan secara maksimum? Pengalaman yang pernah mereka lalui juga tentunya boleh dimanfaatkan jika antara mereka turut dilantik sebagai hakam.