Ditulis oleh Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab Aziz. Posted in
Perbincangan tentang kesalahan Syariah tenggelam timbul. Tenggelam timbul bergantung kepada suhu politik negara. Keadaan begini perlu ditamatkan. Hal perundangan Islam hendaklah dilihat dan dibahas menurut perspektif undang-undang, bukan sentimen politik, walaupun tidak dinafikan, seperti perkara lain juga, memerlukan kehendak politik.
Bagi tujuan tulisan ini saya mengambil pendekatan akademik perundangan untuk memberikan pandangan tentang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1964, atau dikenali sebagai Akta 355.
Akta 355 merupakan undang-undang atau Akta yang diluluskan oleh Parlimen bagi menentukan had bidang kuasa berkaitan hukuman jenayah Syariah yang boleh dibuat oleh Badan Perundangan Negeri, dijatuhkan, dan seterusnya dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah seluruh negara ini.
Parlimen, dalam membuat Akta yang diluluskan pada pertengahan 1960an itu mengambil punca kuasa daripada Perlembagaan Persekutuan, iaitu Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan. Bahagian yang relevan daripada Butiran tersebut ialah, urusan berkaitan Islam adalah urusan negeri, yang mana termasuklah “…keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah, … tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan;….”.
Frasa yang digaris itu adalah punca kuasa bagi Parlimen untuk membuat Akta 355. Tajuk panjang dan mukadimah Akta 355 dinyatakan bahawa ia bertujuan memnerikan bidang kuasa kepada Mahkamah yang ditubuhkan di bawah undang-undang negeri bagi menegndalikan kesalahan-kesalahan di bawah undang-undang Islam.
Jika dilihat kepada sejarah penggubalan Perlembagaan Persekutuan dan secara spesifik penggubalan frasa terbabit itu, saya belum menemui dokumen sejarah yang menjelaskan tentang kenapakah peruntukan tersebut digarap sebegitu, sedangkan hal ehwal Islam, termasuk pentadbiran dan perundangannya, termasuklah kesalahan Syariah adalah di bawah kuasa dan bidang kuasa negeri. Sering dikatakan bahawa Islam berada dalam kuasa autonomi negeri.
Dengan ketiadaan dokumen sejarah tersebut, ia seperti misteri, dan kita tidak mempunyai penjelasan sebenar kepada salasilah dan juga tujuan frasa ini dimasukkan dalam Perlembagaan.
Namun begitu, pada pendapat dan tafsiran saya, frasa ini bertujuan untuk membezakan kesalahan atau jenayah yang berada dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Negeri serta meletakkan hal berkaitan jenayah di bawah kawalan Persekutuan walaupun hal ehwal Islam dan perundangan Islam diisytiharkan sebagai kuasa autonomi negeri.
Walaupun pada dasarnya masih lagi boleh dihujahkan atau ditafsirkan lagi frasa yang ditekankan di atas, terutamanya maksud kepada perkataan bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan, sama ada ia melibatkan hukuman sahaja atau jenis kesalahan, apa yang tidak dapat dipertikaikan ialah Parlimen telah dianugerahkan oleh Perlembagaan, dengan kuasa untuk menentukan bidang kuasa berkaitan kesalahan yang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Atas sebab itu, Akta 355 ini perlu diberikan perhatian sewajarnya dan beberapa persoalan berkaitannya perlu dijawab. Antaranya persoalan yang memerlukan jawapan ialah, adakah Akta ini sah? Apabila ia melibatkan hal perundangan Islam, secara khususnya undang-undang jenayah Syariah, yang difahami ramai sebagai berada dalam kuasa autonomi negeri, adakah Akta ini selaras atau bercanggah dengan Perlembagaan?
Dengan adanya peruntukan yang saya tekankan di atas, ia menjadikan pemahaman khalayak umum tentang kedudukan Islam, dalam aspek petadbiran dan perundangannya, sebagai secara mutlak berada dalam kuasa autonomi negeri adalah tidak tepat. Frasa ini dengan jelas telah menjadikan sedikit daripada aspek perundangan Islam, iaitu hal berkenaan dengan kesalahan tidak secara mutlak berada dalam kuasa atau autonomi negeri. Maka Akta 355 ini adalah Akta yang sah.
Walaupun sedikit sahaja aspek yang terkesan, implikasinya ke atas kuasa negeri berkenaan kesalahan Syariah sangat besar. Bahkan Akta 355 ini merupakan cabaran besar dalam memperkasa hukuman kesalahan-kesalahan Syariah. Sekiranya mahu ditambah jumlah dan tahap hukuman kepada kesalahan Syariah, Akta 355 ini hendaklah dipinda.
Dalam usaha pindaan kepada Akta 355 ini, ia adalah bidang tugas kerjaaan Persekutuan, kerana ia adalah sebuah Akta yang diterima pakai di semua negeri. Cadangan pindaan itu tidak sepatutnya dimulakan oleh negeri.
Walauapa pun hujah saya di atas, saya berpendirian bahawa kita hendaklah akur dengan peruntukan Perlembagaan ini, kecuali kita meminda Perlembagaan.