Ditulis oleh Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab Aziz . Diterbitkan
Setelah hampir enam puluh tahun merdeka, masih lagi ada antara kita yang percaya bahawa Perlembagaan kita ada adalah Perlembagaan British. Dan, sebagai Perlembagaan British Perlembagaan kita hendaklah ditafsir mengikut sebagaimana faham Perlembagaan di England itu. Kepercayaan ini sedikit sebanyak mendatangkan kekeliruan kepada kita. Keadaan ini juga mengakibatkan kurang faham kita kepada hala tuju negara yang dibawa oleh Perlembagaan.
Sebenarnya pemahaman ini lahir kerana kurangnya keprihatinan tentang sejarah pengisian Perlembagaan . Sejarah dengan jelas sekali memaparkan proses gubalan Perlembagaan. Pada tahun 1955, selepas sahaja pilihan raya umum pertama pada tahun 1955, Setiausaha Tanah Jajahan British telah mengunjungi Tanah Melayu dan bertemu mengadap Raja-Raja Melayu.
Pada pertemuan itu telah diperkenan oleh Raja-Raja Melayu bahawa hendaklah dianjurkan satu persidangan Perlembagaan. Persidangan tersebut bertujuan membincang dan melantik sebuah Suruhanjaya untuk merangka dan menderaf Perlembagaan bagi penubuhan Persekutuan Tanah Melayu merdeka. Pada pertemuan tersebut, antara lain, Raja-Raja Melayu juga telah menetap dan bersetuju dengan terma-terma rujukan atau hal-hal dan perkara yang perlu diputuskan oleh Suruhanjaya yang akan dilantik kelak.
Terma-terma rujukan tersebut akan mengikat Suruhanjaya yang akan dilantik. Setelah berlangsungnya Persidangan Perlembagaan pada Januari hingga Februari 1956, sebuah Suruhanjaya Perlembagaan, yang juga dikenali sebagai Suruhanjaya Reid (disandarkan kepada nama Pengerusi Suruhanjaya) telah dilantik.
Sebagaimana dijanjikan, Suruhanjaya tersebut telah diberikan terma-terma rujukan yang telah dipersetujui oleh Raja-Raja Melayu. Suruhajaya tersebut pula diperingatkan supaya mentaati terma-terma rujukan tersebut dalam melaksanakan tugasan mereka sebagaimana yang dimahukan oleh Raja-Raja Melayu
Dengan kata lain, walaupun Suruhanjaya Reid itu adalah Suruhanjaya bebas dan dianggotai oleh mereka para ilmuan atau akademik dan pengamal yang hebat, mereka hendaklah juga melaksana tugasan menepati terma-terma lantikan yang dibekalkan.
Bagi tujuan kefahaman yang tepat, saya petik Laporan Suruhanjaya Reid dalam bahasa asal ia ditulis.
“The members of the Commission were appointed in the name of Her Majesty the Queen and Their Highnesses the Rulers with the terms of reference as follows:
To examine the present constitutional arrangements throughout the Federation of Malaya, taking into account the position and dignities of Her Majesty the Queen and of Their Highnesses the Rulers: and
To make recommendation for a federal form of constitution the whole country as a single, self-governing unit within the Commonwealth based on Parliamentary Democracy with a bicameral legislature, which would include provision for (i) The establishment of a strong central government with the States and Settlements enjoying a measure of autonomy….(ii) The safeguarding of the position and prestige of Their Highnesses as constitutional Rulers of their respective States; (iii) A Constitutional Yang di-Pertuan Besar (Head of State) for the Federation to be chosen from among Their Highnesses the Rulers; (iv) A common nationality for the whole of the Federation; (v) The safeguarding of the special position of the Malays and legitimate interests of other communities.
Secara ringkasnya, Suruhanjaya Reid hendaklah menderaf Perlembagaan Persektuan bagi menepati kehendak sebuah negara Persekutuan dengan tumpuan kuasa kepada kerajaan Persekutuan, tetapi negeri-negeri mempunyai satu peringkat autonomi; Perlembagaan yang menjamin kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan orang-orang Melayu dan komuniti lain
serta satu kerakyatan. Suruhanjaya Reid cuma boleh dikatakan mekanisme yang menderaf Perlembagaan, bukan penentu kepada pengisian Perlembagaan.
Berdasarkan fakta sejarah ini, adalah tidak tepat untuk dikatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah semata-mata legasi British dalam konteks substance atau pengisiannya. Ini kerana sebahagian besar pengisian Perlembagaan Persekutuan adalah berakar kepada kehendak orang-orang Melayu, terutamanya Raja-Raja Melayu.
Fakta sejarah sebegini hendaklah sentiasa diambil perhatian oleh para hakim dalam menentu tafsir kepada Perlembagaan. Ini bagi membolehkan niat Perlembagaan difahami dan diterima dengan baik.
Saya tidak menolak kepentingan untuk para hakim di Mahkamah menyuaimanfaat Perlembagaan kepada keadaan semasa, tetapi pada masa sama mereka tidak boleh mengenepikan elemen Perlembagaan yang telah diterima dan sepakati oleh Raja-Raja Melayu sebagai pemilik kepada tanah-tanah di negeri.